Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hasil negeri ini selama ini terlalu terhad dan kerajaan negeri tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menebang balak di kawasan hutan.
Bagaimanapun katanya, aktiviti pembalakan yang didakwa oleh Pusat telah merosakkan alam sekitar dan menjejaskan kehidupan Orang Asli mungkin boleh dihentikan terus jika pihaknya mula menerima royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan.
Kelantan henti pembalakan jika dapat royalti - Mohd Amar
"Hasil balak negeri setakat ini hanya sekitar RM100 juta hingga RM120 juta setahun, royalti minyak pula sekitar RM500 juta sehingga RM700 juta setahun, Jadi jika kita terima royalti minyak, wang itu sudah boleh tampung hasil balak sebenarnya.
"Sebab itu saya kata apa dilakukan Pusat ini hanyalah politik. Kalau sungguh dia ambil berat kebajikan Orang Asli, dia patut segerakan pembayaran royalti minyak. Katakan dia betul-betul beri RM700 juta setahun, selesai masalah, orang asli pun tidak terganggu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjuran Sambutan Hari Murabbi Ummah di Bilik Gerakan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Minggu lalu, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Pas Kelantan berhubung aktiviti pembalakan di tanah penempatan Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang.
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, lesen pembalakan dikeluarkan kepada syarikat swasta telah mengakibatkan Orang Asli dinafikan tanah adat dan sumber mereka sekali gus menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap hutan.
Mohd. Amar dalam pada itu menegaskan, hakikat sebenar ialah kerajaan negeri tidak pernah mengganggu Orang Asli kerana lesen pembalakan tidak dikeluarkan kepada pemaju jika kawasan tersebut berdekatan penempatan Orang Asli atau kawasan mereka bercucuk tanam.
Selain itu kata beliau, walaupun 'tanah adat' tidak wujud di Kelantan, negeri ini tetap mengiktiraf tanah khusus untuk masyarakat Orang Asli bagi membolehkan mereka mendirikan penempatan, bercucuk tanam serta merayau mencari hasil hutan.
"Selama ini, Orang Asli mempunyai keistimewaan bebas keluar masuk semua hutan simpan negeri dan mengambil hasilnya tanpa perlu meminta kebenaran atau mendapatkan lesen daripada Jabatan Perhutanan seperti pihak lain.
"Kita bersetuju mewartakan 11,331 hektar tanah hutan seluruh negeri sebagai kawasan Orang Asli ini yang juga tidak akan dibuat pembalakan. Setakat ini, kita sudah wartakan sebanyak 4,856 hektar," katanya. - UTUSAN ONLINE