Saturday, April 11, 2020

Kilang sebabkan Sg Meru tercemar diambil tindakan


SAYA ingin memaklumkan bahawa pejabat saya telah menerima aduan menerusi media sosial tentang pencemaran Sungai Meru yang berlaku pada 9 April 2020 telah menyebabkan ratusan ikan dan hidupan air mati dalam jarak 1.5 kilometer. Menurut aduan tersebut, pencemaran sungai itu disyaki berpunca daripada pelepasan kilang sarung tangan getah yang terletak di Kawasan Perindustrian Taman Meru, Jelapang, Ipoh.

Sehubungan itu, saya telah memberi arahan kepada Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menyiasat aduan ini dengan segera dan memastikan tindakan undang-undang disegerakan jika terdapat sebarang pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

JAS Negeri Perak telah menjalankan siasatan pada 10 April 2020 dan mendapati bahawa pencemaran tersebut berpunca daripada pelepasan bahan mentah sintetik latex dari kilang membuat sarung tangan ke longkang awam dan mengalir ke sungai yang berhampiran.

JAS Negeri Perak telah menjalankan persampelan dari dalam kilang dan longkang awam berhampiran kilang untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia. Dalam pada itu, sampel ikan mati dari beberapa lokasi di Sungai Meru juga diambil dan dihantar ke Jabatan Perikanan Negeri Perak untuk dianalisis. Pemantauan dron telah dilakukan untuk memastikan keadaan sungai di hilir lokasi kejadian. Pihak kilang juga telah diarahkan untuk menjalankan pembersihan di longkang awam dan sungai sehingga selesai.

JAS Negeri Perak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Saya ingin memberi amaran keras kepada semua kilang yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan semua alat kawalan pencemaran berfungsi dengan baik dan pengurusan buangan terjadual dilaksanakan dengan sempurna bagi mencegah berlakunya pencemaran yang berpotensi memberi risiko kepada alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Saya juga ingin mengajak orang ramai untuk membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal  e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. Saya amat menghargai sebarang laporan yang diberikan.

JAS juga akan memberikan ganjaran sehingga RM5,000.00 kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar sehingga tertangkapnya pihak-pihak yang terbukti bersalah dan identiti pemberi maklumat berkenaan juga akan dilindungi seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

YB DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar dan Air
Putrajaya
10 April 2020 – HARAKAHDAILY 10/4/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails