Sunday, November 20, 2022

X parti majoriti mudah -SPR. UMNO rebah. Ku Li tumbang.

 

Abdul Ghani (tengah) pada sidang media mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini. -- fotoBERNAMA

1. RU15: Tiada parti dapat majoriti mudah kerusi Parlimen - Pengerusi SPR

PUTRAJAYA: Tiada mana-mana parti memperoleh 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertanding atau majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4.30 pagi ini, Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.
Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.
Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua).
Abdul Ghani ketika sidang media berhubung keputusan PRU15 berkata tiga bahagian Parlimen tidak diumumkan iaitu Kota Marudu di Sabah dan Baram di Sarawak yang ditangguh berikutan masalah cuaca.
Pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah pula ditangguh ekoran kematian calon PH M.Karupaiya pada Rabu.
"Peratusan bagi pengundian Parlimen adalah 73.89 peratus tanpa mengambil kira tiga kerusi yang tidak diumumkan," katanya.
Selain itu, Abdul Ghani berkata tiada mana-mana parti berjaya membentuk kerajaan negeri baharu di Pahang kerana tidak mendapat majoriti lebih 50 peratus di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU kali ini.
Beliau berkata PN memenangi 17 kerusi diikuti BN (16) dan PH (lapan) daripada jumlah yang dipertanding iaitu 41.
"Terdapat satu bahagian yang tidak dapat diumumkan pada hari ini iaitu N.42 Tioman berikutan kematian seorang calon (PN)," katanya.
Abdul Ghani berkata situasi sama berlaku di Perak selepas PN memenangi 26 kerusi DUN diikuti PH dengan 24 kerusi dan BN (sembilan) daripada keseluruhan 59 yang dipertanding.
Katanya jumlah rakyat yang keluar mengundi pada PRU15 bagi Pahang ialah 70.48 peratus manakala Perak sebanyak 66.71 peratus.
-- BERNAMA
2. PRU15: UMNO rebah, MB Johor gesa Zahid letak jawatan 
ONN HAFIZ: Dengan penuh rasa hormat dan takzim, saya mohon supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden dengan kadar segera. - Facebook Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberikan isyarat jelas bahawa sebahagian besar rakyat negara kini menolak UMNO.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, PRU15 juga menunjukkan, berlaku tsunami politik dalam kalangan orang Melayu apabila sebahagian besar mereka bersuara menolak parti keramat itu.
Onn Hafiz dalam masa sama berpendapat, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletak jawatan selain mengambil tanggungjawab terhadap apa yang dizahirkan rakyat.
“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi 'terkorban', kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.
“Kita semua sedia maklum bahawa tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
“Dengan penuh rasa hormat dan takzim, saya mohon supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden dengan kadar segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak lakukan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya, keputusan PRU15 turut menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Johor hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen dan ini sekali gus tidak menepati sasaran yang diletakkan pucuk pimpinan parti.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menzahirkan kekecewaan apabila parti itu tidak memenangi satu pun kerusi bagi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui PRU15.
“Usaha untuk memulihkan parti ini perlu bermula sekarang, jika tidak berubah sekarang kita tidak akan menang satu kerusi pun pada masa akan datang.
“Kita semua perlu berani membuat perubahan kearah kebaikan demi masa depan parti ini,” katanya lagi.  (AA)
3. PAS Kelantan lakar sejarah baharu lagi 

KOTA BHARU: PAS menzahirkan rasa syukur atas kemenangan terbesar dalam sejarah apabila menguasai keseluruhan 14 kerusi Parlimen di negeri ini.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, apa yang berlaku itu memberi bayangan Kelantan seakan berjaya ditakluki sepenuhnya PAS (PN).

Katanya, setakat ini bagi Parlimen Gua Musang turut melakar sejarah apabila PAS berjaya menumbangkan penyandang dari BN, Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 136 undi.

“Allhamdulillah, setakat ini keputusan secara rasmi bagi Parlimen Gua Musang dimenangi oleh PAS 

“Ini satu gelombang luar biasa yang dapat disaksikan kerana rakyat telah memerhati sekian lama terutama ketika melalui detik sukar.

“Rakyat mahu keadaan yang terbaik agar hasrat mereka dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media di Medan Ilmu di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya PAS berterima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaan yang luar biasa kepada parti itu dan PN.

Justeru itu, katanya sebarang keputusan keseluruhan secara rasmi akan diumumkan dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 20/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: X parti majoriti mudah -SPR. UMNO rebah. Ku Li tumbang. 

Tapi UMNO masih boleh diperbaiki. Tinggalkan yang busuk-busuk.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails