Thursday, August 04, 2022

Rizab air terawat rendah. Sokong tubuh RCI China X keluar

 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

1. Rizab air terawat Kedah, Kelantan sangat rendah

KUALA LUMPUR: Rizab margin air terawat di Kedah dan Kelantan pada tahap kosong peratus menyebabkan kedua-dua negeri itu terdedah kepada risiko gangguan jika berlaku kenaikan permintaan secara mendadak.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keadaan itu adalah antara punca utama masalah bekalan air terawat di Kedah dan Kelantan, selain purata kadar tarif yang rendah dan kadar kehilangan air (NRW) yang tinggi.

Katanya, purata kadar tarif di Kelantan ialah RM1.12/m3, manakala di Kedah ialah RM1.11/m3 berbanding purata tarif kebangsaan sebanyak RM1.68/m3.

“Situasi itu menyebabkan dua negeri ini sukar untuk melaksanakan perbelanjaan operasi (OPEX), apatah lagi perbelanjaan modal (CAPEX) untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada pengguna.

“Keadaan ini secara tidak langsung juga menjejaskan kemampuan kedua-dua operator air, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Syarikat Air Kedah Darulaman Sdn Bhd (SADA) untuk membayar sewa pajakan CAPEX kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjelaskan punca sebenar masalah bekalan air terawat di Kedah dan Kelantan yang berlarutan.

Tuan Ibrahim berkata, NRW yang tinggi iaitu 52.6 peratus di Kelantan dan 49.9 peratus di Kedah, berbanding purata kebangsaan 36 peratus juga merupakan punca masalah bekalan air terawat di Kedah dan Kelantan.

Katanya, NRW yang tinggi menjejaskan pengoperasian dan hasil kedua-dua operator dalam memenuhi permintaan air yang kian meningkat daripada sektor domestik dan industri.

Sehubungan itu, katanya penyelesaian kepada isu air di kedua buah negeri itu memerlukan tindakan berterusan secara proaktif melibatkan tiga aspek utama, iaitu pembangunan aset air, kemampanan kewangan dan intervensi kawal selia yang lebih mantap.

Beliau berkata, mengikut Rolling Plan Ke-2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), KASA memperuntukkan RM121.2 juta bagi pelaksanaan projek air untuk Kedah dan kemudahan pinjaman daripada PAAB sebanyak RM80 juta di bawah Tempoh Operasi ke-4 (OP4) bagi 2021 hingga 2023.

Manakala bagi Kelantan, katanya sebanyak RM7.1 juta diperuntukkan di bawah RP2, RMK-12 dan kemudahan pinjaman daripada PAAB, iaitu RM664.8 juta bagi Kelantan di bawah OP4 bagi 2021 hingga 2023.

“Fokus utama ialah isu melibatkan air margin terawat, isu kehilangan air, perluasan program penggantian pemasangan paip air dan sistem retikulasi, dan pemodenan sistem teknologi maklumat.

“Dari aspek intervensi kawal selia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menubuhkan Task Force Bekalan Air Kelantan, Kedah dan Pahang bagi melihat secara dekat tentang pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai, pelaksanaan projek sumber dan bekalan air, serta pemantapan program NRW dan pematuhan indikator kualiti air oleh AKSB dan SADA. – HARAKAHDAILY 2/8/2022 

2. Sokong tubuh RCI siasat isu warga China tidak keluar 


KAMI menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu 1.2 juta warga China tidak keluar dari Malaysia seperti yang dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat baru-baru ini. Rekod daripada Jabatan Imigresen menunjukkan dalam tempoh 2018-2021, 1.2 juta warga China yang masuk ke negara ini tiada rekod keluar.

Situasi tersebut sememangnya membimbangkan kerana jumlah tersebut sangat besar. Lebih merunsingkan, Laporan Ketua Audit Negara 2018 turut mendedahkan lebih 100,000 pelancong dari negara China dan India tiada rekod keluar atau kira-kira 95 peratus daripada jumlah pelancong yang hadir dari kedua-dua negara. 

Penubuhan RCI ini bagi memastikan suatu siasatan yang terbuka dan bebas. Ia perlu berobjektifkan mencari ruang-ruang kelemahan yang ada di pintu masuk negara selain kelompongan sistem kemudahan visa seperti program pengecualian visa (eNTRI) dan Visa Semasa Ketibaan (VOA). 

Tambahan lagi, siasatan tersebut juga wajar mendedahkan kewujudan unsur jenayah rasuah dan salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia jika ada.  

Isu pelancong ‘hilang’ ini terus berlarutan saban tahun. Ia tidak kurang berkait dengan peningkatan jenayah dalam negara melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selain sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan MyKad. Perkara ini pernah didedahkan sebelum ini sehingga membawa kepada penangkapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang pada tahun 2019.

Sindiket tersebut diikuti dengan pendedahan seorang ahli perniagaan China yang mengaku membeli MyKad dengan harga yang lumayan mencecah RM400,000. Tambahan lagi, pihak berkuasa turut berjaya memberkas lebih 600 warga China di Cyberjaya kerana terbabit dengan ‘scammer’. 

Lebih membimbangkan apabila kelompok yang menerima MyKad palsu ini mendapat keistimewaan sebagai warganegara, malah turut diberikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya. Maka, langkah proaktif bagi mengatasi isu ini memerlukan kehendak politik yang kuat daripada Kerajaan Persekutuan. 

Kesemua ini merupakan rantaian isu yang berlaku dan pernah dilaporkan tahun-tahun sebelumnya. Oleh itu, penubuhan RCI bagi menyiasat dan merungkai kesemua ‘puzzles’ merupakan langkah yang sangat mustahak untuk dipertimbangkan. 

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
2 Ogos 2022 / 3 Muharram 1444H-  HARAKAHDAILY 2/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Rizab air terawat paling rendah. Al-hamdulillah kerana kita miliki pemimpin yang pandai mentadbir. Bahkan kita juga sokong tubuh RCI siasat isu warga China pendatang  haram yang tidak keluar-keluar dari negara ini..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails