Wednesday, December 16, 2020

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan wanita isytihar bukan Islam

 

Istana Kehakiman, Putrajaya. - Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan bagi rayuan seorang wanita supaya beliau diisytiharkan sebagai penganut Buddha dan bukan seorang beragama Islam.

Barisan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed; Datuk P Nallini; Datuk Abdul Rahman Sebli; Datuk Zabariah Mohd Yusof; Datuk Seri Hasnah Datuk Mohammed Hashim; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rodzariah Bujang bagaimanapun tidak menetapkan tarikh keputusan rayuan itu.

Terdahulu ketika berhujah, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Rosliza Ibrahim, 38, berkata Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf apabila ia mengkelaskan kes berkenaan sebagai permohonan untuk meninggalkan agama Islam.

Sebaliknya Gopal berkata, permohonan yang dibawa anak guamnya adalah untuk mengisytiharkan bahawa Rosliza sebenarnya bukan beragama Islam sejak awal.

Katanya, mahkamah rendah itu terkhilaf apabila merujuk kepada kes Lina Joy, berikutan kes anak guamnya bukanlah membabitkan individu yang mahu meninggalkan agama Islam sebaliknya seorang yang bukan beragama Islam serta tidak mengamalkan ajaran agama itu sejak awal lagi.

"Kebergantungan mahkamah rendah terhadap kes Lina Joy adalah salah. Mahkamah rendah gagal untuk mengkelaskan kes ini seperti sepatutnya," katanya.

Sementara itu, dalam hujahan bertulis perayu, Gopal berkata, berikutan mahkamah rendah membuat kesilapan itu, perayu memohon supaya permohonan itu dibenarkan dan satu deklarasi dibuat, menyatakan wanita itu tidak pernah menjadi penganut agama Islam.

Ia berikutan ibu bapa perayu tidak pernah berkahwin manakala tiada undang-undang yang membolehkan perkahwinan dan pendaftaran perkahwinan antara seorang Muslim dengan pasangan bukan Islam.

Bukti yang tidak dicabar menunjukkan kedua-dua perayu dan mendiang ibunya tidak pernah masuk Islam dan tiada perkahwinan yang sah antara ibu perayu dengan bapanya.

"Mendiang ibunya juga pernah membuat satu akuan bersumpah yang mengesahkan bahawa beliau tidak pernah berkahwin dengan bapa kepada perayu ketika wanita itu dilahirkan. Selain itu, butiran dalam kad pengenalan bukanlah bukti asas kepada agama seseorang," katanya.

Sementara itu, responden iaitu Kerajaan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhujah bahawa perayu adalah seorang yang beragama Islam, berdasarkan kepada dokumen seperti kad pengenalannya selain ketika dilahirkan, bapa perayu beragama Islam.

Peguam Abdul Rahim Sinwan yang mewakili MAIS berkata, perayu adalah seorang yang beragama Islam, berdasarkan kepada borang permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan selain tiada bukti menunjukkan perayu ada membuat pembetulan kepada maklumat yang tercatat dalam dokumen itu.

Selain itu, Abdul Rahim berkata, sekiranya seseorang itu berkahwin mengikut hukum syarak tetapi ia tidak didaftarkan, perkahwinannya masih lagi sah.

Bagaimanapun, apabila ditanya Tengku Maimun, Abdul Rahim bersetuju, wanita beragama Buddha dan lelaki beragama Islam tidak boleh berkahwin.

Beliau juga berkata, jika pasangan bersekedudukan itu mempunyai anak, anak itu adalah tidak sah taraf dan agamanya berbalik kepada ibunya yang bukan Islam.

Rosliza memfailkan saman pemulanya pada 2015 untuk mendapat satu deklarasi bahawa beliau bukan seorang beragama Islam, justeru Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya.

Wanita itu juga mendakwa bahawa beliau dilahirkan sebagai anak luar nikah bapanya yang beragama Islam dan ibunya yang beragama Buddha.

Mahkamah Tinggi Shah Alam, bagaimanapun menolak permohonan itu pada 22 Jun 2017 manakala Mahkamah Rayuan juga menolak rayuannya pada 25 April 2018.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails