Wednesday, April 08, 2020

Isu Arak: PAS menang dua anugerah berprestij



SAYA cuba mendapatkan sedikit maklumat penting daripada Timbalan Menteri Sains dan Inovasi YB Haji Amzad Hashim berkenaan peranan Ketua Setiausaha (KSU) di Kementerian-kementerian. Apa kuasa mereka, bagaimana sesuatu perkara itu boleh diluluskan dan setakat mana hal yang berkaitan dengan isu arak baru-baru ini terlepas.
 
Alhamdulillah, YB Haji Amzad seorang yang sangat membantu, terutama apabila saya menyatakan hasrat saya untuk menulis, memberikan sedikit penerangan kepada orang awam atas apa yang berlaku. Terima Kasih YB, walaupun kesibukan, beliau masih menjawab soalan saya. Jadi nota ringkas beliau, saya terangkan kepada beberapa perkara.
 
Secara mudah ianya adalah berkenaan dengan isu menurunkan kuasa meluluskan daripada Menteri kepada KSU. Menteri atau Timbalan Menteri akan memberikan perkara asas untuk KSU lakukan yang kemudiannya diagihkan kerja-kerja yang dikehendaki itu kepada jabatan-jabatan yang berada di bawah Kementerian terbabit.
 
Sama seperti Pengurus Besar di sebuah syarikat yang memberikan kuasa kepada Pengurus-pengurus di bawahnya seperti perbelanjaan dalam suatu jumlah yang mana Pengurus kecil syarikat itu boleh berbelanja tanpa perlu meminta kebenaran setiap kali mahu berbelanja daripada Pengurus Besar, atas beberapa syarat asas yang telah dimaklumkan oleh Pengurus Besar ketika memberikan kuasa itu.
Ikut atas kepandaian mereka berbelanja. Ianya akan menyusahkan Pengurus Besar apabila pada setiap masa perlu memeriksa apa yang mahu dibeli, berapa harga. Ianya tidak praktikal langsung. Perkara ini juga atas isu kepercayaan kepada kebijaksanaan orang dilantik.
 
Tetapi isu akan timbul apabila pembelian tidak kena pada tempat dan masa, atau pembelian yang terkeluar dari syarat-syarat syarikat. Contohnya berbelanja bagi mengadakan majlis keramaian. Ia dibenar sebelum ini, tetapi akan dipersoalkan di waktu ini kerana wang itu patut digunakan kepada hal lain seperti kebajikan pekerja dan juga bahaya dari segi kesihatan, berkumpul beramai-ramai.
 
Jadi Pengurus Besar berkuasa membatalkannya. Pengurus bawah tidak melakukan kesalahan kerana masih dalam bidang kuasanya meluluskan hal itu. Mungkin boleh dibincang di sini mengenai sensitiviti oleh pengurusan bawah yang dilihat tidak peka dengan keadaan semasa.
 
Inilah yang terjadi ketika surat kelulusan jualan itu dikeluarkan. Arak dibenarkan untuk dijual. Itu tak perlu penjelasan kerana amalan itu dibenarkan untuk bukan-Islam. Tetapi jualannya mesti dikawal sebagaimana PAS di Terengganu dan Kelantan melaksanakannya semenjak puluhan tahun lalu, mengikut Islam. Dan pembangkang yang memfitnah PAS ketika ini juga ada bersama dalam Kerajaan PAS ketika itu.
 
Oleh kerana kuasa melulus telah diberikan kepada KSU, maka beliau menjalankan kerja seperti biasa. Saya cuba mengelak menuduh beliau berlaku curang. Saya anggap beliau, sebagai orang yang beramanah atas Jawatan Utama Sektor Awam yang beliau miliki itu. Cuma mungkin kurang peka yang Kerajaan sekarang ada PAS bersama.
 
Tulisan saya hanya mahu menerangkan keadaan. Pasti ini akan lebih membuka minda daripada tuduhan-tuduhan yang kadang kala tidak berpijak di bumi yang nyata. Jadi dalam senarai pembekal, jenama-jenama arak itu juga termasuk dalam kategori yang boleh diberi kebenaran membekal.
 
Menteri dan Timbalan Menteri bukan bertugas memeriksa senarai nama dan kategori pembekal. Tanggungjawab mereka jauh lebih besar, iaitu menetapkan dasar yang dipersetujui Kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet dan melaksanakan beberapa peraturan tersendiri yang diberikan kuasa oleh Perdana Menteri kepada mereka. Maka sudah pastilah peraturan itu berjalan seperti biasa di bawah KSU.
 
Sehinggalah surat kelulusan ditandatangani dan kemudiannya tersebar ke serata negara, maka PAS segera bangkit melalui Pemudanya menegur Kerajaan agar menarik balik kebenaran penjualan arak ketika wabak sedang melanda ini. Tuntutan ini amatlah munasabah kerana apa peranan arak selain dari memusnahkan kehidupan? Rakyat termasuk pembangkang faham yang penjualan arak dibenarkan dahulu, termasuk di Kelantan dan Terengganu dengan syarat-syarat tertentu.
 
Tetapi alhamdulillah, sepakat masyarakat menolaknya ketika dalam keadaan penyakit bertebaran ini. Dan amat menggembirakan, kerana Kerajaan segera menarik kembali kelulusan itu disebabkan teguran pantas PAS tadi. PAS menjuarai dalam kategori menyelamatkan masyarakat dari arak, semua orang bersetuju dengan tindakan PAS. Kesilapan adalah biasa tetapi mengakui dan membaikinya dengan segera itu yang luar biasa.
 
Dalam masa yang sama, kita boleh imbau, satu perkara yang lebih dahsyat telah berlaku suatu ketika dahulu iaitu kelulusan mengadakan Better Beer Festival di Selangor. Ianya disokong oleh kalangan Melayu Islam dari PH. Tiada suara bantahan, selain dari PAS dan NGO Islam. Malah yang membantah pula dikecam mereka. Konon atas dasar hak asasi manusia. Sengaja sesetengah mereka bukan-Islam menunjukkan gambar mereka sedang minum.
 
PAS membantah untuk pesta diadakan, diiklankan secara terbuka seperti mempersendakan agama Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini. Itu jelas. Jika bukan-Islam mahu minum sehingga menelan botol sekalipun, asalkan dalam rumah mereka, tanpa publisiti, PAS tiada masalah. Tetapi mengadakan acara terbuka di tempat awam, PAS akan tentang.
 
Kemudian pada isu kelulusan jualan arak ini, tidak semena-mena, PAS dituduh bersekongkol dengan dosa arak oleh mereka yang dahulu bersetuju dengan pesta arak. Seolah-olah PAS yang menandatangani surat kelulusan itu. Sedangkan PAS konsisten menentangnya sejak dahulu. Ketika mereka setuju dengan pesta arak, mereka dakwa mereka betul. Ketika PAS menentang dan mereka fitnah PAS bersekongkol, mereka rasa mereka juga betul.
 
Jadi PAS menjuarai satu lagi kategori berprestij iaitu kategori mengutip pahala secara percuma di akhirat nanti. Lihatlah kepada tuduhan, cemuhan, fitnah yang mereka mainkan di medsos. Sepertinya pada mereka, malaikat juga dikenakan PKP, tidak boleh ke sana ke mari mencatat dosa-dosa mereka. Syukurlah wahai ahli PAS, tak habis lagi fitnah RM90 juta, datang lagi fitnah lain bertimpa-timpa.
 
Kita mungkin lemah dalam melakukan ibadat dan ketaatan, tetapi insyaAllah kita akan mendapat pahala difitnah sekiranya kita kekal bersabar. Sesungguhnya sabar itu amat payah dalam perjuangan kita mahu menegakkan Islam. Pastikan kita dalam senarai orang-orang yang bersabar.
 
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 7/4/2020

2 comments:

Anonymous said...

Kerajaan dan rakyat sebuk edar bantuan, macai ph sebuk edar fitnah dan bohong. Takziah.

Anonymous said...

Pas bukan dapat pahala tapi bala kerana tipu umat islam..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails