Friday, August 16, 2019

PH Benarkan Lynas Teruskan Operasi... -SAM/CAP


Lynas: Kebimbangan serius, persoalan tidak terjawab
SAHABAT Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan yang serius berhubung keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk membenarkan Lynas untuk meneruskan operasinya untuk enam bulan lagi dan untuk sisa radioaktifnya kekal di negara ini.
Ini bermakna sekali lagi, satu lagi legasi toksik diwujudkan bagi generasi masa depan menderita, dengan tambahan kepada sisa radioaktif berbahaya sedia ada yang disimpan di Banjaran Kledang, Perak daripada kilang Asian Rare Earth.
Kerajaan berkata keputusan Lynas itu dibuat berikutan kenyataan kerajaan Australia dan kerajaan negeri Australia Barat kepada Malaysia bahawa mereka tidak akan menerima sisa radioaktif Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan oleh Lynas dihantarkan kembali ke sana.
Ia jelas bahawa kerajaan Australia menganggap sisa Lynas amat toksik untuk diterima. Sudah tentu, apa yang menjadi ancaman yang tidak dapat diterima oleh rakyat Australia dan alam sekitar juga seharusnya dianggap ancaman yang sama kepada kesihatan penduduk dan alam sekitar di Malaysia.
Sebaliknya, dengan membenarkan Lynas untuk meneruskan operasinya di Malaysia, negara ini sekali lagi menjadi tempat pembuangan bagi sisa radioaktif, yang akan kekal berbahaya untuk generasi akan datang memandangkan thorium dan uranium dalam sisa WLP mempunyai jangka hayat yang panjang sehingga berjuta dan berbilion tahun.
Sebaliknya, daripada menutup operasi dan meminta Lynas menangani sisa toksik dan radioaktif, kerajaan membenarkan syarikat itu untuk meneruskan operasinya selama enam bulan lagi, tertakluk kepada syarat, yang menimbulkan lagi kebimbangan dan persoalan yang seterusnya.
Salah satu syaratnya ialah Lynas mendapat Fasiliti Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa radioaktif. Bagaimanapun, siaran akhbar kerajaan tidak menetapkan bilakah sisa itu akan dipindahkan daripada tapak sementara kepada PDF.
Sejak lesen diperbaharui selama enam bulan, bolehkah Lynas mencari tapak yang “selamat” dan sesuai dalam tempoh enam bulan ini, dan juga melengkapkan proses lain yang diperlukan? Paling penting, terdapat keperluan bagi Penilaian Kesan Alam Sekeliling dan Penilaian Kesan Radiologi dilakukan mengikut undang-undang kita, yang tertakluk kepada rundingan awam dan kelulusan. Dalam perkara ini, kita harus memastikan bahawa tiada sebarang kompromi untuk ia dilakukan dengan sempurna, atau sebarang usaha untuk mempercepatkan proses tanpa semua perkara berkaitan keselamatan ditangani sepenuhnya.
Operasi Lynas seharusnya digantung sehingga ia memiliki PDF, memandangkan ia sudah pun mengumpulkan 580,000 tan sisa radioaktif. Dengan operasinya setiap hari, lebih banyak sisa radioaktif akan dihasilkan setiap hari.
Satu lagi syarat ialah Lynas perlu mengemukakan pelan untuk membina cracking and leaching facility (CLF) di luar negeri, dan dengan itu memindahkan proses cracking and leaching jauh daripada kilangnya di Gebeng, Kuantan. Dengan itu, bahan yang dibawa Lynas ke kilang Malaysia tidak akan mengandungi bahan radioaktif. Bagaimanapun, fasiliti ini di luar negeri akan beroperasi hanya dalam tempoh empat tahun, daripada tarikh lesen berkuatkuasa, menurut siaran akhbar kerajaan.
Kami tidak faham kenapa kerajaan memberikan Lynas empat tahun untuk CLF di luar negeri beroperasi. Penguatkuasaan ini bermakna syarikat ini akan dibenarkan untuk menghasilkan sisa radioaktif selama empat tahun sehingga operasinya berpindah ke Australia. Barangkali, sisa tambahan ini juga akan dilupuskan di PDF, dan ini bermakna sekurang-kurangnya hampir 1 juta tan sisa radioaktif perlu diuruskan selama berdekad ataupun berabad.
Dengan jumlah sisa yang banyak ini, ia akan menelan kos yang besar bagi menyelenggara fasiliti pelupusan ini. Kerajaan perlu menjelaskan jumlah kos menangani sisa termasuk (1) kos membersihkan tapak simpanan sementara, (2) kos mendapatkan, menyediakan dan membina tapak pelupusan kekal, (3) kos menyelenggara tapak untuk sedekad akan datang, dan (4) kos melepas kerana tidak dapat menggunakan tanah di persekitaran tapak itu.
Kerajaan perlu jelas bahawa Lynas yang akan menanggung kos menangani masalah sisa ini. Dalam kes ini, siaran akhbar kerajaan kurang menjelaskannya dan syarat itu perlu terkandung dalam perjanjian rasmi antara Lynas dan kerajaan. Ia tidak seharusnya menjadikan rakyat Malaysia perlu membayar kos menangani sisa itu.         
Siaran akhbar kerajaan juga mendedahkan bahawa syarikat itu dihentikan daripada menjalankan penyelidikan yang selanjutnya dalam menggunakan sisa radioaktif sebagai perapi tanah untuk kegunaan pertanian. Langkah ini dialu-alukan oleh kami, memandangkan sebelum ini kami telah mendedahkan akan bahayanya kepada kesihatan dan ekonomi daripada penggunaan sisa itu.
Kesimpulannya, kami mempunyai persoalan dan kebimbangan berhubung: (1) membenarkan kilang untuk meneruskan operasi di Malaysia; (2) tempoh masa dan proses bagi pemindahan sisa ke PDF; (3) sama ada syarikat akan menanggung kos secukupnya bagi menangani pelupusan sisa; dan (4) tempoh yang lama sebelum operasi cracking and leaching dipindahkan keluar daripada kilang Malaysia.
Kami sekali lagi mengulangi gesaan agar operasi Lynas digantung sehingga isu ini diselesaikan dengan sempurna dan telus.


Meenakshi Raman       Mohideen Abdul Kader 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails