Tuesday, November 22, 2022

GPS pula serah kepada Agong. & amaran PAS..

 

GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri. - Foto fail/BERNAMA

1. Pasca PRU15: GPS serah kepada Agong lantik PM baharu

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik Perdana Menteri baharu yang akan mentadbir negara.
Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataannya pagi ini berkata, ia susulan kemelut politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia ketika ini.
“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendakhlah dihormati.
“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” kata kenyataan itu.
GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.
Terdahulu menurut kenyataan itu, GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan GRS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. (AA)

2. Elak provokasi, hormati keluhuran undang-undang - PAS 
Abdul Hadi memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya 'tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan', demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pas memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya 'tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan', demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa adalah penting untuk semua pihak menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Pas menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada PRU15 yang berlangsung secara harmoni.
"Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
"Justeru Pas menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam, serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara," ujarnya.
Terdahulu, Pas memberi jaminan pihaknya tidak akan melaksanakan langkah-langkah yang menekan mana-mana pihak, khususnya di Sabah dan Sarawak, sekiranya ia menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan baharu. (AA)
Komen Weblog Ibnu HasyimGPS pula serah kepada Agong. & amaran PAS..
Insya Allah, semuanya al-hamdulillah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails