Perkhidmatan WiFi percuma tersebut setakat ini disediakan di 10 kawasan tumpuan orang ramai sekitar bandar ini seperti Medan Ilmu, Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, Bulatan Jam Besar, Stadium Sultan Muhammad IV dan Dataran Cheng Ho.
DATUK AHMAD YAKOB menyempurnakan pelancaran WiFi Percuma Kelantan di Medan Ilmu Kota Bharu hari ini.
DATUK AHMAD YAKOB menyempurnakan pelancaran WiFi Percuma Kelantan di Medan Ilmu Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE
"Ini salah satu daripada usaha kita bagi merealisasikan janji dalam manifesto PRU-14 lalu. Projek ini melibatkan kos pemasangan sekitar RM222,000 manakala kos penyelenggaraan tahunan pula dianggarkan sebanyak RM110,000.
"Kita berharap semua pihak memanfaatkan kemudahan ini dengan cara betul. Jangan menyalahgunakan ia sehingga membawa keburukan seperti tular perkara fitnah, timbulkan keraguan dan ketegangan," katanya  dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran WiFi Percuma Kelantan yang diadakan serentak dengan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoIC) antara Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).
Turut diadakan ialah (MoIC) antara anak syarikat PKINK iaitu Infra Quest Sdn. Bhd. dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Ahmad berkata, kemudahan WiFi percuma yang disediakan tidak mempunyai sebarang sekatan atau tapisan akses dan hanya iman serta takwa seseorang individu yang akan mengawal mereka.
"Teknologi ini hari ini membolehkan ribuan manusia mengakses ke saluran maya dalam satu-satu waktu. Di sana tiada lembaga tapisan yang mampu menapis semua sesawang yang akan dimasuki netizen.
"Justeru dalam menjaga keberkatan sesebuah masyarakat semua pihak perlu konsisten dalam menyedarkan netizen akan bahayanya penyalahgunaan teknologi," katanya. - UTUSAN ONLINE