Thursday, August 04, 2022

Inflasi Indonesia melonjak, P'cis usir pendakwah, M'sia tahap 3.

 


1. Inflasi Indonesia melonjak ke paras tertinggi

JAKARTA: Inflasi Indonesia meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun didorong oleh harga makanan yang melambung tinggi dan mencetuskan gesaan untuk kenaikan kadar faedah.

Kadar inflasi pada Julai adalah sebanyak 4.94 peratus, tertinggi sejak Oktober 2015 namun Gabenor Bank Pusat Indonesia memberi isyarat bahawa beliau tidak terganggu kerana inflasi teras kekal rendah, lapor Reuters.  

Kadar inflasi tertinggi dalam tujuh tahun ini mencerminkan kenaikan harga makanan, bahan api isi rumah dan tambang penerbangan, serta kenaikan beberapa tarif elektrik.

Tinjauan Reuters sebelum ini menjangkakan kadar inflasi Julai hanya 4.82 peratus berbanding 4.35 peratus pada Jun. Kadar inflasi teras Julai telah menghapuskan harga dikawal kerajaan dan harga makanan yang tidak menentu.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati menyebut kadar inflasi pada Julai sebagai ‘agak sederhana’. Inflasi Indonesia secara relatifnya terkawal disebabkan oleh subsidi tenaga kerajaan yang tinggi.

“Walaupun inflasi teras diawasi oleh penggubal dasar, kadar benar negatif dan keperluan untuk menambat jangkaan inflasi mungkin mendorong tumpuan dasar ke arah kenaikan tambahan menjelang akhir-3Q,” kata ahli ekonomi DBS, Radhika Rao.

Sementara CNBC melaporkan, kadar inflasi teras Julai Indonesia, yang menghapuskan harga dikawal kerajaan dan harga makanan yang tidak menentu, secara kasarnya sejajar dengan jangkaan pada 2.86 peratus, meningkat daripada 2.63 peratus pada sebulan sebelumnya.

Julat sasaran Bank Indonesia (BI) untuk inflasi utama ialah 2 hingga 4 peratus, tetapi pembuat dasar berkata mereka lebih suka menentukan kadar pengetatan monetari dengan melihat pada kadar inflasi teras.

Bank pusat Indonesia itu telah menaikkan nisbah keperluan rizab bank, menjual beberapa pegangan bonnya dan mengurangkan lebihan mudah tunai menggunakan operasi pasaran terbukanya tahun ini, dalam langkah untuk melepaskan beberapa rangsangan pandemik Covid-19 dan ia telah mengekalkan kadar penanda arasnya pada rekod rendah 3.50 peratus sejak Februari 2021. – HARAKAHDAILY 2/8/2022

2. Perancis: Pengusiran keluar pendakwah Islam terkenal dibantah 

Imam Hassan Iquioussen bakal diusir keluar dari Perancis. (FOTO Change.org)

NICE, Perancis: Beberapa organisasi dan masjid di Perancis membantah keputusan Kementerian Dalam Negeri Perancis yang bertindak kejam mengusir keluar Iman Islam terkenal, Hassan Iquioussen dari negara itu.

Imam tersebut berdepan dengan pengusiran itu selepas pihak berkuasa Perancis dikatakan bertindak tidak adil untuk tidak memperbaharui permit kediamannya dan melakukan tuduhan tidak berasas terhadapnya, lapor Anadolu Agency.

Dalam beberapa kenyataan media, ketua pelbagai organisasi di Perancis turut menggesa penolakan prosedur berkenaan yang disifatkan sebagai tidak adil terhadap Iquioussen.

Timbalan Kesatuan Rakyat Ekologi dan Sosial Baru Utara (NUPES), David Guiraud dalam kenyataannya pada Ahad lalu telah melahirkan rasa kecewanya terhadap perkara tersebut.

“Hassan Iquioussen sentiasa membuat kenyataan yang konsisten dengan nilai-nilai kebangsaan (Perancis) iaitu kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan, serta sekularisme. 

“Beliau dengan setia berkempen tanpa jemu untuk mempromosikan dialog, rasa hormat dan kebersamaan,” kata kenyataan itu. 

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, Majlis Masjid Rhone (CMR) dan Majlis Teologi Imam Rhone (CTIR) berkata, tuduhan terhadap Iquioussen seolah-olah tidak selari dengan semangat keadilan dan kesaksamaan Imam tersebut. 

“Kami sentiasa mengenali beliau sebagai seorang yang setia kepada komitmennya menentang kebencian, perkauman, anti-Semitisme, ekstremisme, obskurantisme, keganasan dan penyokong kesaksamaan gender.

“Selama ini, beliau tanpa jemu mempromosikan dialog, rasa hormat, keamanan dan kerjasama yang aman (di Perancis),” kata Kamel Kabtane untuk RMC, dan Mohamed Minta dan Azzedine Gaci untuk CTIR.

Selain itu, tidak kurang daripada 26 masjid di utara Perancis juga telah mengeluarkan kenyataan bersama mempertahankan Iquioussen.

Petisyen yang dilancarkan Jumaat lalu bagi membantah pengusiran Iquioussen telah mengumpulkan hampir 15,000 tandatangan.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin menurut laporan Morocco World News berkata bahawa negaranya bersedia untuk mengusir Iquioussen.

Menteri itu secara terbuka menuduh imam keturunan Maghribi kelahiran Perancis itu mengamalkan ucapan kebencian terhadap nilai-nilai Perancis, bertentangan dengan prinsip sekularisme dan kesaksamaan antara wanita dan lelaki.

Iquioussen yang dilahirkan pada 1964 di Denain, di timur laut Perancis kepada pasangan Maghribi yang berhijrah ke negara itu sejak 1938 yang menurut wikipedia, telah menerbitkan video YouTube memaparkan syarahan mengenai agama dan politik sejak Disember, 2021 yang sehingga Julai 2022, gabungan kesemua video berkenaan telah meraih 33 juta tontonan. – HARAKAHDAILY 3/8/2022.

3. NGO 'hairan' Jabatan Negara AS letak Malaysia di tahap 3  


KELANA JAYA: Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (Jabatan Negara) mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan negara pada Tahap 3, disifatkan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai agak 'menghairankan'.

Pengasas Stop Human Trafficking (SHUT), Dini Dalilah Wan Nordin, berkata kedudukan Malaysia itu tidak menggambarkan kerja keras dilaksana pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan juga NGO.

"Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha, bawa ke Parlimen, pinda akta, beri peruntukan tambahan, buat kempen dengan kerjasama NGO serta pertubuhan masyarakat madani (CSO). Biarpun rasa banyak lagi boleh diperbaiki tapi tidak bermakna kita tidak melakukan sebarang usaha.

"Jika boleh ditanya.. saya ingin tahu bagaimana mereka letakkan penanda aras hingga letakkan kita di tahap 3. Sepatutnya mereka perlu lebih realistik sebab saya sendiri melihat pelbagai usaha dan kerja dilaksanakan pelbagai pihak."Saya bukan hendak cakap kita lakukan banyak perkara sampai perlu letak (kedudukan) dalam tier 1, tetapi bagi saya biarlah kesungguhan itu turut dinilai," katanya selepas Persidangan Penerbangan Menentang Pemerdagangan Orang (AATIP-C) 2022 di sini hari ini.

Persidangan dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Pengerusi Malaysia Aviation Group (MAG), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penjelasan perlu diberikan pihak berkaitan terutama Jabatan Negara dalam menentukan penanda aras penilaian mereka.

"Jadi kami nak tahu lebih lanjut, kalau kami kurang ilmu, tolong bantu fahamkan kami. Kalau nak cerita kesungguhan kerajaan, rasanya pelbagai perkara sudah dilakukan.

"Saya sedih sebab sebagai NGO, kami bekerja keras tapi tidak ada peningkatan ketara, sekurang-kurangnya bagi kami inspirasi untuk bekerja.

"Jika mereka kata negara ini tidak beri kebebasan pergerakan kepada mangsa, rasanya ada kelonggaran itu, namun dalam kes tertentu contohnya mangsa masih lagi dalam perbicaraan, tentunya pergerakan terbatas kerana soal keselamatan mangsa diutamakan.

"Tapi mereka (Jabatan Negara) tidak kisah pun kepada soal (keselamatan) itu, begitu juga soal mereka kata kita kurang kesedaran, walhal pelbagai program, kempen, hebahan dibuat menerusi televisyen, radio, sosial media selain kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Malah bagi mempertingkat kesedaran, hebahan juga dibuat dengan kerjasama filem tempatan seperti Sindiket dan terbaharu filem Deleted," katanya.

Tambah Dini, pihak NGO akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi mencari penyelesaian terhadap penilaian Jabatan Negara itu berikutan impak kedudukan boleh memberi kesan kepada ekonomi.

"Perbincangan dan libat urus dengan kementerian diteruskan, mungkin apa langkah seterusnya. Kita cuba cari penyelesaian kalau sekiranya boleh dirayu (plea) dan kedudukan kita dapat diangkat sedikit," katanya

Semalam, Hamzah ketika di Dewan Rakyat, memaklumkan Malaysia menyifatkan penilaian Jabatan Negara mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan negara pada Tahap 3, sebagai subjektif.

Ini kerana, laporan berkenaan bukan hanya berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kerajaan Malaysia, sebaliknya membabitkan mana-mana pihak seperti NGO) dan CSO.

Beliau berkata, penilaian itu juga berpandukan perundangan Amerika Syarikat bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA).

Hamzah berkata, TVPA itu ada kalanya terdapat perbezaan dengan undang-undang dan amalan diguna pakai di Malaysia dalam konteks tiga elemen penilaian, iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa serta pencegahan.

Selain itu, katanya, laporan itu turut berpandukan pematuhan instrumen antarabangsa seperti Konvensyen PBB mengenai Jenayah Terancang (UNTOC) dan Protokol PBB mengenai Pemerdagangan Orang (Protokol TIP). (BH)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails