Pernah satu ketika membuat kenyataan secara terbuka mengimpikan saat untuk mati syahid, pesona milik wanita berkulit putih mulus itu mudah dilihat sebagai srikandi Muslim masa kini.
Bukan sahaja mengimpikan untuk bertemu Allah dalam keadaan syahid, dia juga pernah berdepan situasi cemas gara-gara berada di lokasi bergolak ketika melaksanakan misi di Kafr Zita, Syria sekitar Mac lalu.
Menyaksikan begitu banyak komitmen dan kasih sayang yang ditumpahkan Heliza demi mendekati dan menyumbang sedikit bakti buat saudara seagama di seluruh dunia, Kosmo! menyelami isi hati wanita berusia 33 tahun itu untuk berbicara tentang pengorbanan.
Hasil carian imej untuk Heliza Helmi
KOSMO!: Heliza, apakah erti pengorbanan bagi anda?
HELIZA: Sepanjang hari dalam hidup manusia sebenarnya perlu sentiasa melakukan pengorbanan sama ada untuk meneruskan kehidupan mahupun mencari keredaan Allah. Sebagai contoh, Islam amat mengunjurkan solat sunat ketika sepertiga malam. Demi melakukan solat tersebut, manusia mengorbankan masa tidur untuk bersujud kepada Allah.
Untuk saya, setiap kali menyertai misi terdapat beberapa projek atau program berkaitan seni yang terpaksa ditolak. Saya juga mengorbankan masa bersama keluarga begitu juga keluarga yang merelakan saya pergi ke setiap misi.
Pengorbanan tidak semestinya hanya pada sambutan perayaan Aidiladha, bahkan sepanjang hidup manusia akan melakukan pengorbanan kecil tanpa mereka sedari.
Selamat hayat, apakah pengorbanan yang paling besar dan sukar untuk anda laksanakan?
Jujurnya pengorbanan yang paling besar dan sukar yang pernah saya lakukan adalah berperang dengan nafsu. Nafsu gemar menyuruh manusia melakukan perkara yang menjurus ke arah kejahatan.
Apatah lagi iman manusia ada turun naik. Berlawan dengan nafsu adalah perkara paling sukar. Contohnya, ketika menonton televisyen, secara tiba-tiba azan berkumandang. Nafsu akan mengajak kita kekal di hadapan televisyen, walhal sujud kepada Allah adalah lebih utama berbanding apa sahaja kegiatan.
Saya adakalanya lalai, bagaimanapun, itu bukan alasan kerana kita sering diberi peluang untuk memperbaiki diri.
Adakah anda mempunyai doa khusus untuk istiqamah dalam melakukan misi kemanusiaan?
Saya dan adik, Hazwani mengamalkan satu doa setiap kali mahu menyertai misi kemanusiaan.
Doa tersebut adalah: “Ya Allah manfaatkanlah setiap misi kami demi ummah dan izinkanlah setiap bantuan ini sampai ke seluruh dunia demi menolong orang lain.”
Kami juga akan menyelitkan lokasi impian untuk dikunjungi. Alhamdulillah selepas Allah perkenan doa kami melawat Syria dan Gaza, kini meneruskan misi ke Afrika untuk berkunjung ke kem pelarian Muslim di sana.
Apakah bantuan yang akan anda sampaikan di Afrika nanti?
Saya bersama Yayasan Amal Malaysia berkunjung ke kem pelarian Cameroon di Afrika dan menyambut perayaan Aidiladha di sana. Demi misi ini adalah julung kali saya menyambut perayaan jauh daripada keluarga. Kali ini, kami membawa bantuan seperti al-Quran dan kelengkapan sembahyang. Saya mohon rakyat Malaysia doakan perjalanan kami. (Kosmo!)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wajarkah tindakan beliau itu dari pelbagai sudut? Mohon pandangan pembaca-pembaca budiman..
Lihat lagi..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis