Thursday, September 30, 2021

Firma Turki bantu pendigitalan lapangan terbang Malaysia

 

Firma Turki, Haritaevi Aviation Engineering bantu pacu proses pendigitalan lapangan terbang di Malaysia. FOTO NSTP

ANKARA: Sebuah firma kejuruteraan penerbangan di Turki yang menyediakan penyelesaian teknologi akan membantu mempercepat transformasi digital di 21 lapangan terbang di Malaysia, lapor Anadolu.

Haritaevi Aviation Engineering (Haritavei) berkata, syarikat itu akan melakukan analisis data rintangan, data medan elektronik dan rintangan (ETOD) serta perkhidmatan pangkalan data pemetaan lapangan terbang (AMDB) untuk 21 lapangan terbang di Malaysia dan Airport Surface Routing Network (ASRN) untuk enam lapangan terbang.

Pegawai pemasaran digital Haritaevi, Cezmi Aslan berkata, ia sekali gus memperakui kecekapan syarikat itu di peringkat antarabangsa dari segi kaedah dan teknik bagi mengendalikan projek seperti itu.

"Kami akan menggunakan kaedah campuran berdasarkan satelit fotogrametri dan integrasi 'terestrial' dalam kajian kami.

"Semua perkhidmatan akan diberikan untuk Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mematuhi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan Piawaian Organisasi Antarabangsa (ISO), seperti dalam projek yang sudah kami jalankan sebelum ini.

"Selari dengan pendigitalan yang disasarkan dalam penerbangan awam, kami menawarkan infrastruktur maklumat yang sangat kukuh kepada pelanggan dengan tawaran harga kompetitif," katanya.

Haritaevi Aviation Engineering ditubuhkan pada tahun 2006 dengan fokus kepada sistem maklumat geografi, menawarkan penyelesaian inovatif untuk lapangan terbang, penerbangan awam dan kepada pihak berkuasa penerbangan dalam bidang keselamatan penerbangan, keselamatan lapangan terbang dan kajian aeronautik. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails