Wednesday, September 01, 2021

Merdeka jiwa, selepas merdeka dari penjajah -MB T'ganu.

 

Merdekakan jiwa, minda selepas merdeka daripada penjajah

KUALA TERENGGANU: Kemerdekaan negara yang dinikmati hari ini merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan datuk nenek yang terdahulu, yang perlu diingati agar tidak lupa jati diri serta sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan sebuah kemerdekaan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah mendapat kemerdekaan dan kedaulatan negara daripada penjajah, apa yang perlu dilakukan kini adalah bergerak ke arah kemerdekaan jiwa dan mindanya.

“Saya suka untuk mengajak anak muda yang ada bersama hari ini untuk mempersiapkan diri kerana kalianlah nanti akan mewarisi negara yang merdeka dan berdaulat ini.

“Pesan saya pertama, kita perlu melihat sejarah agar kita kenal dengan jati diri sendiri dan memiliki jiwa merdeka. Kedua, teruskan belajar menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh sehingga menjadi pakar dan rujukan dalam bidang yang kita ceburi.

“Ketiga, teruskan usaha sebagai agen perpaduan dalam keluarga besar kita iaitu ‘Keluarga Malaysia’,” ujarnya ketika berucap secara live sempena program Malam Ambang Merdeka ke-64, di Kuala Terengganu, malam tadi.

Kata beliau, mengambil ungkapan Pendita Za’aba bahawa kemerdekaan berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik.

“Yang membebaskan fikiran daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia (hati), daripada iktikad-iktikad yang serong dan terpesong kepada iktikad yang subur dan merdeka.

“Daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia,” jelasnya.

Malah, kata Dr Samsuri lagi gesaan untuk membangunkan jiwa merdeka ini pernah diungkapkan oleh Allahyarham Dr Barhanuddin Al-Hilmi dalam serangkap pantunnya yang penuh makna.

“Di atas robohan kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka, Bersatu padulah seluruh baka, membela hak keadilan pesaka. Dalam rangkap pantun ini Dr Burhanuddin mengatakan, bahawa terdapat dua tugas yang perlu dilakukan. Pertama, membangunkan jiwa merdeka dan kedua, menggerakkan agenda bersatu perpaduan kebangsaan,” tegasnya.

Sebelum itu, dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan katanya, meskipun Malaysia telah mengecapi kemerdekaan, namun hari ini berdepan dengan ‘penjajah baharu’ iaitu wabak Covid-19 yang menuntut pengorbanan besar daripada semua pihak untuk membebaskan negara daripada cengkaman tersebut.

“Kita seharusnya lebih menghayati erti kemerdekaan, lebih-lebih lagi pandemik telah menyebabkan kehidupan kita berubah, kebebasan terbatas, malah menjejaskan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan orang awam.

“Walaupun berdepan dengan musuh yang berbeza dengan orang terdahulu, namun kita wajar mengambil semangat tidak mengalah mereka dalam membebaskan negara.

“Jika pejuang dahulu menggunakan senjata, namun generasi hari ini perlu berperang dengan mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) dan mengambil vaksinasi Covid-19,” ujarnya.

Justeru, kata Menteri Besar itu sebagai anggota Keluarga Malaysia, setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing dalam perjuangan membebaskan negara daripada pandemik Covid-19.

“Pada masa yang sama, jangan kita lupakan pengorbanan barisan hadapan (frontliner) yang menjadi benteng pertahanan utama sehingga sanggup menggadaikan masa dan nyawa semata-mata untuk melindungi kita.

“Nama-nama mereka juga wajar dikenang sebaris dengan pejuang kemerdekaan terdahulu. Sebagai rakyat yang cintakan negara, kita seharusnya mematuhi saranan kerajaan Persekutuan dan negeri (Terengganu) serta mematuhi arahan pihak berkuasa dalam usaha memerangi wabak itu,” tegas Dr Samsuri.

Menurut beliau, pada saat ini juga rakyat mestilah memberi keutamaan kepada agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan saling bersatu hati dan bekerjasama sekali gus menjayakannya. – HARAKAHDAILY 31/8/2021

Peluang jadi usahawan ternak siput..

Untuk perbincangan lanjut sila hubungi Salmas Tel 011 33111321 (KL)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails