Penganjuran majlis itu disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dewan Sosio Budaya, Majlis Dakwah Negara Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Kebajikan Insan Selangor.
Menurut Pengerak Masyarakat Orang Asli, Ustaz Mohd. Azwan Che Lah, seramai 60 penduduk Islam Masyarakat Orang Asli dari tiga buah kampung berdekatan iaitu Kampung Orang Asli Pulau Indah, Kampung Orang Asli Pulau Ketam dan Kampung Orang Asli Bagan Hailam berkongsi nikmat Korban ini.
Seramai 60 orang penduduk Islam Masyarakat Orang Asli dari tiga buah Kampung berdekatan iaitu Kampung Orang Asli Pulau Indah, Kampung Orang Asli Pulau Ketam Dan Dan Kampung Orang Asli Bagan Hailam terlibat dalam majlis tersebut.
Katanya, program dimulakan seawal pukul 8.30 pagi dengan menunaikan solat Aidiladha yang diimamkannya sebelum melaksanakan aktiviti menyembelih, melapah dan pengedaran daging kepada yang terlibat.
“Urusan penyembelihan dilakukan oleh wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Ustaz Hafizul Ayub dengan dibantu penduduk setempat.
“ Sebanyak dua ekor lembu dikorbankan sumbangan Yapeim melalui inisiatif Dewan Sosio Budaya,Majlis Dakwah Negara dan seekor lagi adalah sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya kepada Utusan Online baru-baru ini.
Selepas urusan sembelih haiwan itu selesai, sukarelawan dari Pertubuhan Kebajikan Insan Selangor serta para mualaf Orang Asli melakukan kerja-kerja melapah dan membungkus daging yang ke semuanya dianggarkan kira-kira 180 kilogram termasuk tulang, perut dan hati.
"Ini bermakna seorang penduduk mendapat tiga kilogram daging termasuk sedikit tulang dan hati yang dibahagikan sama rata,” ujarnya.
Menurutnya, program itu berakhir dengan pengedaran daging korban serta makan tengah hari yang dimasak secara bergotong royong bersama penduduk terbabit. - UTUSAN ONLINE 
Komen Weblog Ibnu Hasyim: 'Buat julung kalinya, Perkampungan Orang Asli Pulau Indah, Pelabuhan Klang dekat sini merasai pengalaman korban'. Apakah kita terlepas pandang, yang jauh nampak, yang dekat kita tak nampak?
Sepatutnya, semua kita kena nampak. Macamlah negara baru merdeka beberapa hari?