Monday, August 01, 2022

Air K'tan, Menteri PAS buat apa? Lompat parti `dosa’ ..

 


1. Air Kelantan: Kerajaan negeri dan Menteri PAS buat apa?

MENARIK jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkenaan isu air Kelantan di Dewan Rakyat sekali gus menjawab persoalan apa yang PAS buat bila jadi Kerajaan Persekutuan dalam isu air Kelantan.

Mari kita lihat apa yang Menteri KASA dari PAS buat. Yang demo duk kata dah Menteri Air dari PAS ada buat gapo, nie hok dio buat: 

1. Naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) dengan anggaran peruntukan bernilai RM207.2 juta melalui pinjaman kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dijangka akan siap menjelang tahun 2025. LRA yang terlibat adalah:

i. LRA  Chicha Fasa 2 berkapasiti 10 juta liter harian (JLH)

ii. LRA Tanjung Mas berkapasiti  30  juta  liter  sehari  (JLH)

iii. LRA  Bukit  Chupak berkapasiti 10 JLH 

2. KASA juga telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan LRA Bersepadu TAPS Machang berkapasiti 500 JLH di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3 RMKe-12). Cadangan ini akan melibatkan pembekalan air ke hampir keseluruhan  jajahan di Kelantan terutamanya Kota  Bharu, Machang, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.

3. Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan berjumlah RM69.95  juta dijangka siap pada tahun 2022. Skop kerja termasuk pemasangan meter System Input Volume (SIV), penggantian meter pengguna, pembaikan tangki-tangki dan penyediaan Geographic Information System (GIS); dan

4. Pembangunan Sumber Air: Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2) telah bermula sejak 26 Januari 2022 dengan tempoh kajian selama 18  bulan. Kajian  ini bertujuan untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan di lembangan-lembangan sungai di Negeri Kelantan untuk cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS). 

Dalam tak sampai dua tahun jadi Menteri pelbagai inisiatif telah dibawa oleh Menteri KASA ke Kelantan untuk selesaikan masalah air.

Mujurlah PAS jadi sebahagian Kerajaan Persekutuan.

Kalaulah tiada penindasan dan kezaliman dari BN ketika jadi Kerajaan Persekutuan dahulu, rakyat Kelantan tidak perlu berhadapan dengan masalah ini sekarang.

Kerajaan Negeri pun tak goyang kaki dengan peruntukan yang ada, Kerajaan Negeri telah peruntukkan RM49 juta untuk bangunkan Mini LRA bagi cukupkan air. Ianya melibatkan:

1. Mini LRA Teluk Mesira
2. Mini LRA Ketereh
3. Mini LRA Jelawat
4. Mini LRA Wakaf Baharu
5. Mini LRA Kg Perol
6. Mini LRA Meranti
7. Mini LRAKedai Buluh
8. Mini LRA Tendong

Termasuklah beberapa projek lain pun sudah siap dibina dan dinaik taraf, antaranya:

1- Loji Rawatan Air Kg Telok, Kota Bharu

2- Projek Baik Pulih Loji Rawatan Air Wakaf Bharu, Tumpat

3- Pemasangan Paip Tangki Lepan Jaya, Gua Musang

Fakta-fakta ini membukti Kerajaan PAS Kelantan dan Menteri KASA dari PAS tidak berdiam diri menyelesaikan isu air di Kelantan.

Jika ada yang masih tanya apa yang PAS buat dalam isu air di Kelantan. Ambik fakta ini beri pada mereka atau yang kita tahu orang politik yang buat tanya, ambil rembah atas muka.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/7/2022


2. Akhirnya lompat parti adalah suatu `dosa’ 

Suasana di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen membuat pengundian bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Lompat parti membabitkan wakil rakyat, sama ada yang bergelar Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Malaysia mempunyai sejarah yang panjang.

PAS yang ditubuhkan pada 1951 adalah antara parti politik terawal yang menerima kesan buruk akibat amalan lompat parti yang menyaksikan kerajaan PAS di Terengganu dijatuhkan pada 1961.

Dalam pilihan raya negeri selepas kemerdekaan pada 1959, PAS menawan Kelantan apabila menang 28 daripada 30 kerusi DUN. Di Terengganu, PAS juga berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti tipis, iaitu 13 kerusi daripada 24 kerusi DUN.

Namun, krisis kepemimpinan ketika itu menyebabkan kerajaan PAS Terengganu tumbang dalam undi tidak percaya pada 30 Oktober 1961.

Ini berikutan tindakan ADUN Jeram, Ahmad Azzam Mohd Hanafiah dan ADUN Marang, Mohd Taib Sabri Abu Bakar yang ketika itu adalah EXCO Kerajaan Negeri dan Speaker DUN, bertindak keluar dari PAS.

Amalan lompat parti terus berlaku di kebanyakan negeri dengan sesetengah negeri seperti Sabah lebih kronik kerana bukan sahaja lebih kerap, malah dalam skala lebih besar dengan membabitkan bilangan wakil rakyat yang ramai..

Era pasca PRU-14 yang diadakan pada 2018 boleh dianggap sebagai kemuncak amalan lompat parti di Malaysia dengan bilangan Ahli Parlimen yang melakukan tindakan itu mencecah hingga 39 orang.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia, dalam satu penggal Parlimen mempunyai tiga Perdana Menteri dan kerajaan berubah dari blok Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) + Barisan Nasional (BN) + Gabungan Parti Sabah dan Sarawak.

Bagi penganalisis politik, perkembangan ini dilihat sebagai amalan demokrasi negara yang tidak sihat dan membimbangkan.

Namun bagi rakyat, keadaan ini memualkan kerana apa yang dilihat dan didengar ialah ahli politik hanya mahu mempertahankan kedudukan diri dan politik masing-masing.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Ahli Parlimen ketika perbahasan RUU ini dengan menjadikan kadar keluar mengundi yang rendah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang rendah, selain golongan muda yang kelihatan menjauhkan diri di PRN Johor.

Antara kebimbangan rakyat ialah jika Perdana Menteri menyandang jawatan tidak sampai dua tahun, bilakah masa untuk memikirkan, merancang dan melaksanakan dasar atau projek yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Di peringkat negeri, kekalutan juga berlaku selepas PRU-14. Di Sabah, keadaan lebih dramatik apabila Barisan Nasional (BN) Sabah dan Warisan yang dipimpin bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, masing-masing memenangi 29 kerusi daripada 60 kerusi DUN.

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pimpinan Presiden Jeffrey Pairin Kitinggan, yang memenangi dua kerusi berjanji akan menyokong Tan Sri Musa Aman yang kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018.

Senario di Kuala Lumpur yang menyaksikan kerajaan BN tumbang mempengaruhi suasana politik di Kota Kinabalu. Sehari kemudian, enam wakil rakyat BN lompat parti menyokong Warisan dan memberi laluan kepada Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Dalam tulisan wartawan yang kemudian bekerja di Parlimen Australia, Dr Sarah Miskin, bertajuk “Politician Overboard: Jumping the Party Ship” pada 2003, katanya terdapat beberapa alasan mengapa Ahli Parlimen lompat parti.

Menurutnya, ini termasuk apabila sesuatu masalah yang perlu diselesaikan dengan cepat seperti pada tahun 1931 dan 1936, banyak lompat parti berlaku di Australia kerana mahu menubuhkan kerajaan dengan segera bagi menyediakan dasar yang cekap untuk menghadapi kegawatan ekonomi ketika itu.

Selain itu, katanya lompat parti boleh berlaku apabila aspirasi parti politik berubah dan apabila ahli politik mempunyai kepentingan peribadi.

Walaupun Ahli Parlimen PH sering menjadikan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH sebagai contoh lompat parti dan menyalahkan kerajaan sekarang, hakikatnya kerajaan PH sendiri tidak kisah untuk menerima Ahli Parlimen yang melompat menyertai PH.

Kepimpinan PH ketika itu sepatutnya menolak kemasukan Ahli Parlimen BN yang menyertai Bersatu. Hanya apabila terkena batang hidung sendiri selepas Langkah Sheraton, baharu Ahli Parlimen PH membangkitkan isu lompat parti.

Keburukan lompat parti bukan tidak diketahui atau disedari. Profesor Undang-Undang terkemuka, Allahyarham Datuk Salleh Buang, ketika hayatnya pernah mendedahkan bahawa sebanyak 41 daripada 193 negara di seluruh dunia telah melaksanakan Akta Anti Lompat Parti berdasarkan satu kajian dibuat sekitar tahun 2009.

Ini bermaksud, amalan lompat parti adalah isu sejagat dan bukan hanya masalah di Malaysia.

Malah di negara ini, Kelantan adalah antara negeri terawal melakukan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk mengharamkan lompat parti, namun tindakan itu dicabar di mahkamah.

Mahkamah Agung sebagai mahkamah paling tinggi pada 3 April 1992 memerintahkan dalam kes DUN lawan Nordin Salleh bahawa kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS, enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berpelembagaan.

Ini berikutan undang-undang demikian melanggar Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan kerana menjejaskan hak untuk kebebasan berpersatuan.

Sehubungan itu, pujian perlu diberikan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang sangat komited untuk meminda Perlembagaan dan membentangkan sendiri Bacaan Kedua (Pindaan Dalam Jawatankuasa) Pindaan Perlembagaan, Rabu lalu.

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang bekerja keras melakukan pindaan itu hingga mendapat sokongan lebih dua pertiga dalam undi belah bahagian.

Persoalannya, adakah RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 berkenaan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat menyelesaikan sepenuhnya amalan lompat parti.

Dr Wan Junaidi mengakui bahawa undang-undang ini bukan penyelesaian 100 peratus terhadap semua masalah, tetapi sebagai langkah pertama ke arah itu.

Pada peringkat ini, antara implikasi penting RUU ini ialah untuk memberi isyarat kepada rakyat bahawa ahli politik dan kerajaan serius untuk menangani amalan lompat parti

Inilah yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, ketika perbahasan RUU ini apabila beliau berkata: “Saya sering buka TikTok dan Facebook ahli politik, kadang-kadang kita dikecam oleh orang yang tidak berparti pun. Bagi mereka, orang politik sama sahaja. Cakap tak serupa bikin dan bercakap hanya untuk keuntungan mereka,” katanya.

Mendapatkan semula kepercayaan rakyat penting, terutama dengan anggapan rakyat bahawa ahli politik meraih keuntungan dari segi kewangan atau jawatan dengan melompat parti.

Pada masa sama, Ahli Parlimen perlu mengambil iktibar dengan pindaan Perlembagaan ini, iaitu rakyat menentang lompat parti dan perlu menjadikan rakyat sebagai keutamaan, mengatasi kepentingan diri.

Sama ada pindaan ini akan dapat mengekang amalan lompat parti hanya akan dapat diketahui selepas PRU-15 akan datang. Kemungkinan Ahli Parlimen melompat parti tetap ada dan hanya melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dapat menutup sebarang kelompangan dalam Perlembagaan. – HARAKAHDAILY 30/7/22 (Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN)

3. RUU Anti-Lompat Parti pastikan politik negara stabil -Dr Kamarul Zaman

HARI ini, 27 Julai 2022, adalah detik yang amat bersejarah dalam perkembangan politik negara kerana ia menyaksikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sendiri membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti di kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sebelum ini, empat negeri, iaitu, Sabah, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang, malahan telah meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi menghukum pelompat parti pada 1986, 1991, 1994 dan 2012, tetapi mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Agung bahawa pindaan begini adalah tidak berperlembagaan.

Semua pihak akur dengan bahana gejala melompat parti ini, tetapi hanya Ismail Sabri berbuat sesuatu ke atasnya dengan menjadikan pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebagai salah satu butiran utama Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021 antara kerajaan dan PH.

Bermula daripada tarikh ini maka bermulalah tugasan berat yang diletakkan ke atas bahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, merangka RUU ini dengan bantuan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebegitu banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, khususnya daripada parti-parti kerajaan dan pembangkang, tetapi juga dengan pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan sebagainya telah dilakukan oleh Dr. Wan Junaidi sehingga melayakkan beliau digelarkan sebagai pakar libat urus.

Saya telah dijemput menyertai sebahagian besar daripada sesi libat urus ini dan dapat menyaksikan sendiri kecekalan dan ketenangan Dr. Wan Junaidi menguruskan pihak-pihak yang terlibat yang masing-masing mempunyai pandangan tersendiri yang selalunya bercanggah pula dengan pandangan pihak-pihak lain.

Setelah selesai sesi libat urus ini dilaksanakan maka Dr. Wan Junaidi terpaksa pula membentangkan hasilnya kepada Mesyuarat Jemaah Menteri yang sama ada memutuskan untuk beliau melakukan lebih banyak sesi libat urus atau membangkitkan beberapa persoalan dasar yang perlu dibuat keputusan oleh pihak beliau.

Tatkala berdepan dengan liku-liku yang mencabar, Dr. Wan Junaidi sentiasa mendapat dukungan kuat Ismail Sabri yang sentiasa menzahirkan komitmen ke atas RUU ini dan yang mengambil pendekatan akomodatif selaras dengan prinsip-prinsip keterangkuman dan kebersamaan di dalam konsep Keluarga Malaysia.

RUU ini telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 April dengan ruang dibuka seluas-luasnya kepada setiap Ahli Dewan Rakyat untuk mengambil bahagian membahaskannya yang berkesudahan dengan kelulusan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti dan memuktamadkannya. 

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr. Wan Junaidi ini dianggotai oleh semua pihak, di mana Umno diwakili oleh Pengerang dan Padang Rengas, BERSATU oleh Larut, PAS oleh Kota Bharu, PBB oleh Sibuti, DAP oleh Puchong, PAN oleh Sepang, UPKO oleh Tuaran, PKR oleh Kulim-Bandar Baharu dan WARISAN oleh Penampang.

Jawatankuasa ini telah mengadakan tujuh mesyuarat untuk meneliti dan memuktamadkan RUU ini, iaitu pada 15 April, 26 April, 12 Mei, 19 Mei, 7 Jun dan 12 Julai, dengan mengambil kira pandangan bertulis yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan parti.

RUU ini juga telah ditaklimatkan kepada Ahli Dewan Rakyat (Kerajaan) pada 25 Julai dan kepada Ahli Dewan Rakyat (Pembangkang) pada 26 Julai dalam mana pelbagai pertanyaan telah dikemukakan dan pelbagai jawapan telah diberikan oleh Dr. Wan Junaidi bagi memperjelaskan segala butiran yang terkandung di dalamnya.

Pada akhirnya, sudah tidak ada sebab mengapa RUU ini tidak akan mendapat sokongan 2/3 majoriti Ahli Dewan Rakyat setelah terlalu banyak sesi libat urus dilakukan ke atasnya ditambah catatan sejarah kerana buat pertama kalinya RUU ini dihasilkan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

RUU ini menyatakan dengan jelas apa yang termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti itu atau mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti.

RUU ini juga menyatakan dengan jelas apa yang tidak termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti dipecat daripada keanggotaan dalam parti itu, dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau partinya dibubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Sebelum ini, banyak tentangan diterima bila mereka yang dipecat daripada keanggotaan dalam parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti kerana dikatakan akan memberi kuasa yang terlalu besar kepada sesebuah parti politik untuk mengawal Ahli-ahli Dewan Rakyat yang boleh membuka ruang untuk disalahguna tetapi ia kini telah diatasi.

Sekarang ini masih ada segelintir pihak yang mempertikaikan kewajaran mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti tetapi ia wajar kerana menyertai suatu parti setelah menang di atas tiket Bebas sememangnya adalah jelas mengkhianati mandat pengundi.

RUU ini pastinya akan memelihara keutuhan prinsip demokrasi, dengan memastikan mandat pengundi di dalam sesuatu PRU akan sentiasa dihormati, malah seseorang Ahli Dewan Rakyat yang kerusinya telah menjadi kosong akibat tindakan melompat parti ini juga kini boleh bertanding semula di dalam mana-mana pilihan raya yang berikutnya.

Selain kejayaan peribadi kepada Ismail Sabri, Dr. Wan Junaidi dan semua yang terlibat merealisasikannya, sungguhnya kelulusan ke atas RUU ini adalah satu lonjakan besar yang akan memastikan kestabilan politik tidak tergugat dengan tiada lagi kebimbangan akan berlakunya perubahan kerajaan di tengah penggal akibat gejala melompat parti.

DR. KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
Pegawai Khas Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 27/7/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails