Thursday, December 17, 2020

Wakaf air terima sumbangan lebih RM7 juta

 

PUTRAJAYA: Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau Wakaf Air yang dilancarkan hari ini sebagai sumber pembiayaan alternatif projek perkhidmatan air melalui instrumen wakaf, telah menerima hampir 30 permohonan untuk melaksanakan projek air di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Wakaf Air yang merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan diwujudkan di bawah Wakaf Tunai Malaysia YWM itu, telah menerima sumbangan lebih RM7 juta daripada orang awam serta beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). 

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Wakaf Air akan menumpukan kepada pembiayaan projek perkhidmatan air yang merangkumi sumber air, bekalan air dan pembetungan dalam skala kecil dengan kos projek bernilai di bawah RM50,000.

“Peringkat awal, Wakaf Air akan tumpu pada projek penyediaan bekalan air bersih di kawasan luar bandar seperti perigi, pembelian alat ganti, perolehan tangki simpanan air dan sambungan paip dengan punca air,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wakaf Air di kementeriannya, di sini.

Sempena pelancaran Wakaf Air itu, Tuan Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang juga Pengerusi YWM, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KASA dan YWM.

KASA diwakili Ketua Setiausahanya Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang manakala YWM oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Amir Shahruddin.

Tuan Ibrahim berkata permohonan yang telah diterima kini sedang diteliti dan dijangka projek dapat dimulakan awal Januari depan. 

Bagi memudahkan urusan wakaf, beliau berkata masyarakat boleh menyumbang secara dalam talian dengan hanya RM10 dan sumbangan diuruskan melalui akaun khas Wakaf Air yang ditadbir YWM. 

Tuan Ibrahim berkata sebagai langkah mampan jangka panjang, pihaknya bersetuju menetapkan sebahagian daripada Wakaf Air itu dilaburkan dalam portfolio yang dibenarkan.

“Manfaat pelaburan nanti akan diagihkan untuk membiayai projek Wakaf Air yang akan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum,” katanya.

“Wakaf Air adalah instrumen pembiayaan alternatif dan pelengkap kepada usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan air yang lebih baik kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Untung la..ms jd pembangkang kutip derma. Dah jd menteri pun kutip derma..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails