Saturday, November 26, 2022

Sebak, 3 keadaan: Muhyiddin, MB Perlis & rogol Trump..

 


1. Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat

KUALA LUMPUR: “Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini,” ujar Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi laman Facebooknya, malam ini.

Katanya, beliau juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa.

“Insan kerdil yang juga punya air mata,” tambahnya yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15, Sabtu lalu.

Berikut tulisan penuh.

Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.

Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.

Ingatlah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT dan semoga perjuangan kita semua diredai Yang Maha Esa.

Terima kasih semua rakyat Malaysia.

Ikhlas daripada saya,
MUHYIDDIN YASSIN – HARAKAHDAILY 25/11/2022


2. Kerajaan Perlis harap tidak dipinggirkan kerajaan perpaduan  

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

KANGAR: Kerajaan Perlis berharap kerajaan Pusat tidak meminggirkan negeri itu terutama dalam soal pembangunan, walaupun Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di peringkat Pusat.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kerajaan Pusat adalah kerajaan perpaduan, bermakna perpaduan itu hendaklah bersama dengan semua negeri, termasuk Perlis.

"Perpaduan ini mestilah membabitkan semua dan tidak hanya di peringkat Pusat, di negeri juga perlu juga diberikan perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata demikian ketika ditanya mengenai perjalanan kerajaan Perlis selepas PN bertindak untuk menolak bersama kerajaan perpaduan menjadikan gabungan itu sebagai wakil pembangkang di Parlimen.

Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Kami mengirim ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman sosial Facebook.

"Diharapkan beliau mampu menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sebaik mungkin dalam membawa amanah rakyat bersama," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu lalu, PN Perlis berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, selain 'menyapu bersih' tiga kerusi Parlimen di Padang Besar, Kangar dan Arau.

Kejayaan gemilang PN itu sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Perlis selama 65 tahun.


3. Kes rogol: Trump kena saman kali kedua 

Trump menafikan tuduhan rogol tersebut malah beliau menjelaskan tidak mengenali Carroll dan wanita itu bukan 'jenis yang diminatinya'. - Gambar fail AP

NEW YORK: Penulis, E Jean Carroll memfailkan saman kedua ke atas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang didakwa memperkosanya pada 1990-an.
Carroll, 78, adalah antara orang pertama yang mengemukakan tuntutan undang-undang di bawah Akta Orang Dewasa Terselamat yang dikhususkan untuk individu berusia 18 tahun ke atas yang berkuat kuasa pada Khamis.
Wanita itu mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik persalinan gedung beli-belah mewah, Bergdorf Goodman di New York, kira-kira 27 tahun lalu.
Sebelum ini, bekas kolumnis majalah Elle tersebut pernah mengemukakan saman fitnah terhadap Trump selepas bilionair hartanah itu mendakwanya berbohong ketika dia mendedahkan kes tersebut pada tahun 2019.
Pada masa itu, Trump menafikan tuduhan rogol tersebut malah beliau menjelaskan tidak mengenali Carroll dan wanita itu bukan 'jenis yang diminatinya'.
Menerusi saman terbaharu tersebut, Carroll menuntut ganti rugi punitif yang tidak ditentukan untuk impak psikologi, penderitaan dan kesan kepada reputasinya.
Difahamkan, perbicaraan sivil untuk kes berkenaan dijadualkan pada 6 Februari depan. - Sinar Harian memetik agensi
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sebak, 3 keadaan: Muhyiddin, MB Perlis & rogol Trump..
(i) Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat. Ujar Pengerusi PN menerusi laman Facebooknya.
(ii) Kerajaan Perlis harap tidak dipinggirkan kerajaan perpaduan di bawah PM baru. Tidak seperti sebelumnya, kerajaan Persekutuan meng'anak tiri'kan kerajaan pembangkang PAS hanya kerana Melayu-Islamnya, tidak seperti Pulau Pinang, Selangor dan lain-lain.
(iii) Penulis, E Jean Carroll memfailkan saman kedua ke atas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang didakwa memperkosanya pada 1990-an.
Hal itu berlaku kerana politik di AS bukan politik madani berteraskan agama dan akhlak kemanusiaan. Maka timbullah tuduhan soal presiden merogol rakyat sendiri, yang lebih rendah akhlaknya dari binatang.
Sekian.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails