BAYAN LEPAS: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada Pakatan Harapan dan menyertai Perikatan Nasional (PN) masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata tindakan lanjut berhubung kedudukan empat ADUN berkenaan bergantung kepada keputusan Mahkamah Tinggi.
"Semestinya selagi keputusan tidak dibuat oleh Mahkamah Tinggi mereka masih ADUN yang boleh melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Selain itu, mereka juga menerima faedah dan gaji seperti sedia kala," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perluasan Hospital Pantai di sini, hari ini.
Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan peguam cara kerajaan negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk tarikh awal berhubung saman difailkan empat ADUN berkenaan terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Speaker.
Empat ADUN berkenaan adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).
Keempat-empat mereka sebelum ini memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.
Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai cadangan memanggil sidang khas berhubung status kerusi ADUN terbabit berkata, perkara itu boleh dilakukan namun pihaknya harus menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sebelum tindakan lanjut berhubung perkara itu diambil.
Beliau turut berpendapat tiada keperluan meminda Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang kerana ia adalah undang-undang yang baik dan sah serta konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan sehingga ia dicabar pada masa depan.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, soal sama ada akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak sepatutnya timbul selaras Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan PRK tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud dalam tempoh dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.
"Jadi kalau peruntukan ini diguna pakai maka tidak timbul (PRK) dan lebih baik untuk kita menunggu keputusan Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai apa tindakan yang akan diambil pada masa akan datang," katanya.
Pada Rabu lalu, panel tujuh hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara bahawa Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang dipinda pada 2012 memperuntukkan ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya meletakkan jawatan, dipecat atau berhenti menjadi ahli parti setelah dipilih sebagai calon parti politik.
2. Saman empat ADUN Pulau Pinang untuk kekal kerusi ke Mahkamah Tinggi Ogos 5, 2022 @ 4:11pm
KUALA LUMPUR: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan peguam cara kerajaan negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk tarikh awal berhubung saman difailkan empat Ahli Dewan Undangan (ADUN) terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Speaker.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata keputusan itu dibuat selepas prosiding di Mahkamah Tinggi sebelum ini ditangguhkan, sementara menunggu penentuan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung writ saman dikemukakan ADUN Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Telok Bahang.
Katanya, pihak terbabit perlu hadir ke Mahkamah Tinggi untuk meneruskan perbicaraan susulan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan
"Sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi nanti hendaklah menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi yang terjejas itu kosong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang, yang menghalang menghalang lompat parti menepati Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu, berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.
Pada 12 April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad, membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speaker, Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.
DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.
Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speaker bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.
Terdahulu, keempat-empat ADUN itu memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Kon Yeow berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah berperlembagaan dan hendaklah kekal seperti sedia ada.
Oleh itu, katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan tidak akan ada sebarang persidangan untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap tegas dalam mempertahankan mandat pengundi dan wakil rakyat mesti bertanggungjawab terhadap tindakan yang bertentangan dengan mandat yang diberikan," katanya.
3. Hakisan teruk, Pantai Batu Ferringhi bakal lenyap
Kawasan pesisir Pantai Batu Ferringhi yang dipenuhi bongkah batu bagi menahan hakisan bukan saja membahayakan pengunjung, malah turut mengancam keselamatan penginap di beberapa hotel berhampiran. -Foto NSTP/Zuhainy ZulkiffliGEORGETOWN: Destinasi perkelahan popular penduduk setempat dan pelancong di Pantai Batu Ferringhi di sini, dibimbangi bakal lenyap berikutan hakisan tebing di pesisir pantai itu sejak dua tahun lalu.
Malah, keadaan hakisan itu kini semakin buruk terutama ketika perubahan cuaca dan monsun.
Operator sukan air, K Loganathan, 39, berkata susulan beberapa kejadian tebing runtuh, pihak berkuasa tempatan sudah mengambil tindakan dengan meletakkan bongkah batu bagi menahan hakisan.
Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila ia menyebabkan perubahan dan arus ombak menjadi kuat hingga membahayakan keselamatan pengunjung.
"Ketika cuaca tidak baik dan ombak bergelora baru-baru ini, sebahagian bongkah batu hanyut serta terdampar di pesisir pantai dan jika dibiarkan, pesisir ini akan dipenuhi bongkah batu itu serta mencacatkan pemandangan.
"Saya dan operator sukan air di sini akan berjalan di sekitar kawasan pesisir pantai bagi meninjau keselamatan pengunjung selain memastikan tiada kelainan baharu pada struktur tebing," katanya ketika ditemui hari ini.
Pada Februari lalu, media melaporkan mengenai kejadian menara tinjau Angkatan Pertahanan Awam (APM) setinggi 10 meter terletak di pesisir pantai itu tumbang pada jam 3.40 pagi berikutan hakisan berkenaan.
Tinjauan terkini mendapati, keadaan hakisan menjadi semakin buruk dipercayai akibat perubahan iklim dan sebahagian kawasan pantai sudah tidak sesuai dikunjungi.
Pihak pengurusan hotel berhampiran turut meletakkan papan tanda amaran mengenai hakisan terbabit, selain memasang tali sebagai penghadang.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang juga aktivis alam sekitar, NV Subbarow berkata, pihaknya menerima aduan mengenai keadaan itu sejak tahun lalu.
Katanya, hakisan yang pada mulanya berlaku sepanjang 20 meter kini sudah merebak sehingga hampir lima kilometer di pesisir pantai.
"Runtuhannya pernah mencapai setinggi lebih dua meter dan terdapat banyak pokok di tebing yang hanya menunggu masa untuk tumbang, sekali gus dibimbangi membahayakan keselamatan pengunjung.
"Kejadian ini sudah lama berlaku dan juga diketahui oleh pihak berkuasa tempatan. Justeru, mereka perlu mengambil tindakan berkesan bagi menangani masalah ini demi keselamatan orang ramai serta alam sekitar," katanya ketika ditemui.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kisah 4 ADUN Pulaau Pinang keluar parti.. Dan Batu Feringgi lenyap?
Sesuai dengan pantun Melayu Pulau Pinang..
Balik Pulau Bayan Lepas, sana terpelau sini terlepas!
Undilah PAS dan rakan kumpulannya!
1 comment:
Menantu baru bang non tu pemikir apo...!!
Pemikir IKD @ Penang Institut ko..!?
Apo namo islam menantu bang non..
saja tanya..
jgn marah haahhh..
kikiki
Post a Comment