Monday, November 21, 2022

PM ke-10: Muhyiddin, sudah dapat bilangan cukup...

 


Muhyiddin selepas mempengerusi mesyuarat BERSATU malam ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

1.Muhyiddin ulangi dapat sokongan majoriti Ahli Parlimen

SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi beliau sudah mendapat bilangan yang cukup untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, berdasarkan sokongan Ahli Parlimen secara individu.

Beliau menegaskan dalam Perlembagaan, tidak dinyatakan seseorang yang mahu dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapatkan sokongan parti saja tetapi perlu memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

"Insya-Allah, esok kita dapat mengemuka akuan bersumpah daripada mereka ini bahawa kita memiliki sejumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

"Kalau mengikut Perlembangaan, (sokongan) Ahli-Ahli Parlimen. Tak kata daripada parti mana. (Sokongan) individu boleh, secara kumpulan dan parti mereka pun boleh," katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di sini, malam ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama PN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata tiada perundingan dengan PN setakat ini, yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.

Muhyiddin berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu hanya pandangannya selaku Pengerusi BN.

"Kalau ikut Perlembagaan, seseorang nak jadi Perdana Menteri mesti mendapat kepercayaan daripada majoriti Ahli Parlimen

"Kalau ikut istilahnya, perlu mendapatkan sokongan 112 kerusi. Tak kata daripada parti A,B atau C. Itu hanya mengikut tafsiran Zahid saja (sokongan parti)," katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti menyekat individu menyokongnya sebagai Perdana Menteri, katanya, akta itu tidak menghalang sokongan individu kepada beliau.

"Hatta macam tadi bukan semua datang (sokongan) dari PN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ahli Parlimen bebas.

"Memang tidak melanggar peruntukan akta itu. Mereka tak keluar daripada parti tapi mereka secara individu sebagai Ahli Parlimen memberikan sokongan kepada saya," katanya. (BH)


2. PM ke-10: Muhyiddin yakin dapat sokongan Ahli Dewan Rakyat 

KUALA LUMPUR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin beliau mempunyai sokongan yang mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata dalam pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor hari ini, mereka telah menyatakan sokongan dan kepercayaan Ahli Dewan Rakyat daripada kedua-dua gabungan itu terhadap beliau.

“Beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata perkara tersebut telah dilaporkan kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya petang tadi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, esok.

Sehubungan itu, Istana Negara telah memohon kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk meminta semua ketua parti dan gabungan parti politik terlibat mengemukakan cadangan gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui dan calon perdana menteri mereka kepada Istana Negara.

PRU15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), Barisan Nasional (30), GPS (22), GRS (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah 112 kerusi. – BERNAMA


3. YDPA titah ketua parti, gabungan namakan calon PM 

KUALA LUMPUR: Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang telah berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada jam 1:15 tengah hari, hari ini.

Dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti   politik   berjaya   memperoleh majoriti   mudah   kerusi   Parlimen   untuk membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan  dengan  itu,  menjunjung  titah  perkenan  KDYMM  Seri  Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Istana Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan  parti-parti  politik  yang  mempunyai  jumlah  kerusi  yang  banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti- parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti politik atau gabungan parti- parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh YBhg. Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan  majoriti  Ahli  Dewan  Rakyat  berikutan  gabungan  parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2:00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,   adalah   dimaklumkan   juga   bahawa   titah   perkenan   dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan  pelantikan  Perdana  Menteri  menerusi  proses  yang  telah  dijelaskan adalah muktamad.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang  serta  berlapang  dada  demi  menjaga  keutuhan  negara  kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah  kerajaan  yang  stabil,  berwibawa  dan  berintegriti  untuk  menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Baginda  seterusnya  turut  mengajak  rakyat  untuk  bersama  mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

DATO’ SERI AHMAD FADIL SHAMSUDDIN
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara – HARAKAHDAILY 20/11/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimPM ke-10: Muhyiddin, sudah dapat bilangan cukup...

Al-hamdulillah! Umum sudah mengetahui keputusan kerusi-kerusi Parlimen yang ditandingi oleh PAS dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini.

Apabila Rasulullah S.A.W menerima pertolongan Allah dalam peristiwa Fathu Makkah, Baginda banyakkan  tasbih, tahmid dan istighfar sebagai menyahut perintahNya. 

Tasbih menyucikan jiwa pejuang daripada mengingkari kekuasaanNya. Tahmid menjauhi sifat ujub dalam kalangan kita dan hanya meletakkan puji dan puja itu selayaknya bagi Allah S.W.T. Istighfar menyedarkan kita bahawa jalan-jalan kemenangan terbentang di hadapan kita dengan menjauhi dosa dan penderhakaan terhadap Allah S.W.T.

Marilah semua para pendukung PAS dan PERIKATAN NASIONAL agar memperbanyakkan berzikir memuji Allah S.W.T dan meminta keampunan atas kemenangan ini.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

2 comments:

Anonymous said...

Anuwor kata dia tolak rasuah. Tapi dia ajak presiden umno join blok dia. Presiden tu ada kes rasuah macam presiden muda. Langsong xda prinsip anuwor. Presiden lip lop.

Anonymous said...

Tahniah pas. Politik berdasarkan hukum syariah. Bila ikut hukum, rasuah tiada salah guna kuasa tiada.

Mana mungkin lebih baik perasuah demi membangunkan negara. Ajaran sesat tu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails