Presiden Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (Patut) , Mohd. Ridzuan Shaari berkata, kejadian yang disifatkan sangat memalukan itu tidak patut berulang lagi terutama ketika Malaysia menjadi rujukan kebanyakan dunia khususnya negara-negara Islam dalam soal pembangunan produk makanan halal.
"Patut terkejut, kecewa dan merasakan tindakan MAS sama sekali tidak masuk akal.
"Banyak lagi produk makanan Malaysia yang boleh diwar-warkan kepada pelancong luar, kenapa daging babi?" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, MAS petang tadi tampil memohon maaf sekiranya promosi makanan yang diterbitkan dalam iklan majalah syarikat penerbangan itu menyinggung perasaan orang ramai.
MAS dalam kenyataan berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, pihaknya menyediakan perkhidmatan penerbangan ke destinasi antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai jenis penumpang
Iklan mempromosi makanan dan gambar didakwa daging babi yang diterbitkan dalam majalah tersebut menjadi tular dalam media sosial sehingga mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). - UTUSAN ONLINE.