Friday, September 03, 2021

Pemimpin Kerajaan paling miskin dalam sejarah..

 

Pemerintah yang paling miskin

SUATU hari Amirul Mukminin, Saiyidina Umar Al Khattab pergi melawat ke Syam dan bertemu Gabenor Abu Ubaidah Al Jarrah. Saiyidina Umar beritahu Abu Ubaidah, beliau mahu ke rumahnya.

Abu Ubaidah bertanya kembali kepada Amirul Mukminin, ‘untuk apa tuan mahu ke rumah saya? Nanti kalau tuan ke rumah saya, pasti tuan akan bersedih saja?’ Mendengar kata-kata Abu Ubaidah, Saiyidina Umar berkeras mahu pergi juga.

Sampai di rumah Abu Ubaidah, alangkah terkejutnya beliau mendapati seluruh rumah itu kosong, tidak ada apa-apa melainkan hanya baju besi, pelana kuda dan pedang di dinding. Saiyidina Umar lalu bertanya kepada Abu Ubaidah, ‘mengapa begini sekali keadaan rumahmu sedangkan kamu gabenor sebuah negeri yang kaya?’ Syam pada masa itu merupakan sebuah pusat perdagangan yang paling terkemuka di tanah Arab. 

Jawab Abu Ubaidah: ’segala perhiasan dunia tiada yang penting bagiku wahai Amirul Mukminin. Yang penting bagiku hanya benda-benda ini. Jika ada panggilan jihad, ini yang paling aku perlukan (pedang, baju besi dan pelana kuda)’. Saiyidina Umar terus menangis mendengar kata-kata Abu Ubaidah. 

Dalam perjalanan pulang, beliau bertanya kepada penduduk Syam, siapakah orang paling miskin di negeri kamu? Jawab mereka, ‘Siapa lagi wahai Amirul Mukminin kalau bukan Gabenor kami, Abu Ubaidah Al Jarrah?’

Saiyidina Umar menangis lagi mengenang betapa zuhud seorang Sahabat yang pernah mendapat tarbiah secara langsung daripada Rasulullah S.A.W.

Kembali ke Madinah, Saiyidina Umar beri 2,000 dinar kepada seorang pembantu minta dihantar derma kepada Abu Ubaidah untuk kegunaannya sendiri.

Sebaik menerima wang itu, Abu Ubaidah terus berubah menjadi resah gelisah. Direnung wajah isterinya sambil dia berkata: ‘Aku runsing kerana fitnah telah masuk ke dalam rumah kita.’

Abu Ubaidah kemudian agihkan wang itu kepada fakir miskin. Selepas beberapa ketika, isterinya bertanya kepada Abu Ubaidah jika wang diberi Amirul Mukminin masih berbaki. 

Sebabnya, dapur mereka sudah lama tidak berasap, tepung sudah kehabisan dan mereka tidak punya wang untuk beli makanan. Balas Abu Ubaidah, ‘maafkan aku, kamu sedikit terlewat. Wang itu sudah habis ku dermakan kepada orang miskin.’






MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 31/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/596018318/posts/10159802004153319/

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails