Friday, November 25, 2022

PN sah pembangkang. Muhyiddin menurut Barjoyai Bardai.

 

1. PN sah jadi pembangkang, tapi mahu rintis kerjasama lain

Selepas menyatakan keputusan enggan menyertai kerajaan perpaduan Perikatan Nasional (PN) petang ini menyatakan kesanggupan mereka bekerjasama dengan pendekatan lain.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata PN bagaimanapun terbuka untuk merintis kerjasama dalam bentuk lain dengan kerajaan.

Dalam kenyataan terbarunya ahli parlimen Pagoh itu berkata PN memang menghargai tawaran dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membawa mereka menyertai kerajaan.

Namun, katanya, atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak-imbang yang berkesan di parlimen PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan.

"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke parlimen," katanya.

Tambah bekas perdana menteri itu lagi PN juga akan memastikan perjalanan urus tadbir yang baik serta berintegriti selaras dengan dasar mereka iaitu prihatin, bersih dan stabil.

"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan kerajaan dan pembangkang," katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa PN bersedia mencari persefahaman dengan Putrajaya melalui kaedah perjanjian berbentuk persefahaman yang pernah dimeterai Pakatan Harapan (PH) bersama perdana menteri terdahulu, Ismail Sabri Yaakob.

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani PH dan Ismail Sabri sebagai langkah memberikan kestabilan kepada kerajaan pusat selepas Malaysia menyaksikan berlaku tiga kali pertukaran perdana menteri selepas PRU ke-14.

Satu lagi cara kerjasama yang biasa dicapai di antara blok kerajaan dan pembangkang dalam negara demokrasi ialah perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Semalam Muhyiddin masih lagi bertegas untuk mencabar keabsahan Anwar selepas pengerusi PH itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Muhyiddin yang sebelum ini mengumumkan PN memiliki sokongan majoriti ahli parlimen di sebalik kedudukan parti itu menjadi blok kedua terbesar selepas PH juga mahu Anwar membuktikan sokongan yang diperolehinya.

Anwar kemudian mengumumkan sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Dis ini dengan agenda penting selepas majlis angkat sumpah ialah usul undi percaya kepadanya.

Menurut Anwar usul itu akan dibawa sendiri oleh kerajaan.

Isu kestabilan dalam kerajaan menjadi antara aspek utama yang ditekankan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan kerajaan baru selepas PRU pada 19 Nov lalu.


2. Tindakan Muhyiddin di luar dugaan – Barjoyai Bardai

KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan yang dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh untuk jawatan Perdana Menteri ke-10 disifatkan sebagai di luar dugaan semua pihak.

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Dr Barjoyai Bardai  berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dibuat Muhyiddin dalam satu sidang media yang diadakan pada petang semalam (24 Nov).

“Hal ini kerana, apabila Yang di-Pertuan Agong bersama-sama Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan (melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baharu), maka keputusan perlu dijadikan keputusan umum yang perlu diterima oleh semua pihak,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Menjelaskan lebih lanjut beliau menegaskan bahawa dalam perlembagaan Persekutuan juga tidak dinyatakan individu yang mempunyai sokongan yang mencukupi melalui akuan berkanun (SD) boleh menjadi perdana menteri.  

“Dalam perlembagaan Persekutuan hanya dinyatakan siapakah yang difikirkan paling layak menjadi perdana menteri,” jelasnya. 

Menurut beliau, perkara keabsahan itu bukan menjadi isu besar bagi pelantikan perdana menteri Malaysia ke-10.  

“Muhyiddin dan PN boleh sahaja mengemukakan bukti keabsahan ini dalam parlimen nanti melalui undi percaya atau tidak percaya yang akan dilakukan di dalam pertemuan pertama di parlimen,” ujarnya lagi.

Keliru konsep kerajaan perpaduan

Justeru, Barjoyai turut menimbulkan persoalan bahawa beliau sebenarnya agak keliru dengan konsep kerajaan perpaduan di Malaysia. 

“Definisi sebenar kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang mengandungi semua ahli parlimen iaitu tidak mengira daripada parti mana mereka datang. 

“Jadi dalam kerajaan perpaduan tidak ada pembangkang, pembangkang akan ada dalam kerajaan sendiri,” tegas beliau.

Tambah Barjoyai, kewujudan kerajaan perpaduan merupakan satu tindakan yang kreatif dan inovatif. 

“Jikalau wujud kerajaan (perpaduan)  ini, pertamanya, kita boleh mengharapkan bahawa kabinet yang dilantik adalah meliputi semua wakil-wakil yang mempunyai kumpulan besar dalam ekonomi. Jadi, ia merupakan kumpulan profesional yang layak daripada pelbagai parti.

“Seterusnya melalui kerajaan perpaduan itu, ahli kabinetnya nanti tidak mengira seseorang itu terdiri daripada parti mana. 

“Jikalau ini dapat dilakukan, kita boleh mencapai satu keajaiban baharu, yang mana Malaysia mempunyai kabinet daripada berbilang parti,” jelasnya.

Namun begitu, ujar Barjoyai, tidak mustahil ada pihak yang mempersoalkan jika semua parti ada dalam kerajaan, siapakah pula yang akan menjadi pembangkang? 

“Pembangkang masih terus ada dalam parlimen kerana pembangkang boleh wujud dari dalam. Adalah mudah menjadi pembangkang dari dalam kerana setiap mereka mempunyai maklumat yang sama.

“Pembangkang dari luar mempunyai masalah kerana tidak ada previllage untuk mendapatkan maklumat-maklumat khusus tentang kerajaan,” katanya.  – HARAKAHDAILY 25/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PN sah pembangkang. Muhyiddin menurut Barjoyai Bardai.

Tindakan Muhyiddin mencabar Anwar kemukakan sokongan bagi mengabsahkan jumlah perolehan untuk PM-10 disifatkan sebagai di luar dugaan semua pihak. Mengapa?

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails