Wednesday, September 29, 2021

8 strategi tingkatkan pengeluaran makanan negara -Dr Nik Muhammad Zawawi

 

KUALA LUMPUR: Kebergantungan negara kepada makanan import menyebabkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil lapan strategi proaktif untuk meningkatkan bekalan makanan.

Timbalan Menterinya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata tindakan pertama ialah meningkatkan pengeluaran beras negara menggunakan pendekatan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) melalui pelbagai kaedah seperti pertanian kontrak dan sewaan.

Katanya, matlamat SMART SBB ialah meningkatkan purata hasil per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada 7 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

“Strategi kedua ialah menubuhkan Lembaga Ruminan Negara untuk meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan serta hasilan ruminan seperti daging dan tenusu yang dijangka akan beroperasi secara berfasa mulai tahun hadapan.

Ketiga, kerajaan memperkukuh dan menambah baik infrastruktur, kemudahan dan fasiliti di kawasan pengeluaran makanan seperti jelapang padi, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) serta kompleks dan jeti perikanan,” katanya menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan).

Kor Ming bertanyakan langkah proaktif kerajaan untuk mengatasi kekurangan bekalan makanan tempatan yang kini terpaksa bergantung kepada import makanan melebihi RM51 bilion setahun.

Dr Muhammad Zawawi berkata, strategi keempat ialah menyokong pemodenan dan pertanian pintar melalui Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sebanyak RM60 juta dan Program Modenisasi Vesel dan Mekanisasi Tangkapan sebanyak RM150 juta yang menawarkan dana pembiayaan untuk perolehan vesel moden dan peralatan berasaskan IR4.0.

Katanya, kerajaan melalui strategi kelima mempergiatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi untuk menghasilkan varieti dan benih berhasil tinggi, rintang penyakit dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta teknologi dan input penanaman yang mesra alam.

“Antara varieti baharu ialah benih padi MR315 dan MRQ104 yang mempunyai daya tahan terhadap penyakit dan perosak,” katanya.

Beliau berkata, strategi keenam ialah menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian dan agromakanan melalui Program Agropreneur Muda dan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan.

Katanya, antara tahun 2016 sehingga kini, 7,571 orang agropreneur muda seluruh negara menerima manfaat geran dan pembiayaan di bawah Program Agropreneur Muda.

Strategi ketujuh dan kelapan, katanya ialah memperluaskan aktiviti pertanian bandar dan kebun komuniti di kawasan yang bersesuaian serta mempromosi amalan pertanian baik melalui pensijilan myGAP dan myOrganic agar rakyat terus mendapat makanan yang selamat dan bernutrisi. – HARAKAHDAILY 29/9/21

Peluang jadi usahawan ternak siput..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails