Sunday, October 13, 2019

Sudah 12 Ditahan Berkait Pengganas LTTE, Transaksi Kewangan.



Bercakap pada sidang media di Bukit Aman pagi ini, Ayob Khan menjelaskan kesemua lima individu yang ditahan semalam mempunyai hubung kait dengan tujuh yang ditahan sebelum ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Polis kesan transaksi kewangan untuk gerakkan LTTE

KL: Pegawai eksekutif sebuah perbadanan adalah antara lima lelaki yang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Empat lagi ialah ahli majlis perbandaran, guru, pekerja kilang dan penyelia keselamatan.
Mereka ditahan dalam operasi khas Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang semalam di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.
Penangkapan terbaru itu menjadikan keseluruhan 12 individu yang diambil tindakan kerana disyaki terbabit dengan LTTE yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia.
Khamis lalu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan, antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak.
Bercakap pada sidang media di Bukit Aman pagi ini, Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menjelaskan kesemua lima individu yang ditahan semalam mempunyai hubung kait dengan tujuh yang ditahan sebelum ini.


Malah, penahanan mereka susulan tangkapan ke atas tujuh individu pada Khamis lalu.
“Hasil siasatan awal, kita percaya kesemua 12 individu ini saling mengenali dan sering menghubungi antara satu sama lain,” katanya.
Menjelaskan butiran tangkapan semalam, beliau berkata tangkapan pertama membabitkan seorang guru berusia 52 tahun yang mengajar sekolah menengah di Banting.
Tangkapan ke atas guru itu dilakukan di Teluk Panglima Garang kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial selain memiliki dan menyimpan item berkait LTTE.
Polis juga menahan pegawai eksekutif sebuah perbadanan dan ahli majlis perbandaran, masing-masing berusia 38 tahun dan 43 tahun di Durian Tunggal, Melaka, yang menjadi penganjur sambutan hari perwira LTTE.
Polis kemudian menahan dua lelaki, masing-masing pekerja kilang berusia 26 tahun dan penyelia keselamatan berusia 29 tahun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial.
“Kita akan terus lancar operasi susulan bagi memburu saki baki elemen LTTE di negara ini,” katanya. (BH)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails