Friday, November 25, 2022

Undilah PN di N.42 Tioman. Petisyen kabur, bantulah!

 


1. Sebak, gambar ini menceritakan banyak perkara

KUALA LUMPUR: “Sebak hari ini. Gambar ini menceritakan banyak perkara,” ujar calon PERIKATAN NASIONAL di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau memberitahu ketika arwah Haji Md Yunus Ramli ada, ke sana sini tidak mengira musim pilihan raya umum, mengedarkan bantuan kebajikan.

“Sayalah antara orang yang di belakangnya, memastikan agenda kebajikan untuk warga Tioman.

“Kami turun padang bersama. Bekerja sebagai satu pasukan. Hari ini, saya menggantikan arwah sebagai calon PERIKATAN NASIONAL. Al-Fatihah buat arwah,” katanya.

Dalam hantaran yang lain, beliau menyatakan telah diamanahkan oleh PERIKATAN NASIONAL untuk menjadi calon N.42 Tioman.

Katanya, beliau sentiasa mohon pertolongan daripada Allah supaya permudahkan segala urusan.

“Insya-Allah, saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.

“Berikan sokongan anda kepada saya. Beritahu seluruh pengundi di Tioman untuk menyokong saya,” ujarnya lagi.

Beliau adalah calon wanita tunggal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DUN Tioman yang dicabar oleh calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Hari ini adalah penamaan calon susulan PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Dis ini, dengan 3 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.   HARAKAHDAILY 24/11/2022

2. Saingan lima penjuru di DUN Tioman

ROMPIN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan seorang Bebas.

Calon wanita tunggal Nor Idayu Hashim yang mewakili PN dicabar oleh calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga penyandang kerusi itu, selain Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Pegawai Pengurus pilihan raya Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.50 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, ditutup pada 10 pagi.

“Kita menerima kertas pencalonan baharu daripada seorang calon pada hari ini, manakala calon yang telah disahkan pencalonan pada 5 Nov lepas tidak perlu menghantar kertas pencalonan mereka hari ini.

“Setelah selesai kertas-kertas pencalonan disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yaang ditolak kertas pencalonannya,” katanya.

Pada hari ini, hanya Nor Idayu hadir bagi mengemukakan kertas pencalonan manakala calon lain hadir untuk proses undian bagi menentukan susunan nama pada kertas undi.

Bagaimanapun, calon PH hanya diwakili wakilnya, Manan Mohamad dalam proses itu kerana difahamkan beliau berada di ibu negara. 

Cuaca cerah di pusat penamaan hari ini, membolehkan ratusan penyokong PN dan BN berkumpul di luar pagar pusat penamaan sebagai tanda sokongan kepada calon mereka manakala tiga lagi calon yang bertanding tidak membawa penyokong. 

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Dis ini, dengan 3 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada pilihan raya umum ke-14, Mohd Johari menang dengan majoriti 1,280 undi menewaskan Md Yunus yang memperoleh 5,382 undi, calon PKR Sazili Mohd Nor (3,029 undi) manakala calon Bebas Imam Zul hilang deposit selepas hanya mendapat 58 undi. – BERNAMA

3. Kredibiliti undi PRU15 jangan dikelirukan petisyen kabur 

DALAM kemelut kerajaan tergantung 5 hari ini, berbagai andaian timbul dan media memain peranan menyampaikan berita perjalanan pembentukan Kerajaan Malaysia. Tidak kurang juga media yang kelihatannya berat sebelah dan menimbulkan persepsi pelbagai.

Semenjak pengumuman keputusan PRU-15 pada malam 19 November lalu, media telahpun mewawancara parti gabungan tertinggi PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Pakatan Harapan (PH). 

Jelas dalam wawancara itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih berkeyakinan dengan kemenangan 73 kerusi dan sokongan dari parti utama Sabah dan Sarawak. Beliau turut menyatakan akan berunding lagi dengan Bebas. 

Manakala Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula terlihat gugup dengan kemenangan gabungan PH 82 kerusi. 

Susulan dari itu, muncul pula konflik dalaman Barisan Nasional (BN) yang memenangi 30 kerusi di mana sebahagiannya telah menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Manakala surat Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan 30 MP BN menyokong Dato’ Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Konflik BN ini bagaimanapun telah menyebabkan MP BN keseluruhannya menarik semua sokongan terhadap mana-mana parti gabungan sama ada PN mahupun PH.

Walaupun demikian, PN masih mempunyai sokongan melebihi gabungan PH walaupun kedua-duanya tidak mendapat ‘simple majority’ seperti yang telah ditetapkan Perlembagaan sebagai syarat untuk membentuk kerajaan.

Kepimpinan PN, ahli serta penyokongnya kekal tenang di bawah seruan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang agar kekal tenang kerana PN masih mendahului.

Namun, terlalu banyak propaganda lawan yang menimbulkan provokasi jahat dan menyeleweng serta menimbulkan persepsi buruk terhadap PN. Juga timbul pula petisyen yang kononnya rakyat Sarawak tidak menyokong PN.

Sokongan Sabah dan Sarawak telah lama diperoleh sebelum pilihan raya lagi kerana keyakinan rantau Borneo itu terhadap PN yang telah terbukti mampu mentadbir dan memulihkan ekonomi Malaysia di ketika pandemik dahulu.

Keyakinan itu juga disumbang dari keupayaan sangat baik PN dalam mentadbir negeri-negeri di mana tidak terhasil oleh negeri PH. Inilah yang membawa sokongan daripada Sabah dan Sarawak untuk menyokong gabungan PN. 

Maka tidak perlu segala provokasi dan petisyen kelabu yang menyeleweng serta tidak menghormati majoriti pengundi yang telah mengundi pada PRU-15.

Kekal tenang menunggu keputusan mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada hari ini. 

QATRUNNADA MOHD LATFI – HARAKAHDAILY 24/11/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimUndilah PN di N.42 Tioman. Petisyen kabur, bantulah!

Ya, Nor Idayu Hashim, 35, Ketua Muslimat parti itu bagi Cawangan Pianggu. Gelombang pengundi pada PRU15 ini menyaksikan pengundi beralih daripada BN kepada PN, di Parlimen Rompin dan DUN Bukit Ibam.

Nor Idayu, berkelulusan Diploma Perakaunan UiTM Machang, Kelantan, perlu dimenangi bagi memastikan terdapat ‘suara wanita’ di DUN Pahang.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails