Perintah berkurung juga disifatkan boleh mendisiplinkan remaja apatah lagi golongan berkenaan bakal memimpin negara pada masa akan datang.
Itu merupakan kesan melaksanakan perintah berkurung menerusi perspektif Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli yang turut bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) itu.
Mohd. Hazmi malah menegaskan, tiada sebab untuk remaja di bawah umur 18 tahun keluar selepas pukul 12 tengah malam memandangkan golongan tersebut sepatutnya berehat di rumah bagi menghadapi hari persekolahan keesokan hari.
“Pada pandangan saya itu merupakan cadangan yang sangat baik. Mungkin ada tidak bersetuju kerana dikatakan cadangan itu sebagai satu daripada proses Islamisasi dalam negara, namun tindakan disiplin kepada anak-anak bukan diamalkan oleh Islam sahaja tetapi agama lain juga menitikberatkan perkara sama.
“Saya merasakan perintah berkurung sememangnya dapat menghalang aktiviti tidak bermoral daripada terus berleluasa. Kadang-kadang ibu bapa sendiri tidak dapat mengawal anak-anak mereka dan di sini lah pentingnya campur tangan kerajaan mendidik golongan remaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Beliau mengulas mengenai keputusan JKMD untuk mempertimbangkan secara serius cadangan pelaksanaan perintah berkurung bagi remaja di bawah umur 18 tahun berdasarkan model yang diamalkan di Iceland.
Dalam pada itu, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal menjelaskan, pelaksanaan perintah berkurung bagi golongan remaja bukanlah perkara baharu, malah telah pun dilaksanakan di beberapa negara maju termasuk Australia dan Sweden.
“Saya setuju dengan cadangan perintah berkurung untuk kanak-kanak sebagai satu daripada cara mencegah mereka terlibat dengan gejala sosial.
“(Perintah berkurung) bukan perkara baharu, Australia, Sweden dan beberapa negara lain dah laksana. Sepatutnya kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berada di rumah pada waktu malam,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE