Saturday, August 06, 2022

DAP sokong pinda Perlembagaan. PAS temui K/Kristian..

 

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada 5 Ogos 2022.

1. Isu hak kewarganegaraan anak kelahiran luar negara: 42 Ahli Parlimen DAP sokong pindaan Perlembagaan Persekutuan

DAP berasa simpati dengan nasib ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak mereka di luar negara selepas Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (kes Suriani Kempe & Ors. Lwn. Kerajaan Malaysia) pada 2021 bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Ini adalah satu ketidakadilan kepada golongan wanita. Seolah-olah hak seseorang ibu ke atas anak mereka lebih rendah daripada hak seseorang bapa. Ini melanggar prinsip kesamarataan gender yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Persekutuan. Tiap-tiap anak – kita semua dibawa ke dunia ini oleh ibu. Ketidakadilan terhadap kaum ibu sedemikian membawa kesan yang negatif sekali untuk institusi kekeluargaan. 

Dengan keputusan mahkamah hari ini, bagaimana kita membela nasib ribuan anak-anak yang sememangnya mahu memperoleh kewarganegaraan Malaysia tetapi ditolak berkali-kali, bertahun-tahun? Ramai yang kekal berstatus tidak berkewarganegaraan (‘stateless’), ada pula yang terpaksa menjadi warganegara untuk negara asing. Sejak kecil, anak-anak ini membesar dalam keadaan yang serba mencabar. Ada yang dihina hanya kerana isu kewarganegaraan. Kalau kerajaan dan pemimpin politik masih  ‘buat tak nampak’, ini adalah perbuatan yang cukup zalim.

Untuk mengatasi isu ketidakadilan ini, saya syorkan Perlembagaan Persekutuan diperkasakan dengan pindaan yang sewajarnya untuk memberikan hak yang sama kepada para ibu warganegara Malaysia dan membela nasih anak-anak mereka yang ingin menjadi warganegara Malaysia.

Justeru itu, DAP menyeru Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri untuk membentangkan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam sidang Parlimen yang akan datang untuk memberi keadilan kepada wanita. 

Kesemua 42 Ahli Parlimen DAP akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut. Saya juga yakin rakan-rakan kami di kalangan Pakatan Harapan akan memberikan sokongan yang sama. – Roketkini.com


2. PAS temui Ketua Bishop Kristian Malaysia 


KANGAR: Perpaduan ummah yang dirintis PAS bukan hanya membabitkan parti-parti politik yang ada di Malaysia, malah turut mencakupi hubungan antara agama.

Lajnah Dakwah PAS (LDP) Pusat dengan kerjasama LDP Perlis menganjurkan pertemuan mahabbah antara Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin bersama Ketua Bishop Kristian Malaysia, Dato’ Seri Bishop Sebastian, semalam.

Tuan Guru Hashim berkata, pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mencapai perpaduan ummah antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Jika ada perbezaan pendapat antara kita, lebih baik diketepikan terlebih dahulu kerana banyak lagi persamaan yang boleh kita raikan,” katanya pada perjumpaan tersebut yang diadakan di Hotel Seri Malaysia.

Turut hadir Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Majlis Syura Ulamak Tuan Guru Ahmad Ali, AJK Kerja PAS Pusat; Dato’ Awang Hashim, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Ketua Paderi Negeri Paderi Francis Xavier.

Program itu turut dihadiri wakil agama Kristian di seluruh Perlis dan AJK Dewan Pemuda dan Muslimat Negeri PAS.

Tuan Guru Hashin juga berharap setiap rakyat saling mempercayai antara satu sama lain dan jika ada perselisihan hendaklah diselesaikan dengan cara baik.

“Agama Islam tidak mengajar penganutnya mempersenda agama lain agar ia menjadi benteng tidak berlaku pertelingkahan sesama kita.

“Semoga perjumpaan ini bukanlah yang terakhir, teruskan lagi di masa akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/8/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails