Pesuruhjayanya, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, sumber bekalan air di negeri ini, Perlis dan Pulau Pinang adalah berpunca daripada tadahan air di Ulu Muda yang berkeluasan 103.103 hektar iaitu di hutan simpan Kedah.
Dalam hal itu, ujar beliau, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli digesa menyemak semula kadar bayaran geran bagi tujuan tadahan air di Ulu Muda supaya jangkaan kenaikan tarif air di Pulau Pinang akan turut memanfaatkan Kedah yang menyediakan lapangan tadahan berkenaan.
"Jangan cakap saja berdegar-degar hendak perjuangkan hak rakyat menjelang pilihan raya, tetapi apabila menang, rakyat diketepikan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fakhruddin berkata, rakyat Kedah juga tertanya-tanya sama ada kenaikan tarif air turut melibatkan mereka kerana kualiti perkhidmatan bekalan air di negeri itu sentiasa menjadi bahan bualan.
"Tidak pelik apabila Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli mengumumkan jangkaan kenaikan tarif air secara berperingkat mulai tahun ini atas alasan penstrukturan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.
"Jadi, apakah pendirian kerajaan Pakatan Harapan Kedah sama seperti kerajaan DAP Pulau Pinang yang menjangkakan kenaikan tarif air sehingga 20 peratus," soalnya lagi.
Kelmarin, Mukhriz berkata, kerajaan negeri masih belum memutuskan sama ada akan mengekalkan atau menaikkan kadar tarif air kerana tiada perbincangan rasmi mengenainya dengan kerajaan Persekutuan setakat ini.
Beliau juga berkata, satu perbincangan dengan Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan diadakan terlebih dahulu sebelum dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri. - UTUSAN ONLINE