Thursday, December 17, 2020

Industri pelancongan Islam berpotensi melonjak pasca COVID-19

 

Industri pelancongan Islam dijangka kembali melonjak selepas COVID-19 berakhir. FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Majlis Pelancongan Islam Sedunia (WITC) yakin industri pelancongan Islam di negara ini berupaya melonjak lebih tinggi pada pasca COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Mohd Khalid Harun, berkata keyakinan itu adalah berdasarkan pendapatan sebanyak RM16.72 bilion yang dijana dari segmen pelancongan Islam tahun lalu.

Beliau berkata, Malaysia pada dasarnya memiliki potensi besar untuk menjadi destinasi pilihan pelancongan Islam di peringkat antarabangsa.

"Trend pelancongan Islam dilihat semakin berkembang secara pantas yang mana permintaan dan penawaran terhadap pelancongan ini meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita sedar pelancongan Islam akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan utama terutamanya selepas krisis Covid-19 berakhir, " katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan sebanyak RM16.72 bilion dijana dari segmen pelancongan Islam di negara ini tahun lalu.

Mohd Khalid berkata, pelancongan Islam adalah satu produk pelancongan baharu yang wujud dan diperkenalkan bukan saja di Malaysia, malah di kebanyakan negara Islam.

Katanya, Malaysia juga diiktiraf sebagai destinasi popular pelancongan Islam daripada aspek kesesuaian destinasi dan keperluan percutian keluarga, kemudahan dan perkhidmatan untuk pelancong Islam.

"Pada tahun 2015, hampir seorang daripada setiap empat pelancong ke Malaysia ialah pelancong Islam. Keseluruhannya negara menerima kemasukan 5.2 juta pelancong Islam, " katanya.

Beliau berkata, WITC merangka pelbagai inisiatif untuk terus meneroka peluang dalam pasaran pelancongan Islam.

Katanya, beliau juga menyarankan rakyat Malaysia bercuti melawat destinasi pelancongan Islam di negara ini seperti masjid, Muzium Islam, pusat tahfiz dan Taman Tamadun Islam.


IHtv

BERITA BERKAITAN

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails