Friday, October 01, 2021

Bahaya Judi, Kesan dan Akibat.. -Mufti W/P.

 

BAYAN LINNAS SIRI KE-207: BAHAYA JUDI

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mutakhir ini, fenomena judi semakin menjadi-jadi. Malangnya terdapat umat Islam yang turut terlibat dalam gejala ini dengan pelbagai bentuk dan cara. Antaranya termasuklah aktiviti seperti loteri, tikam, mesin slot[1] dan sebagainya yang melibatkan segala bentuk perjudian sedangkan ia adalah satu perkara yang diharamkan dan berdosa besar di sisi Islam.

Memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata bahawa tindakan membanteras kegiatan perjudian selaras dengan tekad dan arahannya yang mahu melihat setiap pegawai dan anggota tidak berkompromi dengan mana-mana sindiket berkaitan maksiat dan judi, selain menjaga integriti sebagai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).[2]

Justeru, Bayan Linnas kali ini dengan tajuk Bahaya Judi akan membincangkan berkenaan isu bahaya dan mudarat judi serta hikmah pengharamannya. Semoga ia dapat memberi satu kefahaman dan kesedaran kepada semua. Amin.

 

Takrif Judi

Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan (seperti main ceki, main dadu, dan sebagainya); (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.

Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)

Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:

  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba'ir, 2/200)
  • Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)
  • Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
  • Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)
  • Menurut Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 19/283)
  • Ibn Qayyim pula berpandangan judi adalah suatu situasi di mana salah seorang daripada keduanya untuk menang ataupun kalah.
  • Imam Malik menyatakan judi terdiri daripada dua jenis:
    1. Judi yang bersifat sia-sia (lagha) seperti permainan yang menggunakan buah dadu, catur dan sebarang elemen hiburan yang tidak bermanfaat.
    2. Judi yang bersifat pertaruhan iaitu apa-apa yang membahaya atau menggadaikan diri orang lain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran3/52)
  • Syeikh Rasyid Ridha mentafsirkan judi (al-maisir) dalam al-Quran sebagai permainan untuk mencari keuntungan tanpa menggunakan akal dan tanpa bekerja keras. (Lihat Tafsir al-Manar, 2/258)
  • Syeikh Ali al-Sabuni menyebut, judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa'i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)

Daripada takrifan yang dikemukakan oleh para ulama di atas, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.

 

Statistik Kegiatan Perjudian di Malaysia

Sehingga Julai 2017, di Wilayah Persekutuan sahaja, menurut anggaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, terdapat sekurang-kurangnya 3,000 premis perjudian online (dalam talian) yang beroperasi di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Jumlah ini dilaporkan meningkat berbanding tahun 2016 yang mencatatkan sebanyak 615 premis perjudian yang beroperasi di sebalik rumah kedai, pusat internet serta pusat hiburan keluarga.[3]

Antara faktor yang disebut sebagai punca yang menghalang tindakan penghapusan kewujudan premis perjudian adalah kelemahan dari segi integriti dan amanah dalam kalangan pasukan penguatkuasaan agensi kerajaan. Ketua Penyelaras Pasukan Khas Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH), Azman Mahmood menyebut: "Perkara ini berkaitan dengan imbuhan yang lumayan kerana sindiket perjudian mampu membayar sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan kepada pasukan penguatkuasaan untuk satu premis mereka, bayangkan kalau ada 3,000 premis. Ini kerana mereka (sindiket perjudian) mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM50,000 sehari bagi setiap premis." [4]

 

Pengharaman Judi dan Hikmahnya

Pengharaman judi dalam al-Quran adalah berlaku secara berperingkat. Pada awalnya, ayat 219 dari surah al-Baqarah menyebut:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

MaksudnyaMereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”

Surah al-Baqarah (219)

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489)

Imam al-Alusi pula dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi, antaranya: memakan harta secara batil; boleh menyebabkan penjudi terjebak ke dalam jenayah curi; mencederakan jiwa; mensia-siakan keluarga; melakukan perkara yang keji dan hina; serta rasa permusuhan yang timbul baik secara tersembunyi atau terang-terangan. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/262)

Pada peringkat seterusnya, turun ayat 90 dari Surah al-Ma’idah yang menyebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Surah al-Maidah: 90)

Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.

Tambah beliau lagi, pertaruhan di dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.

Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib 6/49 dan 12/82)

Ibn Taimiyyah berkata: Sesungguhnya mafsadah judi adalah lebih besar daripada mafsadah riba kerana ia meliputi dua mafsadah: Pertama, mafsadah memakan harta secara haram. Kedua, mafsadah perkara lalai yang haram, di mana ia menghalang daripada mengingati Allah, lalai daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian. Disebabkan itulah, diharamkan judi sebelum pengharaman riba. (Lihat Majmu’ al-Fatawa32/337)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keatasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu, juga dikenali sebagai tabal atau nard).”

