Thursday, May 13, 2021

Jihad Berterusan, 83 Palestin Syahid, Aid4Palestine, 3. K'tan sumbang RM100,000'

 

1. Serangan Israel Berterusan, Kematian Meningkat. 83 Palestin mati syahid dan 365 cedera 

Polis Israel menyerang penduduk Palestin di Gerbang Damsyik dan Kejiranan Sheikh Jarrah di daerah Kota Tua Jerusalem Timur, yang dijajah.

Warga Palestin yang berkumpul di Gerbang Damsyik setelah solat isyak di Masjid Al-Aqsa, yang terletak di Kota Tua Jerusalem Timur, menjadi sasaran campur tangan polis Israel.

Di Kejiranan Sheikh Jarrah, polis Israel juga menyerang penduduk Palestin yang menghadapi ancaman pengusiran dari rumah mereka.

Dalam pernyataan bertulis yang dibuat oleh Bulan Sabit Merah Palestin, dinyatakan bahawa polis Israel menyerang warga Palestin di Gerbang Damsyik dan Kejiranan Sheikh Jarrah dengan bom tangan, peluru plastik, gas pemedih mata dan alat campur tangan insiden sosial.

18 orang Palestin, 10 daripadanya oleh peluru plastik, cedera semasa campur tangan polis Israel.

83 orang Palestin mati syahid dan 365 orang cedera dalam serangan Israel selama berhari-hari di Jalur Gaza yang berada di bawah sekatan.


2. Kempen #Aid4Palestine

SAYA mengikuti secara dekat perkembangan terkini yang berlaku di Palestin, serangan berterusan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam oleh seluruh rakyat dan pemimpin negara umat Islam sedunia yang cintakan bumi al-Aqsa.

Perompak jalanan Zionis Israel berusaha untuk mengusir penduduk Palestin di kawasan Syeikh Jarrah supaya keluar daripada rumah-rumah mereka, dan selepas itu tanah dan hak mereka akan dirampas oleh Zionis Israel secara haram.

Sehingga ke saat ini menjelang 1 Syawal 1442H, rakyat dan pejuang Palestin terus teguh mempertahankan bumi suci itu tanpa rasa gerun dan takut kepada musuh Allah SWT. Semangat jihad mereka yang tinggi berasaskan keimanan yang kuat menjadi obor kepada perjuangan pembebasan bumi Palestin.

Setiap umat Islam perlu terus berdoa dan memberikan tekanan ke atas rejim Zionis Israel dengan pelbagai cara dan teknologi terkini, supaya dihentikan kekejaman ini dan mengembalikan hak rakyat Palestin. Tidak cukup dengan itu, infaq dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kita kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.

Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin NGO, untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.

Kami telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah “Sekretariat #Aid4Palestine” yang akan dipengerusikan oleh YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini.

Sekretariat ini akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil  bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, serta menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah crowdfunding dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin.

Setakat ini komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal sudah mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia. Manakala kutipan fasa kedua minimum RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal.

Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.

Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin.

Selamatkan Masjid al-Aqsa, bebaskan Palestin.

YB DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah
1 Syawal 1442 / 13 Mei 2021  HARAKAHDAILY 13/5/2021

3. Kelantan sumbang RM100,000 untuk Palestin

KETIBAAN 1 Syawal 1442 Hijriyah, umat Islam di bumi Palestin terus berjuang untuk mempertahankan tempat suci ketiga umat Islam iaitu Masjidil Aqsa. Para Murabithin terus menitipkan semangat jihad yang tinggi dengan cita-cita dipilih sebagai Syuhada’ di sisi Allah SWT.

Perlakuan rejim Zionis bukan sahaja suatu tindakan zalim dan tidak berperikemanusian bahkan telah melanggari prinsip kemanusian dan mencabuli dasar hak asasi tajaan barat itu sendiri.

Saya mengikuti perkembangan secara dekat situasi yang dihadapi rakyat Palestin. Perjuangan rakyat Palestin sudah tentu memerlukan doa dan munajat umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Perjuangan rakyat Palestin juga wajib disusuli dengan infaq dan sumbangan daripada kita semua.

Atas solidariti tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Tabung Serambi Mekah akan menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kebejatan Zionis.

Sebagai menyahut seruan sumbangan kepada umat Islam di bumi Palestin, saya menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 melalui Tabung Serambi Mekah tersebut.

Sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada saudara kita di sana yang sangat memerlukan bantuan kewangan pada masa ini. Orang ramai yang ingin menyumbang kepada saudara kita di sana melalui Tabung Serambi Mekah bolehlah menyalurkan sumbangan melalui:

Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) 03018010080024 (Bank Islam)

Hantarkan maklumat sumbangan Al-Aqsa melalui whatsapp: Mohd Roshdi bin Ismail (013-9015602)

Sumbangan ini akan dibuka selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 19 Mei 2021. Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan lagi beban saudara kita di Palestin pada ketika ini.

Marilah kita sebagai umat Islam terus bermunajat, berdoa dan bersatu hati agar umat Islam di Palestin terus diberi kekuatan disaat genting ini. Semoga Allah SWT memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada mereka dan seluruh umat Islam di mana sahaja berada.

Doa buat Palestin, Selamatkan Masjid Al-Aqsa.

DATO’ BENTARA KANAN
USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
01 Syawal 1442 / 13 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 13/5/2021

(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails