Friday, November 25, 2022

Tipu Agong salah berat.-Annuar Musa. & Zahid, kata MCA.

 


1. Percubaan menipu Agong kesalahan amat berat

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan percubaan untuk menipu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah satu kesalahan yang amat berat.

Beliau mendakwa surat Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan surat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada Oktober 2020.

“Ketika itu kononnya semua Ahli Parlimen BN menyokong Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini satu pembohongan.

“Laporan polis patut dibuat agar penyiasatan dapat dibuat atas perbuatan tersebut terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada lontaran di media sosialnya hari ini.

Annuar yang juga Ketua Umno Ketereh berkata, pada surat menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa (Zahid) mempengerusikan mesyuarat BN pada 22 November 2022 dan mesyuarat memutuskan semua 30 ahli parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Namun katanya apa yang berlaku sebaliknya, di mana dimaklumkan BN memutuskan tidak menyokong mana mana calon perdana menteri.

“Siapakah yang berbohong di sini? Rakyat menuntut penjelasan pemimpin pemimpin BN yang terlibat khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Rakyat dan ahli umno dan BN akar umbi juga harus bangkit memperbetulkan… jika benar ia telah dilakukan,” ujarnya.

Annuar yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sekiranya 30 Ahli Parlimen BN gagal menjunjung titah mengadap pagi tadi, mungkin langkah selanjutnya dengan menitahkan mengadap 115 MP yang menyerah akuan bersumpah (SD) mereka pada 1.20 tengah hari 21 November lepas.

“Sekiranya 115 ahli parlimen dapat mengesahkan SD masing-masing, maka PM boleh dilantik dan kerajaan boleh dibentuk.

“Semuanya kita serah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang sangat bijaksana dan adil dalam semua situasi,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

2. Surat kepada Agong, Zahid tidak layak pimpin BN, kata MCA 

Datuk Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR: MCA percaya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin Barisan Nasional (BN) sebagai pengerusi, kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Ini susulan surat yang dihantar Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong, bertarikh 22 November 2022.

Beliau menegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat (letterhead) BN yang ditandatangani Zahid selaku Pengerusi BN mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pada 22 November (semalam).

Sebaliknya, kata beliau Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada mulanya Zahid cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih.

“Surat yang diserahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru itu, MCA percaya YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat seterusnya digantikan dengan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tipu Agong salah berat. -Annuar Musa. & Zahid, kata MCA.

Annuar Musa menyifatkan percubaan untuk menipu Yang di-Pertuan Agong, adalah satu kesalahan yang amat berat. Beliau mendakwa surat Pengerusi BN  kepada YDP Agong merupakan surat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada Oktober 2020.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails