Monday, August 12, 2019

Sambil Mengintai Lembu Korban, 'Selamat di Malaysia....'



'Selamat di Malaysia, tidak di Myanmar'

"SAYA bersyukur dapat ke Malaysia. Di sini, semua orang menghormati agama masing-masing. Jika di Myanmar, Rohingya sentiasa ditindas.
“Di Malaysia, semua orang boleh mengamalkan ajaran agama masing-masing. Orang Melayu hormat Orang Cina dan India, begitu juga dengan dua kaum utama itu saling menghormati ajaran agama lain,” kata Dil Mohamad Sayad Kasim.
Dil antara 95,000 pelarian Rohingya yang mendapat perlindungan di Malaysia sejak enam tahun lalu.

Setiap kali sambutan perayaan termasuk meraikan Aidiladha, pastinya kenangan bersama keluarga tersayang tidak pernah lekang daripada ingatannya.
Bahkan, setiap kali selesai menunaikan solat, pasti air matanya tumpah apabila teringat kembali kisah bapanya meninggal dunia akibat ditembak tentera dan ibunya terpaksa lari ke Bangladesh.
Katanya, rumah yang dihuni mereka juga musnah dibakar tentera dan nasib mereka di negara sendiri tidak pernah mendapat perhatian kerajaan yang dianggap berklompot dengan tentera.
“Di Myanmar, undang-undang tidak pernah memihak kepada Rohingya dan sentiasa ditindas. Kami tiada pilihan lain selain melarikan diri atau mati dibunuh.
“Meskipun selamat berada di Malaysia, hati tetap ingin pulang ke kampung tetapi keadaan sentiasa tidak mengizinkan atas faktor keselamatan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aildiladha Etnik Rohingya di Klang hari ini.
Sambutan itu yang dianjurkan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) diadakan di Madrasah Daharul Ulum, Kampung Johan Setia iaitu tempat untuk anak-anak Rohingya mendapat bantuan pendidikan daripada pelbagai badan amal.
Pada majlis itu, kira-kira 200 pelarian Rohingya berkumpul untuk menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah. Bacaan khutbah disampaikan di dalam Bahasa Rohingya.
Selesai solat, jemaah berkumpul untuk menyembelih lima ekor lembu, ihsan pelbagai individu untuk meraikan pelarian berkenaan dan daging yang siap dilapah diagihkan kepada jemaah.
Sementara itu Presiden Merhrom, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, program sambutan Aidiladha dalam kalangan pelarian Rohingya di Malaysia diadakan setiap tahun dan lokasinya juga sentiasa bertukar.
Katanya, dia difahamkan di Malaysia terdapat lebih 100,000 pelarian Rohingya dan ketika ini hanya kira-kira 95,000 orang mendapat kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 yang menyebabkan mereka tidak boleh berkerja dan anak-anak juga tidak mendapat pendidikan formal di negara ini.
“Bagaimanapun kami bersyukur kerana kerajaan Malaysia membenarkan untuk berlindung di negara ini.
“Namun kami berharap kerajaan negara ini dapat mempertimbangkan untuk membolehkan kami bekerja bagi menyara hidup.
“Selain itu, saya berharap anak-anak Rohingya turut mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan,” katanya. (Mymetr0)


Lihat lagi..
Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails