Monday, November 21, 2022

PM10: PN kemuka surat akuan. Perak: K/Perpaduan BN-PH

 

Dato’ Seri Hamzah Zainudin

1. PM10: PERIKATAN NASIONAL telah kemuka surat akuan berkanun

KUALA LUMPUR: Parti PERIKATAN NASIONAL telah mengemukakan surat akuan berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah surat akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menyatakan perkara itu dalam kenyataan dua perenggan, sebentar tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung 19 November lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi Parlimen diikuti PERIKATAN NASIONAL (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga), masing-masing satu kerusi daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua calon Bebas.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi. – HARAKAHDAILY 21/11/2022


2. PRU15: 'Kerajaan Perpaduan Negeri Perak', nama baharu gabungan BN-PH 

Saarani turut menafikan BN menerima tawaran bekerjasama dengan PH kerana parti itu mahukan jawatan Menteri Besar. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA KANGSAR: "Sekarang ini kita pakai Kerajaan Perpaduan Negeri Perak".
Itu jawapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika ditanya nama baharu gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) di Perak.
Dalam sidang media di sini pada Isnin, Saarani turut menafikan BN menerima tawaran bekerjasama dengan PH kerana parti itu mahukan jawatan Menteri Besar.
"Tidak betul. Sebab saya sebutkan tadi, kami ni bersedia untuk jadi pembangkang. Sebab kami sedar dirilah. Kita bersedia untuk jadi pembangkang, kita kalah.
"Tapi bila ada mana-mana parti yang menawarkan kami untuk membentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, tentulah saya kena terima. Kalau saya tak terima tentu ahli kata saya bodoh.
"Tapi peranan dia (PH) bagi tu dan peranan itu sesuai pada saya sebab saya adalah orang yang yang ketuai Perak Sejahtera 2030, saya nak meneruskannya," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya jaminan kerajaan gabungan itu akan terus stabil, Saarani menegaskan fokus utama kini adalah rakyat dan beliau yakin kedua-dua parti dapat mengetepikan perbezaan demi rakyat.
"Saya fikir kedua-dua parti ini sudah berpengalaman dan rasionalnya ada. Saya yakin kita mempunyai niat dan tujuan yang sama, untuk beri fokus kepada pembangunan negeri.
"Kita akan kesampingkan perbezaan yang ada, memilih untuk mencari titik pertemuan kerana tujuan kita adalah sama.
"Fokus utama hanyalah untuk rakyat negeri Perak...ketepikan perkara sampingan dan tumpu kepada perkara utama," ujarnya.
Komen Weblog Ibnu HasyimPM10: PN kemuka surat akuan. Perak: K/Perpaduan BN-PH.
Ini, nama baru gabungan BN-PH, 'Kerajaan Perpaduan Negeri Perak'. Akan merebakkah ke negeri-negeri lain?

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails