Friday, September 03, 2021

Ekonomi: M'sia 2022, Turki ke2 Terpantas di dunia, Kelantan..

 

1. IMF unjur ekonomi Malaysia 2022 berkembang 6.0 peratus

UNJURAN rasmi pertumbuhan ekonomi negara bagi 2021 diumumkan kerajaan pada Mac lepas ialah di antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus.

Bagaimanapun, susulan risiko ancaman varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya, kerajaan melaksanakan semula langkah pembendungan penularan wabak yang lebih ketat bagi melindungi nyawa rakyat.

Selain itu bagi memastikan sistem kesihatan tidak lumpuh. Berikutan itu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei, diikuti oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa bermula Jun 2021.

Oleh itu, pelaksanaan langkah pembendungan tersebut dijangka menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi pada 2021 setelah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021.

Justeru itu unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi keseluruhan tahun 2021 disemak semula kepada antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus seperti yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 13 Ogos lepas.

Anggaran pertumbuhan itu menurut Kenyataan Pra-Bajet (KPB) yang dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam, jangkaan kadar pertumbuhan itu berikutan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial pada suku keempat.

Perkembangan tersebut dijangka akan mendorong sentimen positif dalam kalangan perniagaan dan pengguna.

Kadar vaksinasi

Pada masa ini, Malaysia antara negara yang mencatat kadar vaksinasi terpantas di dunia, iaitu secara puratanya melebihi 400,000 dos sehari melalui program vaksinasi kebangsaannya.

Pada akhir Ogos 2021, jumlah populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi melebihi 90 peratus bagi Lembah Klang dan lebih 60 peratus bagi seluruh negara.

Vaksinasi yang lengkap dapat mengurangkan beban sistem kesihatan iaitu kadar kemasukan ke hospital, terutamanya ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU), dijangka akan menurun ke tahap yang terkawal.

Faktor-faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia ialah peningkatan permintaan luar khususnya daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, peralihan kepada digitalisasi serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.

Secara keseluruhan bagi tahun 2021, semua sektor utama ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif kecuali sektor pembinaan dan pelancongan akibat pelaksanaan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Dengan mengambil kira faktor-faktor yang menyokong pemulihan ekonomi bagi tahun 2021, setelah pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti sosial, trend pemulihan ekonomi diunjur berterusan sehingga ke tahun 2022.

Pertumbuhan ekonomi

Malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 berkembang sebanyak 6.0 peratus, manakala Bank Dunia pula sebanyak 5.0 peratus, iaitu kembali kepada trend pertumbuhan KDNK tahunan dalam tempoh pra-pandemik.

Dari sudut penawaran, sektor pekhidmatan dan pembuatan dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi berikutan normalisasi aktiviti ekonomi sejajar dengan kejayaan program vaksinasi kebangsaan.

Di samping itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi akan menyokong sentimen pelaburan.

Peningkatan permintaan luar yang berterusan serta pemulihan harga komoditi dijangka turut memacu aktiviti pengeluaran dalam semua sektor ekonomi.

Aktiviti ekonomi yang dijangka lebih cergas akan memulihkan sentimen pengguna berikutan prospek pendapatan yang semakin baik.

Oleh itu, pasaran buruh dijangka kembali pulih pada 2022 walaupun pada tahap yang lebih sederhana berbanding pra-pandemik, seiring dengan pembukaan semula sektor ekonomi berikutan pencapaian imuniti kelompok.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa risiko kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara, iaitu antara lain kemunculan varian baharu Covid-19 yang memaksa kerajaan untuk melanjutkan langkah kawalan pergerakan serta menangguhkan pembukaan sektor ekonomi.

Kerajaan turut menyasarkan defisit fiskal sebanyak 5.4 peratus kepada KDNK bagi 2021 semasa Belanjawan 2021 berdasarkan andaian pemulihan ekonomi yang stabil dan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan pada separuh kedua 2020 dan berterusan sehingga 2021. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

2. Erdoğan: 'Ekonomi Turki telah Menjadi Ekonomi Kedua Terpantas di Dunia'

Presiden Recep Tayyip Erdoğan menyatakan bahawa Turki adalah ekonomi kedua paling pantas berkembang di dunia dengan 21.7 peratus pada suku kedua tahun ini.

Presiden Erdoğan menekankan bahawa mereka meneruskan perjalanan dengan semakin kuat bersama drone dan drone bersenjata buatan tempatan, 

''Sekarang, kami telah meningkatkan kedudukan dalam industri pertahanan kami dari 20 peratus menjadi 80 peratus. Kami menjadi salah satu daripada 3 negara teratas di dunia dalam bidang UAV. " Katanya.

Presiden Turki Erdoğan menyatakan bahawa mereka telah membuat organisasi pengganas pemisah PKK tidak dapat bergerak dengan operasi-operasi anti-keganasan yang dilakukan di dalam dan luar negara, 

"Kami menemui pengganas di sarang mereka dan memusnahkan mereka. Kami telah menjadikan penyertaan dalam organisasi pengganas ke tahap paling rendah. Bersama saudara-saudara kami, kami telah mencapai banyak kejayaan di Karabakh dan Libya. Kami menunjukkan kepada seluruh dunia betapa hebatnya negara kami dengan merangkul orang yang tertindas." Katanya.

Presiden Erdoğan menyatakan bahawa angka pertumbuhan suku kedua yang diumumkan sekali lagi membuktikan dinamisme, daya pengeluaran dan daya tahan ekonomi Turki, 

"Turki menjadi ekonomi kedua terpantas di dunia dengan 21.7 peratus pada suku kedua tahun ini." Ujarnya.

Erdoğan menambah bahawa mereka bertekad untuk menjadikan Turki sebagai pusat pelaburan, pengeluaran dan eksport.


3. K'tan prihatin.. Bangunan tertinggi dibina di Kubang Kerian

KOTA BHARU: Selepas berjaya membina bangunan tertinggi di Kelantan, Troika Residence, Kumpulan Malvest menerusi Kelmedic Sdn Bhd kini sedang giat membangun sebuah lagi kediaman 39 tingkat di Kubang Kerian.

Jurucakap Kumpulan Malvest, Pui Lee Yin berkata, kediaman servis lengkap dinamakan Arika terletak di Jalan Tok Kenali berhampiran dengan Hospital Universiti Sains Malaysia.

Katanya, Arika mempunyai 39 tingkat bakal menjadi salah satu bangunan tertinggi di Kelantan apabila siap kelak.

“Lokasinya terletak di Kubang Kerian, menampilkan dua tingkat runcit komersil serta kemudahan gaya hidup seperti sukan, perpustakaan, gym dan trek joging,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 4,000 pek pelitup muka kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di pejabat News Strait Times Press (NSTP) di sini semalam.

Kumpulan Malvest melalui Kelmedic Sdn Bhd, syarikat usahasama dengan Yayasan Kelantan Darulnaim dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebelum ini membangunkan Troika Kota Bharu setinggi 37 tingkat di Jalan Mahmood.

Pui Lee Yin juga berkata di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya menyumbang RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada golongan terjejas dengan Covid-19.

Selain itu sebanyak 30,000 pelitup muka turut diserahkan kepada Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan al Muhammadi untuk diedar kepada pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 dan golongan B40 di Kelantan.

“Atas inisiatif Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan al-Muhammadi, 350 pek makanan turut disumbangkan untuk diedarkan kepada asnaf dan golongan B40 yang dikenal pasti di bawah Program Bakul Makanan.

“Sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan sumbangan tambahan sebanyak 30,000 pelitup diserah kepada badan-badan Kerajaan dan petugas barisan hadapan,” ujarnya. HARAKAHDAILY 1/9/2021

(IH)

1 comment:

Anonymous said...

Surat terbuka pada Brother Anwar Bin Ibrahim sebagai Presiden PKR.

Bijaknya Selangor.. Nilai Tanah RM1Billion, Premium RM320 Juta

Friday, September 03, 2021

Kerajaan Selangor mungkin berdepan kerugian sekurang-kurangnya RM700 juta disebabkan tindakan memindahkan hampir 530 hektar hutan simpan kepada pemaju swasta.

Pemindahan pemilikan hutan simpan di Kuala Langat yang pertama kali diluluskan exco tahun lalu tidak melalui proses tender terbuka.

Pada mulanya, kerajaan negeri memberikan tanah tersebut kepada syarikat milik kerajaan, tetapi menukar keputusan untuk memberikan kepada Titian Jutaria Sdn Bhd

Syarikat itu diperbadankan pada akhir 2018 dengan modal berbayar RM100,000.

Elok Brother beri pencerahan dan tindakan pada kerajaan PKR di Selangor ini.

Kan brother bakal PM Malaysia.

Rakyat menunggu jawapan yang tuntas, convincing dan formidable dari Anwar bakal PM Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails