Tuesday, November 22, 2022

PAS menang, susut saham alkohol judi & bersih Perlis. Al-hamdulillah!

 

Kejayaan Pas mencatat kemenangan di 49 kerusi Parlimen dilihat mendorong penyusutan saham-saham berkaitan syarikat alkohol dan perjudian. - Gambar hiasan/Dagang News

1. PRU15: Kejayaan besar Pas dorong penyusutan saham alkohol, perjudian di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Prestasi cemerlang Pas yang tidak disangka-sangka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu, yang mencatat 49 kerusi Parlimen sekali gus menjadi parti Melayu paling dominan, dilihat mendorong penyusutan saham-saham berkaitan syarikat alkohol dan perjudian.
Menurut laporan Bloomberg, saham pengendali kasino dan resort Genting Malaysia Bhd menjunam sebanyak 11%, paling banyak dalam tempoh lebih dua tahun, di tengah-tengah penjualan yang lebih meluas dalam ekuiti negara.
Syarikat induknya Genting Bhd pula susut sebanyak 10% manakala pembekal peralatan loteri Sports Toto Bhd mencecah paras terendah sejak 1993.
Pembuat bir termasuk Heineken Malaysia Bhd dan Carlsberg Brewery Malaysia Bhd juga merosot.
Kejayaan Pas di dalam pilihan raya itu menurut Bloomberg, boleh menjejaskan keyakinan pelabur kerana parti itu sebelum ini menggesa pelaksanaan undang-undang syariah tegas di negara ini.
Parti itu, yang memenangi 49 daripada 220 kerusi parlimen, adalah sebahagian daripada perikatan Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bergelut dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan pembangkang veteran Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.
Pas sebagai parti terbesar bermakna "mereka akan mengawal banyak penjanaan dasar dan pelaksanaan dasar kerajaan baharu" jika mereka menjadi sebahagian daripadanya, kata Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa di Singapura kepada Bloomberg.
“Kerajaan pimpinan Islam biasanya akan cuba menjadikan demokrasi yang berfungsi sebelum ini menjadi tidak liberal, yang akan menjadi sangat mencabar bagi Malaysia,” tambahnya.
Penanda aras Indeks KLCI jatuh sebanyak 1.5% di tengah-tengah kemerosotan yang lebih meluas di rantau ini manakala ringgit lebih rendah 0.2% berbanding dolar.
Penganalisis menjangkakan lebih banyak penelitian terhadap syarikat `dosa' jika blok yang diketuai oleh Muhyiddin mengambil alih kuasa memandangkan tindakan keras Pas sebelum ini terhadap pesta bir dan perjudian.
"Prestasi pilihan raya yang kukuh oleh gabungan PN adalah satu kejutan dan kami menjangkakan risiko pengawalseliaan meningkat lebih tinggi terutamanya untuk sektor perjudian, kilang bir dan tembakau," tulis penganalisis RHB Bank Alexander Chia dalam satu nota.
Malaysia menyaksikan parlimennya yang pertama kali digantung pada pilihan raya Sabtu selepas tiada satu pun daripada tiga gabungan utama memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk majoriti.
Muhyiddin dan seterunya Anwar sedang bergelut untuk mendapatkan undi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Mereka diberi satu hari lagi untuk mengukuhkan pakatan dan mengemukakan pilihan untuk perdana menteri selepas mereka melepasi tarikh akhir jam 2 petang semalam tanpa sebarang kemajuan dalam rundingan masing-masing. - DagangNews.com
2. PN tadbir Perlis ke arah lebih bersih, stabil 

KANGAR: Pilihan Raya Umum ke-15 mencipta sejarah besar bagi PAS setelah bergabung di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kemenangan majoriti dua pertiga membuktikan rakyat Perlis menolak secara total Barisan Nasional (BN) yang menguasai negeri itu sejak awal kemerdekaan.

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, kemenangan luar jangka itu merupakan amanah besar rakyat kepada gabungan tersebut.

“Kami memanjat syukur kepada Allah dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Perlis di atas kepercayaan yang diberi melalui mandat yang diberikan, saya pun masih lagi terpinga-pinga.

“Kepercayaan yang diberikan kepada kami PN adalah satu ujian dan amanah yang amat besar untuk kami menanggungnya setelah diberi kepercayaan,” katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Arau hari ini.

Menurut beliau juga PN berazam mentadbir Perlis ke arah yang lebih bersih dan stabil sesuai dengan slogan yang dilaung sepanjang tempoh kempen.

“Terima kasih kepada rakyat negeri Perlis di atas keberanian untuk melakukan perubahan dengan merubah kepada suasana yang lebih baik.

“PN akan berusaha membawa pengurusan perntadbiran ke arah yang lebih bersih dan stabil. (BEST). Manifesto yang ditawarkan akan diperhalusi dan dilaksanakan dengan penuh hikmah,” ujarnya.

PN menawan tiga parlimen dengan majoriti tertinggi iaitu Arau 23,216 undi Padang Besar (12,514 undi) dan Kangar (9,192 undi).

Di Padang Besar, DUN Titi Tinggi yang ditandingi Izizan Ibrahim (PN-Bersatu) mencatat majoriti 3,785 undi, Chuping – Saad Seman (PN-PAS) majoriti 2,420 undi, Santan Ustaz Muhammad Azmir Azizan (PN-PAS – 2,108 undi), Mata Ayer – Wan Badariah Wan Saad (PN-PAS – 2,021 undi) dan Beseri – Haziq Asyraf Dun (PN-PAS – 1,047 undi).

Manakala di Kangar pula, Bintong Ustaz Fakhrul Anwar Ismail (PN-PAS) dengan 4,329 undi.

Di Arau pula penyandang DUN Guar Sanji berjaya mempertahankan kerusinya dengan majoriti 5,101 undi.

Manakala Mohd Shukri juga berjaya mempertahankan kerusi DUN Sanglang dengan majoriti 3,335 undi.

Mohd Shukri juga berkata, pihaknya tidak menafikan kemenangan besar PN di Perlis dipengaruhi aura Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim di samping kebijaksanaan rakyat yang mahu perubahan.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri dijangka akan berjalan dengan lancar. – HARAKAHDAILY 20/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PAS menang, susut saham alkohol judi & bersih Perlis. Al-hamdulillah!

Al-hamdulillah, kita akan bongkar terus hikmah kemenangan PAS.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails