Sunday, August 29, 2021

Kuala Lumpur bandar ke-32 selamat di dunia

 

KUALA LUMPUR: Ibu negara kebanggaan Malaysia menerima berita baik apabila disenaraikan pada kedudukan ke-32 dalam Indeks Bandar Selamat 2021 atau Safe Cities Index 2021 oleh Economist Intelligence Unit (EIU).

Lebih menggembirakan ialah kedudukan tahun ini adalah lebih baik berbanding kedudukan ke-35 dalam indeks sebelum ini pada 2019.

Laporan bahagian analisis dan penyelidikan The Economist Group, iaitu syarikat bersekutu akhbar Economist meletakkan ibu negara Denmark, Copenhagen meraih kedudukan pertama daripada 60 bandar raya utama di seluruh dunia.

Kedudukan Kuala Lumpur juga adalah lebih baik berbanding bandar raya terkenal lain seperti Beijing, Dubai dan Jakarta. Malah Kuala Lumpur diletakkan dalam senarai 10 bandar raya terbaik dari segi keselamatan alam sekitar apabila meraih 81 daripada 100 mata.

Editor Kanan EIU, Naka Kondo, berkata pihaknya membuat penilaian berdasarkan pelbagai dimensi seperti tadbir urus, infrastruktur, sosioekonomi dan sistem teknologi, selain meliputi bandar raya utama di pelbagai kawasan geografi, tahap pendapatan dan keluasan.

Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-35 untuk keselamatan digital, keselamatan kesihatan (38), keselamatan peribadi (33) dan keselamatan infrastruktur (37) dengan jumlah mata keseluruhan sebanyak 67, iaitu perbezaan kira-kira 15 mata berbanding Copenhagen yang mendapat 82.4 mata.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, keselamatan bandar raya mengalami perubahan dengan elemen maya semakin penting berbanding sebelum ini, elemen fizikal.

“Pandemik Covid-19 mendedahkan jurang dan kelemahan dalam pertahanan keselamatan bandar raya, sekali gus mendorong pembuat dasar mengkaji semula fokus terhadap perubahan risiko dan strategi perbandaran,” katanya.

Naka berkata, krisis kesihatan global mengubah keseluruhan konsep keselamatan bandar raya dengan keselamatan digital menjadi lebih penting apabila pekerjaan dan perdagangan berubah arah kepada dalam talian.

Sehubungan itu, katanya mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan infrastruktur perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dramatik corak perjalanan dan cara penduduk menggunakan utiliti.

Katanya, mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan peribadi pula perlu menangani pola kegiatan jenayah yang berkaitan perintah berkurung.

“Keutamaan pegawai pihak berkuasa tempatan dan penduduk bandar raya terhadap keselamatan alam sekitar juga meningkat. Covid-19 memberi amaran kepada kita terhadap krisis yang tidak pernah dijangkakan ini,” katanya

Melengkapkan Copenhagen dalam senarai 10 bandar raya teratas indeks ini ialah Toronto, Singapura, Sydney, Tokyo, Amsterdam, Wellington, Hong Kong, Melbourne dan Stockholm.

Kajian EIU adalah berdasarkan 76 petunjuk yang meliputi lima bidang keselamatan, iaitu digital, kesihatan, peribadi, infrastruktur dan alam sekitar, diperkenalkan tahun ini. – HARAKAHDAILY29/8/2021


Peluang jadi usahawan ternak siput..

Untuk perbincangan lanjut sila hubungi Salmas Tel 011 33111321 (KL)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails