Monday, November 21, 2022

Tolak gabung K/Persekutuan-DAP. Mana Zahid?

 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad Foto fail NSTP/Nur Aisyah Mazalan

1. PRU15: UMNO Johor tetap tolak gabungan kerajaan Persekutuan babit DAP

JJOHOR BAHRU: UMNO Johor berpendirian gabungan politik yang dibentuk bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan tidak perlu membabitkan DAP.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata keutamaan parti politik ketika ini membentuk gabungan politik yang stabil.

"Selain itu, UMNO Johor berpendirian, kerajaan Persekutuan ditubuhkan perlu berfungsi serta berfahaman sederhana (moderate) untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.

"Oleh yang demikian, UMNO Johor berpendirian bahawa gabungan politik yang dibentuk tidak perlu membabitkan DAP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dilaporkan memaklumkan gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Abang Johari dilaporkan berkata, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, hari ini media melaporkan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pimpinan parti mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PN) termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara, pagi tadi.

Dalam keputusan PRU15, BN hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14 lalu, UMNO dilaporkan menang di 54 kerusi Parlimen. Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke PN.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, BN dan UMNO Johor menerima dan menghormati keputusan rakyat di dalam PRU15.

Katanya, keputusan PRU15 cukup jelas dan adalah penzahiran kepada kematangan rakyat dalam

mendakap budaya demokrasi di Malaysia.

"Keputusan PRU15 juga adalah isyarat jelas rakyat kepada UMNO dan BN. Oleh yang demikian, UMNO Johor percaya bahawa Presiden akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.

"Pemilihan UMNO yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan (restore) UMNO.

"Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar UMNO kembali diyakini semua rakyat Malaysia," katanya.

Hasni yang menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15 berkata, keputusan PRU di Johor akan diteliti secara mendalam supaya penambahbaikan dapat segera dilakukan.

"Melangkah ke hadapan, UMNO dan BN Johor akan terus diperkukuhkan," katanya. (BH)


2. Ke manakah Umno hendak dibawa Zahid? 

WALAUPUN Umno adalah komponen Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH), namun Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedaya upaya cuba menggulingkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengangkat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sekadar untuk menunjukkan ‘kekuatan sebenar’ Umno. Dia akhirnya berjaya.

Semasa pentadbiran Ismail Sabri pula, pelbagai desakan beliau dikenakan kepada Ismail Sabri dalam pembentukan Kabinet. Kemudian beliau menekan Ismail Sabri untuk segera membubarkan Parlimen pula, walaupun pada musim banjir. Dia akhirnya berjaya juga.

Setelah Pilihan Raya Umum ke-15 berakhir, Umno mendapat jumlah kerusi yang paling sedikit dalam sejarah penyertaan mereka dalam pilihan raya. Kali ini beliau tidak berjaya.

Umno tidak mampu membentuk kerajaan. Umno hanya mampu untuk membuat pilihan, sama ada bersama blok PN atau PH.

Sekarang Zahid tidak mahu bersama dengan PN pula. Beliau membayangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan dibawa kepada PH, walaupun PH dan BN tetap tidak akan mampu membentuk kerajaan juga.

Sesuatu yang tidak pernah kita bayangkan, di mana Umno akan sanggup bersama blok PH di mana sekarang dikuasai oleh majoriti Ahli Parlimen DAP.

Nampaknya Zahid masih berpolitik secara tidak matang. Beliau cuba menggunakan strategi ‘bumi hangus’. Jika BN tidak menang, PN pun tak boleh menang, walaupun negara akan menjadi tidak stabil.

Zahid sedang menggunakan ‘kuasa’ Presiden Umno yang masih ada pada beliau untuk tidak melayan pendapat pemimpin dan Ahli Parlimen BN yang lain. ‘No to PN’, bukan ‘No to DAP’.

Dua persoalan di benak pemikiran kita;

Adakah Zahid memang anti kestabilan negara? Adakah Umno akhirnya berjaya disatukan dengan DAP oleh Anwar?

Nampaknya Zahid hanyalah seorang ahli politik yang masih mahu terus ‘berpolitiking’ mencari untung sejengkal, walaupun dengan cara yang merugikan negara dan rakyat Malaysia. 

Berpolitiking seperti ini, nanti Zahid dan BN akan rugi sehasta.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang, 21 November 2022 – HARAKAHDAHDAILY 21/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tolak gabung K/Persekutuan-DAP. Mana Zahid?

Adakah Umno akhirnya berjaya disatukan dengan DAP oleh Anwar?

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails