Tuesday, August 13, 2019

Harga 1 Dinar K'tan, Cecah RM1,000.


Hasil carian imej untuk HARGA 1 DINAR KELANTAN

oleh Norzana Razaly
KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd., KGT (anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan, PMBK) tekal beristiqamah mendaulatkan mata wang sunah Dinar Dirham sebagai produk utama keluaran syarikat di samping wafer bar 1g berketulenan 24K sebagai produk pelaburan alternatif.
Berprinsipkan syukur ketika untung dan sabar semasa rugi, pihak pengurusan KGT kekal memberikan khidmat terbaik sepanjang hampir satu dekad dalam menyediakan tukaran fiat kepada mata wang emas dan perak kepada semua pelanggannya.
KGT juga cekal berdepan segala mehnah dan tribulasi dunia perniagaan dan bersungguh-sungguh mahu mencapai misi syarikat yakni melestarikan amalan berjual-beli mengunakan mata wang sunah seperti era Rasulullah SAW dan Khulafa’ Ar-Rashidin membawa ke zaman para sahabat dan tabi’in sehingga berakhirnya Khalifah Uthmaniyah di Turki pada Mac, 1924.
Setinggi-tinggi pujian dan penghormatan atas keberanian saf pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah tadbir-urus mantan Dato’ Bentara Setia al-marhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tegar menjungkir balik keranda dinar dirham dari persemadiannya sejak 86 tahun lalu dengan mendaulatkan semula mata wang alternatif untuk rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia serta seluruh warga dunia, amnya.
Hari ini, 12 Ogos 2019 bersamaan 11 Zulhijjah 1440H mencatatkan ulang tahun ke sembilan tarikh pelancaran rasmi Mata wang Syariah Dinar & Dirham Kelantan oleh al-marhum Tuan Guru Nik Aziz pada pada 12 Ogos 2010 bersamaan 2 Ramadan, 1431.
Ketika itu, nilai tukaran 1 Dinar dengan wang fiat ialah RM589 sahaja manakala 1 Dirham pula ialah RM13 sahaja. Dalam tempoh kurang sebulan selepas dilancarkan yakni pada 8 September 2010, harga kedua-dua mata wang tersebut telah melonjak naik sebanyak RM599 bagi 1 Dinar manakala harga bagi Dirham pula meningkat sebanyak RM1 menjadikannya RM14 bagi 1 Dirham.
Bagi merancakkan aktiviti simpanan dan pelaburan emas di kalangan rakyat Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, Hj. Ahmad Yakub pula meneruskan agenda memartabatkan mata wang sunah ini dengan merasmikan wafer emas seberat 1 gram bersaiz muka 15 x 8 milimeter (mm) dengan ketulenan emas 999 pada 8 Disember 2015.
Menurut beliau, antara ciri baharu ketulenan logam itu diperkenalkan dan dijamin oleh KGT ialah setiap produk berkenaan mempunyai nombor siri, kod dan sijil pengesahan dan mempunyai nilai muka sah untuk dijual atau sebagai gadaian di kedai pajak gadai Islam seperti Ar Rahn atau Ar Rahnu.
1 Dinar emas seberat 4.250 gram berukuran diameter 22 mm berketulenan emas 917 manakala dirham perak, dua jenis diperkenalkan iaitu yang bernilai 1 Dirham seberat 2.975 gram berukuran diameter 22 mm dengan ketulenan perak 999 dan Dirham Belia dan Dirham Wanita seberat 29.75 gram berukuran diameter 41 mm dengan ketulenan perak 999 menepati ciri kepingan logam mata wang Islam yang digunakan pada zaman Rasulullah SAW yang berfungsi sebagai alat pengukur nilai (wang) bagi setiap barangan komoditi.
Kelebihan utama mata wang ini terletak pada nilai intrinsiknya sekaligus menempatkan keunggulan nilai pada tahap tertinggi selari dengan peredaran masa. Buktinya, pada Zaman Rasulullah SAW, nilai 1 Dinar dapat ditukarkan dengan seekor kambing atau setara dengan sebahagian lembu terbaik untuk ibadah korban dan hari ini pun kadar tukarannya masih sama dalam nilaian wang fiat.
Nah, inilah hikmah pelaksanaan mata wang syariah yang dapat membebaskan masyarakat daripada amalan riba dan menyelamatkan ummah kerana ia kalis inflasi.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri terus komited merealisasikan pembangunan mata wang syariah di negeri ini dan diharap Dinar Dirham Kelantan dapat digunakan oleh masyarakat biar pun bukan sebagai mata wang sekarang, namun ia boleh dijadikan simpanan, hadiah dan mahar perkahwinan,” kata Dato’ Menteri Besar ketika melancarkan Dinar dan Wafer Emas Edisi Baharu keluaran KGT, di Kota Darulnaim.
Sejarah dinar dirham di Negeri Kelantan bermula pada tahun 2006 dengan tempaan koin emas pertama oleh Mariwasa Kraftangan, pengeluar cenderamata tempatan bagi objek seni dan budaya kepada masyarakat berharga RM322 bagi 1 Dinar. Duit syiling ini mempunyai satu komposisi berlogam emas 22 karat berdenominasi – 1/4, 1/2, dan 1 dinar.
Pengenalan Dinar Emas kepada rakyat negeri Kelantan adalah sejajar dengan saranan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang gigih berusaha memperkenalkan dan mempromosikan penggunaan dinar emas di sekitar Malaysia pada tahun 2000 natijah kejatuhan nilai mata wang negara-negara ASEAN pada tahun 1998.
Walau bagaimanapun, inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan untuk memberi status sah diperlakukan kepada mata wang sunah ini tetap tidak disokong oleh kerajaan persekutuan Malaysia kerana termaktub di dalam perlembagaan Malaysia, jadual ke-sembilan, bahagian 7.a bahawa negeri di Malaysia tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan duit syiling. Maka, satu-satunya mata wang yang sah diperlakukan di negara ini adalah ringgit Malaysia.
Namun begitu, Dinar Emas Kerajaan Negeri Kelantan terus dikeluarkan sekali pun dengan tiada status sah untuk diperlakukan sebagai matawang melainkan sebagai sistem barter (tukar suka sama suka) di kalangan penjual dan pembeli atau bagi tujuan simpanan dan pelaburan.
Hal ini disebabkan oleh kebijaksanaan para saf pimpinan ulama teknokrat yang memandang jauh secara berhikmah akan perkembangan harga emas di Malaysia yang semakin kukuh di pasaran bahkan terus gah melonjak dengan peningkatan tertinggi dalam sejarah pada kadar semasa ialah RM196/g bagi emas 999.
Peningkatan harga ini dilihat bukan sahaja hanya tertumpu di Malaysia, malah negara-negara lain juga merasainya seperti Yen Jepun dan Dollar (Canada dan Australia). Menurut sumber daripada Kitco News, kenaikan harga emas dunia melonjak akibat tempias isu Trump telah mengugut China untuk meninggikan 10% tariff ke atas produk China bernilai RM300 Billion.
Imej yang berkaitan
Imej yang berkaitan
Imej yang berkaitan
Berdasarkan analisa ringkas terhadap pasaran produk emas Dinar keluaran KGT (dikenali sebagai Dinar Negeri Kelantan) juga mengalami kenaikan harga mendadak. Rekod harga emas menunjukkan kadar peningkatan sebanyak 194% dalam tempoh 14 tahun bermula tahun 2006 sehingga 2019.
Perinciannya, graf kenaikan tukaran nilai mata wang fiat (RM) kepada Dinar Kelantan menunjukkan lonjakan harga dari RM322 kepada RM 732 iaitu sebanyak 127% dalam tempoh lima tahun pertama (2006-2010).
Skala penurunan sebanyak 22% berlaku dalam tempoh lima tahun kedua (2011-2015) yakni RM871 kepada RM680. Kemudian, kadar harga emas terus melonjak semula bagi tempoh empat tahun seterusnya (2016-2019) RM819 kepada RM948 iaitu sebanyak 15%.
Pola peningkatan ini dijangka berterusan dari masa ke semasa. Oleh itu demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, KGT menyediakan satu platform khusus kepada individu atau pun syarikat yang berhasrat memiliki simpanan emas fizikal menerusi program Tabungan DnD (Tukar Perak Kepada Emas).
 Pengurus Operasi dan Kewangan KGT, Wan Najahuddin Fuad
Menurut Pengurus Operasi dan Kewangan KGT, Wan Najahuddin Fuad, 33, objektif Kerajaan Negeri Kelantan pada peringkat awal mata wang sunah ini diperkenalkan adalah untuk melihat setiap rakyat Kelantan memiliki simpanan emas dan perak secara fizikal dan seterusnya menjadikan logam tersebut sebagai satu simbol transaksi yang boleh diperdagangkan (sistem barter).
“Pelbagai pakej tabungan ditawarkan kepada masyarakat dan peluang memiliki emas dengan Tabungan serendah 1 Dirham (RM20) sebulan dalam tempoh 1 tahun. Selain itu juga, tawaran “0” caj simpanan dirham juga turut menjadikan Tabungan DnD dilihat berbaloi, menguntungkan dan selamat berikutan pasaran kini menunjukkan kadar peningkatan inflasi mata wang telah mempengaruhi kenaikan harga emas dunia,” ujar Wan Najahuddin.
“Dinar Kelantan kini memiliki variasi versi seperti Dinar 2006 (Edisi Permodalan Kelantan Berhad), Dinar Edisi World Islamic Mint 2008 (Edisi Kelantan Golden Trade) dan Dinar Edisi Baharu 2015 (Edisi Kelantan Gold Trade Sdn Bhd) yang menjadi tarikan para numismatik dan pengumpul mata wang antarabangsa seperti warga India dan Jepun yang sanggup ke Kelantan semata-mata untuk mendapatkan koleksi Dinar Dirham Kelantan,” hurainya.
Justeru itu, pihak KGT mewaliki Kerajaan Negeri Kelantan menyeru seluruh masyarakat memiliki simpanan emas dan perak fizikal dalam bentuk Dinar Dirham dan jongkong. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Bakar Ibn Abi Maryam yang bermaksud, “Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan)”.
Walaupun hadith ini berstatus dhaif, namun intisari mafhumnya boleh dijadikan pengajaran bermanfaat demi meneruskan jihad ekonomi umat Islam.
Sebarang maklumat mengenai produk KGT boleh dicapai melalui pautanhttps://kgt.com.my/KGT2016/ atau di talian 09-744 1901.

Peluang Kerja Di Australia, Dibuka..

Kerja Di Australia, Dibuka..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails