Hadi: Saya sudah bertemu 10 duta Timur Tengah
Pelantikan semula sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah akan digunakan Abdul Hadi Awang untuk menyambung tugas yang telah dimulakan sebelum tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha dalam talian di Rusila, presiden PAS itu berkata dengan pelantikan semula itu, dia juga dapat menggerakkan rancangan baru membabitkan bidang politik, ekonomi, dan pendidikan.
Kata Hadi, sejak dilantik ke jawatan itu oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tahun lalu, dia sudah mengadakan pertemuan diplomatik dengan 10 duta negara Timur Tengah mengenai kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.
“Tindakan susulan pula dilakukan oleh kalangan menteri menerusi siri lawatan dan antaranya adalah membabitkan perdagangan kelapa sawit yang meningkat.
“Kita turut membincangkan mengenai sektor pendidikan di Mesir dan Jordan selain kerjasama membantu rakyat Palestin.
“Kerja sudah dibuat cuma disambung semula dan ditingkatkan lagi,” katanya seperti dipetik Utusan Online.
Hadi berkata duta-duta di Timur Tengah mengalu-alukan peranannya susulan hubungan baik dengan NGO di rantau berkenaan.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan jawatan Abdul Hadi bersama dua lagi duta khas perdana menteri yang lain yang dilantik ketika pentadbiran Muhyiddin, akan dikekalkan. PMO berkata ia dipersetujui melalui mesyuarat pertama kabinet pada 1 Sept.
Ada juga pihak yang tidak melihat kesan signifikan jawatan itu kepada negara, selain mempersoalkan kewajaran kerajaan membelanjakan peruntukan bagi jawatan berkenaan. Ia turu mengundang kecaman di media sosial dan juga oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik pembangkang.
Terbaru, Parti Sosialis Malaysia (PSM) membidas pelantikan itu sebagai satu pembaziran wang negara ketika negara berdepan krisis ekonomi. Hadi dilantik sebagai duta khas bersama-sama dua lagi pemimpin parti bawah PN, iaitu Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tiong King Sing (duta khas ke China) dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Richard Riot Jaem (duta khas ke Asia Timur).
Pelantikan ketiga-tiga ahli parlimen terbabit dibuat sekitar Mac dan April tahun lalu selepas Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan Malaysia – yang dikritik sesetengah pihak sebagai sebahagian agenda untuk mengekalkan sokongan terhadapnya. (Mk)
Peluang jadi usahawan ternak siput..
Untuk perbincangan lanjut sila hubungi Salmas Tel 011 33111321 (KL)
No comments:
Post a Comment