Riwayat Abu Daud (3696), Al-Baihaqi dalam al-Sunan
al-Kubra (21519), Ahmad (2476) dan Ibn Hibban (5365)

Imam al-Khattabi berkata: Al-kubah ditafsirkan dengan gendang dan dikatakan kubah adalah dadu. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/267)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Setiap permainan yang bertujuan untuk berjudi maka hukumnya haram. Judi ialah permainan yang dilakukan oleh manusia, tidak dapat lari daripadanya untung atau rugi. Ianya juga dinamakan Maisir (yang didapati tanpa usaha dan jerih) yang disebut oleh al-Quran al-Karim beriringan dengan arak, Anshaab (yang disembelih untuk berhala) dan Azlaam (yang diundi dengan batang kayu untuk menentukan nasib).” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 493)

Dalam sebuah hadis lain, yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لِصَاحِبِهِ تَعَالَ أُقَامِرْكَ فَلْيَتَصَدَّقْ

Maksudnya“Barangsiapa yang berkata pada temannya: Marilah kita berjudi/bertaruh! Maka hendaklah dia bersedekah.

Riwayat al-Bukhari (4860) dan Muslim (1647)

Imam Nawawi berkata: Ulama menyebut bahawa perintah bersedekah adalah sebagai penghapus kesalahannya pada perkataannya dalam maksiat ini. Al-Khattabi berkata, maksudnya bersedekahlah dengan kadar ajakan untuk berjudi/bertaruh tersebut. Imam Nawawi kemudian berkata: Yang benar di sisi ahli muhaqqiq – dan ia adalah zahir hadis – bahawa tidaklah dikhususkan dengan kadar tersebut, bahkan bersedekahlah dengan apa yang dia mampu. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/107)

 

Kesan dan Akibat Daripada Judi

Antara kesan lain akibat perbuatan berjudi ialah:

  • Lalai daripada tanggungjawab yang dipikul

Ketagihan berjudi mampu mengakibatkan seseorang lupa dan lalai daripada amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Hal ini boleh membawa kepada gejala ponteng kerja, kuliah atau sekolah bagi yang masih belajar.

  • Mengalami kehabisan wang dan sumber

Bagi tujuan memuaskan nafsu dengan keseronokan berjudi, wang dan sumber akan kehabisan kerana kesemuanya dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Ini menyebabkan ramai yang diisytiharkan muflis akibat perbuatan buruk tersebut.

  • Selalu dibebani dengan hutang

Penjudi juga akan selalu dibebani dengan hutang, kehidupan menjadi tidak tenang dan banyak masa terbuang serta mengabaikan keluarga, dan bersikap tamak.

  • Mudah terjebak dengan perlakuan jenayah

Akibat terdesak dan terhimpit untuk mencari sumber bagi terus melayani ketagihan berjudi yang tiada penghujung, pelakunya terdedah untuk terlibat dengan jenayah. Ini kerana, kegiatan perjudian membuka potensi yang besar kepada pelakunya untuk terheret ke kancah pergaduhan, perbuatan mencuri, merompak, malah sampai ke tahap membunuh.

  • Meruntuhkan institusi kekeluargaan

Ketagihan berjudi oleh ‘kaki judi’ akan sampai kepada tahap tergamak mengorbankan kebahagiaan rumatangga yang dibina, mengabaikan nafkah keluarga serta tanggungjawab terhadap anak-anak. Ini sudah tentu akan membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

  • Punca perpecahan dalam masyarakat

Kegiatan perjudian juga menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Jika tidak dibendung, ia akan terus membiak dan menjadi barah kepada generasi akan datang dan negara akan mempunyai individu dengan sahsiah yang sangat buruk.

  • Ia juga meruntuhkan moral dan integriti sesebuah masyarakat.

 

Implikasi Judi kepada Negara

Perbuatan berjudi dalam kalangan masyarakat secara tidak langsung akan memberi kesan dan implikasi yang besar terhadap negara. Antaranya ialah:

  • Pentadbiran negara menjadi kucar kacir kerana perbuatan judi juga boleh menyebabkan rasuah. Dan rasuah memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat dan negara. Perasuah adalah mereka yang tidak berintegriti.
  • Sistem pemerintahan akan menjadi lemah kerana setiap kali berlakunya rasuah, pemerintah mungkin akan menggunakan wang hasil cukai rakyat dan manfaatnya akan digunakan untuk kepentingan para perasuah. Seterusnya menyebabkan pentadbiran sesebuah negeri dan negara akan menjadi kucar kacir dan menimbulkan masalah lain seperti masalah ekonomi, pengabaian terhadap masyarakat jika amalan rasuah terus berleluasa di peringkat pimpinan negara.
  • Sesebuah negara juga akan menjadi mundur kesan daripada perbuatan judi ini. Hal ini disebabkan masyarakat yang berpecah belah dan mogok terhadap kemiskinan yang dihadapi oleh mereka.
  • Memberi imej buruk terhadap negara apatah lagi identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh dalam kalangan negara-negara Islam.

 

Kesalahan Judi dalam Undang-Undang Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan

Kami kemukakan juga di sini berkaitan kesalahan judi di bawah undang-undang jenayah syariah. Di bawah Akta 559, pada seksyen 18 memperuntukkan:

(1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Dalam seksyen ini, "rumah judi" ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran kemahiran dan nasib, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapatkan wang atau nilai wang.

 

Contoh Kerugian Akibat Berjudi

Dalam satu laporan menyebut, seorang eksekutif Wall Street telah mengakui bahawa dia telah menipu keluarganya, rakan dan orang lain sehingga mencecah US$100 juta lebih untuk membiayai hobinya berjudi. Katanya ketika dalam proses pengadilan: “Hanya itu satu cara agar saya dapat memperoleh wang untuk memenuhi ketagihan berjudi saya.”[5]

Berdasarkan kajian, ketagihan berjudi bukan hanya disebabkan peluang untuk menang sahaja, tetapi faktor keseronokan juga turut mempengaruhi. Mark Griffiths, seorang ahli psikologi di Nottingham Trent University yang berkepakaran dalam perilaku ketagihan menyebut bahawa penjudi mempunyai motivasi yang tinggi atas kebiasaan mereka tersebut. Dalam satu kaji selidik yang dijalankan terhadap 5500 orang penjudi, prospek untuk “memenangi wang paling banyak” adalah faktor terkuat. Tetapi kemudian diikuti dengan faktor “kerana ini menyenangkan” dan “kerana ini menyeronokkan.” Penemuan ini berdasarkan oleh penyelidikan pada tahun 2009 oleh ahli penyelidik dari Stanford University di California, yang mendapati bahawa sekitar 92% orang sudah “kehilangan pegangan” dasar yang tidak dapat mereka elakkan.[6]

Dalam satu laporan pada hujung tahun 2018, Gionee iaitu sebuah syarikat peranti pengeluar China dilaporkan telah bankrup disebabkan gagal membayar hutang kepada pembekal-pembekal komponen utama dengan jumlah lebih kurang RM 10.2 Bilion. Ia dilaporkan adalah akibat daripada tabiat berjudi pengerusi mereka, Liu Lirong yang di luar kawalan.[7]

 

Penutup

Jelas menunjukkan bahawa bahaya dan mudarat judi amat besar. Pelbagai hikmah telah disebut oleh para ulama’ tentang pengharamannya yang meliputi hikmah terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat yang akhirnya boleh memberi kesan yang buruk terhadap negara.

Antara hikmah yang disebut termasuklah boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam pelbagai jenayah seperti mencuri, mencederakan jiwa, menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan, mengambil harta orang lain secara batil, menjadi asbab kepada seseorang dalam menipu dan menzalimi orang lain, menghabiskan harta sehingga sanggup menggadai isteri dan anak-anak, serta pelbagai keburukan lain sebagaimana yang telah dijelaskan.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala perkara yang ditegah oleh-Nya dan menjadikan kita daripada orang yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan kepada-Nya. Amin.

Nota Hujung:
[1] Ia merupakan sebuah mesin judi kasino dengan tiga putaran atau lebih yang berputar ketika sebuah tombol ditekan. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali dengan istilah slot machine, fruit machine atau poker machine. (Lihat Wikipedia pada tajuk Slot machine)
[2] Lihat akhbar Berita Harian Online dalam laporan Serbuan Terhadap Kegiatan Judi, Maksiat Luar Biasa – KPN pada 16 Julai 2019.
[3] Lihat akhbar Berita Harian Online dalam laporan Ada 3,000 premis judi online dalam KL. Akses pada 29 Julai 2019. [https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/07/306865/ada-3000-premis-judi-online-dalam-kl]
[4] Lihat akhbar Berita Harian Online dalam laporan Ada 3,000 premis judi online dalam KL.[5] Lihat https://www.bbc.com/indonesia/vert_fut/2016/08/160817_vert_fut_judi
[6] ibid.

2 comments:

Anonymous said...

Muda lagi dah pandai menipu.

Terkejut dengan laporan portal berita Sinar Harian dan Astro Awani hari ini (Rabu, 29 September 2021) yang membuat liputan sebahagian perbahasan wakil rakyat dari Parlimen Muar dalam Dewan Rakyat hari ini.

Wakil rakyat Muar tersebut semasa mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) petang tadi, telah mendakwa bahawa pencen yang diperolehi oleh seorang Ahli Parlimen mampu mencecah lebih RM100,000 sebulan.

Ucapan beliau itu bersifat semberono dan tidak bertanggungjawab, selain bertujuan untuk membangkitkan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat, tanpa berlandaskan asas dan fakta yang sebenar.

Namun, itu tidaklah menghairankan kerana itulah sifat sebenar yang dimiliki oleh wakil rakyat tersebut yang konsisten menunggang sentimen rakyat bagi meraih simpati dan sokongan.

#mudadahpandaitipu

Anonymous said...

Dia kumpul dana dari org ramai. Campor dgn duit2 yg kononnya telah dicuri dari peti simpanan, jumlahnya boleh cecah 1 juta. Pandai kelentong jugak macam presiden parti liberal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails