Tuesday, September 28, 2021

Air ‘percuma’ 2 bulan. PAS T'ganu tunai janji, bukan maca PH.

 

Kerajaan PAS tunai janji air ‘percuma’ dua bulan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu mengumumkan bayaran bil air ‘percuma’ selama dua bulan selepas krisis bekalan air terjejas pulih sepenuhnya di dua daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pemberian air secara percuma itu telah diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berikutan Krisis Air Berangan, pada 2 Ogos lalu.

Ekoran itu, katanya Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) hari ini mengumumkan pemberian air secara percuma atau pengecualian pembayaran bil kepada pengguna domestik terjejas di kawasan liputan krisis air yang melibatkan 130,000 pengguna atau 28,700 akaunnya.

“Ini melibatkan Daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu. Pengecualian pembayaran bil adalah bagi bulan Oktober dan November 2021, dengan anggaran kos sebanyak RM1.2 juta yang melibatkan penggunaan air sebanyak 2 juta meter padu.

“Pengguna disarankan untuk menggunakan air dengan cermat dan tidak membazir bagi menghargai niat baik kerajaan negeri untuk meringankan beban rakyat sepanjang tempoh krisis air yang lalu.

“Penggunaan yang berhemah juga akan memastikan Sistem Agihan Air Terawat di kawasan terbabit tidak akan terganggu lagi, Insya’Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang mengingatkan rakyat bahawa krisis air Berangan itu telah mengajar erti kepentingan menghargai air dalam kehidupan seharian yang menuntut kesabaran bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT.

“Dia (Allah) yang menguasai laut supaya kamu makan daging ikan yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kami pakai dan engkau lihat kapal berlayar di laut supaya kamu mencari kurniaan Allah (rezeki). Mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadanya, Surah An-Nahl ayat 14 hingga 15.

“Hargailah air dan gunakan dengan cermat. Semoga inisiatif ini dapat membantu dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Insya’Allah,” ujarnya.

Harakah dimaklumkan, Krisis Air Berangan berlaku sebanyak dua kali akibat paip air dasar Sungai Terengganu yang pecah pada 2 Ogos hingga 13 Ogos dan 23 Ogos hingga 9 September, sebelum dipulihkan.

Tragedi itu turut menjejaskan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Tepoh, Buloh Gading, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Manir serta DUN Batu Rakit dan kerajaan negeri mengumumkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta. – HARAKAHDAILY 27/9/2021

Rentas Mendunia.



Lihat mengenai PH..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails