"Ya. Dia merupakan rakyat Malaysia," kata seorang jurucakap Wisma Putra kepada Utusan Online, malam ini.
Serangan di sebuah restoran makanan laut Emmons Avenue in Brooklyn itu dilaporkan telah menyebabkan Ng Thang Kheong, 60, yang berasal Johor, mengalami kematian otak (brain dead).
Thang Kheong cedera teruk selepas serangan mengerikan berkenaan dan diputuskan mengalami kematian otak oleh Pusat Perubatan NYU Langon, di mana dia kini dirawat.
Menurut saksi, seorang lelaki, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai pekerja pembinaan, Arthur Martunovich, 34, menyerbu masuk restoran berkenaan dan mula memukul kepala pekerja-pekerja menggunakan tukul.
Seorang pelanggan yang mengalami trauma selepas insiden itu berkata, darah dilihat memercik di sekitar restoran.
New York Post melaporkan, Martunovich selepas itu melarikan diri ke kawasan parkir premis namun pihak polis berjaya menjejaknya dalam masa yang singkat.
Ketika diberkas, Martunovich iaitu seorang pendatang Estonia dilaporkan memberitahu pihak polis bahawa dia tergerak melakukan serangan selepas menonton sebuah filem Cina yang didakwanya menggambarkan 'lelaki mengasari wanita'.
Berdasarkan apa diperkatakannya di balai polis, seorang pegawai memberitahu bahawa Martunovich mempunyai masalah dengan orang Asia.
Martunovich didakwa membunuh, melakukan cubaan membunuh dan memiliki senjata serta dijangka akan dinilai dari sudut psikiatrik.
Bagi pihak Thang Kheong, akhbar China Press melaporkan bahawa doktor-doktor di Pusat Perubatan NYU Langon sedang melihat sama ada untuk meneruskan sistem sokongan hidupnya, memandangkan dia tidak mempunyai keluarga di Amerika Syarikat. - UTUSAN ONLINE
Komen Weblog Ibnu Hasyim: AS, walaupun dikategorikan negara maju, tetapi tidak bebas dari jenayah perkauman..