Wednesday, September 29, 2021

Jan-Ogos: Pemerkasaan wanita 178 program, 95,182 peserta. Tahniah!

 

Wanita pegang 38.2 peratus jawatan utama kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jawatan peringkat pembuat keputusan di sektor perkhidmatan awam, iaitu Gred Utama C dan ke atas dipegang oleh golongan wanita.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata ini berdasarkan setakat ini, golongan wanita yang memegang jawatan tertinggi kerajaan adalah sebanyak 38.2 peratus.

Bagaimanapun, katanya kedudukan golongan wanita bagi jawatan utama di sektor swasta belum mencapai sasaran yang sama, iaitu setakat 25.8 peratus, berdasarkan keanggotaan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di 100 syarikat teratas yang tersenarai awam.

Katanya, Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat pula adalah 15 peratus, iaitu 33 daripada 220 orang dan di Dewan Negara pula sebanyak 15 peratus, iaitu lapan daripada 53 orang.

“Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, terdapat jurang gender yang agak ketara antara lelaki dan wanita dalam penyertaan politik, iaitu dengan skor 0.108 daripada 1.0 skor penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) dan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengenai isu yang sama di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, kerajaan telah mengumumkan dasar untuk mencapai sekurang-kurang 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam pada tahun 2004 dan di sektor swasta pada tahun 2011.

Mengulas usaha meningkatkan bilangan wanita di Parlimen, katanya perkara itu adalah tanggungjawab asas semua parti politik.

“Ini bergantung kepada jumlah kerusi yang diperuntukkan untuk wanita bertanding sebagai wakil rakyat serta jumlah kemenangan mereka.

“Selain itu, perlu ada persekitaran yang menyokong penglibatan wanita secara produktif, bermula daripada memupuk minat melalui latihan dan pendidikan sehingga kepada usaha menghapuskan segala bentuk diskriminasi yang menghalang wanita berkecimpung dalam kepimpinan dan politik,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga berpandangan bahawa program kepekaan gender memainkan peranan penting kerana akan memberikan pemahaman berhubung kepentingan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan, termasuk sebagai seorang Ahli Parlimen.

“Ini adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian bagi menghapuskan pandangan yang mengehadkan penyertaan wanita dalam bidang tertentu.

“Kementerian juga menyediakan pelbagai program advokasi bagi meningkatkan kesedaran mengenai gender dan kapasiti kepimpinan,” katanya.

Antara Januari hingga Ogos lalu, katanya Jabatan Pembangunan Wanita menganjurkan sebanyak 178 program yang disertai seramai 95,182 orang bagi merealisasikan usaha pemerkasaan wanita. – HARAKAHDAILY 29/9/21

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jan-Ogos lalu: Pemerkasaan wanita 178 program, 95,182 peserta. Al-hamdulillah, tahniah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails