Tuesday, May 11, 2021

Survival politik atau nyawa rakyat, mana lebih penting?

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran supaya menggunakan kuasa darurat sepenuhnya untuk memutuskan pandemik Covid-19 daripada terus menular.

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad berkata, bagi menyelamatkan nyawa rakyat, kerajaan perlu melakukan sesuatu yang penting dan tidak perlu memikirkan implikasi politik.

“Mana yang lebih penting survival politik atau nyawa rakyat. Kerajaan perlu tegas. Kalau dah jadi macam India, masuk Pilihan Raya Umum (PRU) pun boleh kalah,” katanya di sini.

Kata beliau kerajaan tidak perlu peduli terhadap kritikan pembangkang kerana dalam keadaan sekarang keselamatan nyawa rakyat lebih penting berbanding memuaskan hati pihak yang sering mencari kesalahan kerajaan.

Menurutnya mereka yang sering memperlekehkan usaha kerajaan tetap akan melakukan perkara serupa biarpun apa yang kerajaan demi keselamatan rakyat.

“Saya lihat sekarang kerajaan seperti takut dengan pembangkang dan kecaman-kecaman terhadap usaha kerajaan mengatasi pandemik Covid-19 daripada terus menular,” ujarnya.

Pada 11 Januari lepas Kerajaan melaksanakan Proklamasi Darurat berikutan penularan wabak Covid-19 di Malaysia semakin membimbangkan.

Pandemik Covid-19 menyebabkan keselamatan atau keadaan ekonomi dan ketenteraman awam di Persekutuan atau mana-mana bahagian terancam sekiranya tidak dibendung.

Tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021 memberi ruang kepada kerajaan menumpukan pemulihan ekonomi negara selain menjamin dan mengekalkan keselamatan serta ketenteraman awam. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

Akan datang.. Selamat Hari Raya Aidilfitri..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails