Sunday, November 20, 2022

Pas yakin PN berjaya bentuk kerajaan - A/Hadi. & bentuk k'jaan -Muhyiddin

 

Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya sebentar tadi berkata, Pas bersama rakan dalam PN akan berusaha menunaikan segala tawaran yang telah dijanjikan dalam manifesto PRU15. - Gambar/Astro AWANI

1. PRU15: Pas yakin PN berjaya bentuk kerajaan - Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Pas yakin Perikatan Nasional (PN) akan membentuk kerajaan Persekutuan berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya sebentar tadi berkata, Pas bersama rakan dalam PN akan berusaha menunaikan segala tawaran yang telah dijanjikan dalam manifesto PRU15.
"Saya mewakili Pas ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah meletakkan kepercayaan kepada Pas dan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional terutamanya pengundi muda, pengundi awal dari pelbagai kaum dan latar belakang," katanya kepada media di sini malam ini.
Tambahnya lagi, Pas akan berbincang dengan rakan dalam PN selepas ini bagi menghadapi cabaran seterusnya iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN).
Namun jelas beliau, PN akan mempertimbangkan segala keadaan semasa termasuk risiko banjir yang dihadapi sebelum memutuskanya. (AA)
2. PN selesai isu pembentukan kerajaan secepat mungkin.
MUHYIDDIN Yassin dalam sidang akhbar di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan menyelesaikan isu pembentukan kerajaan secepat mungkin, selewat-lewatnya petang ini. 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pihaknya sedia menimbangkan mana-mana parti politik yang bersedia menerima dasar dan polisi yang diketuai PN. 

“Kita ada terima surat daripada pihak Istana Negara, kandungannya saya tak payah sebutkan yang telah pun memberi kepada kita perkara-perkara yang kita perlu sempurnakan mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong. 

“Perkara ini memerlukan kita mengambil langkah secepat mungkin, bermakna sebahagian daripada perbincangann perlu dilakukan pada esok hari (dan) diharap dapat dilaksanakan petang esok, Insya Allah,” katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam, awal pagi ini. 

Terdahulu, PN mendakwa pihaknya sudah berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN

3. Rakyat mahu pembaharuan di Putrajaya 

KOTA BHARU: Banyak pihak di Kelantan dapat merasakan gelombang luar biasa sokongan rakyat kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, ramai penduduk yang ditemuinya sepanjang tempoh kempen menyatakan mahukan pembaharuan di Putrajaya.

“Alhamdulillah momentum sejak hari penamaan calon setiap hari bertambah baik, sokongan kepada PAS amat memberangsangkan di Kota Bharu dan banyak tempat lain.

“InsyaAllah kita berkeyakinan dengan kerja kuat dan rekod, saya yakin mampu pertahankan Kota Bharu, namun ia bukan perkara mudah, tetap ada cabaran,“ katanya selepas Konvoi BEST Anak Muda Kota Bharu Bersama Datuk Taki di sini hari ini.

Lebih 500 anak muda menyertai konvoi motosikal mengiringi Takiyuddin mengelilingi bandar Kota Bharu.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Kota Bharu, Muhammad Aminuddin Bunyamin berkata, momentum setakat dianggap dalam mood terbaik. 

Katanya, Pemuda PAS melaksanakan pelbagai program dalam mendekati golongan muda yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi buat pertama kali esok.

“Pelbagai aktiviti dilaksanakan, Alhamdulillah mendapat sambutan menggalakkan, kami bersyukur Pemuda PAS Kota Bharu berjaya mendekati golongan terbabit.

“Kita sudah begitu lama dengan anak-anak muda, Alhamdulillah penerimaan anak muda memang jelas,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, PAS di setiap kawasan di Kelantan mengadakan ‘flash mob’ menyambut kepulangan anak-anak perantau termasuk dari ibu kota.

Mereka berkumpul di tepi jalan-jalan utama dengan mengibar bendera PAS dan PERIKATAN NASIONAL sebagai meraikan kepulangan perantau. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pas yakin PN berjaya bentuk kerajaan - A/Hadi.  & Bentuk k'jaan -Muhyiddin

Al-hamdulillah, insya Allah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails