Friday, June 29, 2018

Peruntukan Pembangkang, Bahasa, Kenyataan Wan Azizah (PH) Berbelit-belit..




SHAH ALAM – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa kampung-kampung di negeri ditadbir pembangkang akan turut menerima peruntukan bagi membiayai program kesejahteraan dan keceriaan kampung seperti yang diterima oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi pejabat pembangunan negeri masing-masing dan bukan melalui pemimpin politik seperti yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Sebenarnya, Kabinet telah putuskan bahawa negeri-negeri pembangkang akan turut menerima (peruntukan) tetapi bukan menerusi ketua-ketua cawangan atau pemimpin lantikan politik…ia harus melalui pejabat pembangunan negeri.
“Ini adalah dasar kami bahawa mereka juga akan terima (peruntukan) namun penyalurannya bukan melalui (pemimpin) politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan (IDE) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Dr. Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun semalam bahawa geran RM10,000 akan diberikan kepada setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri-negeri di bawah PH dengan peruntukan keseluruhan tidak melebihi RM100 juta setahun.
Menurut Rina, mekanisme pemberian geran bagi kampung-kampung di Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak pula sedang dalam kajian dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan.
Kenyataan menteri itu bagaimanapun dibidas beberapa pihak yang menuntut supaya kerajaan memberi peruntukan sama rata kepada negeri-negeri di bawah pembangkang.
Mengulas lanjut, Dr. Wan Azizah menegaskan kerajaan PH tidak mendiskriminasikan negeri-negeri yang ditadbir pembangkang seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.
“Dulu semasa BN menjadi kerajaan, negeri-negeri pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang tidak menerima peruntukan tersebut…semua peruntukan disalurkan kepada Ketua UMNO Bahagian. Justeru, Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) kata ia (peruntukan) akan disalurkan kepada pejabat pembangunan negeri agar mereka tidak didiskriminasikan,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan, Dr. Wan Azizah berkata kerajaan memang sudah lama mengamalkan dasar yang menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi.
Namun, pada masa sama, timbalan perdana menteri berkata tidak menjadi satu kesalahan sekiranya bahasa Melayu diterjemahkan kepada bahasa lain.
“Kalau ada yang nak bagi terjemahan tidak salah…seperti yang dikatakan oleh perdana menteri itu tiada isu. Kalau kita pergi tengok wayang pun ada ‘subtitle’(sarikata) kan,” katanya.
Sebelum ini, tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin mengundang reaksi negatif pelbagai pihak, namun perdana menteri menyifatkannya sebagai kesalahan kecil.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga memberi peringatan kepada pimpinan PH bahawa kerajaan pakatan yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 akan ditolak oleh rakyat pada bila-bila masa sekiranya gagal melaksanakan janji-janji yang dibuat sebelum ini.
Beliau turut meminta semua pimpinan PH termasuk wakil-wakil rakyat supaya mengubah pemikiran sebagai pembangkang sebaliknya berusaha memperbetulkan setiap rungutan dan aduan yang dibuat terhadap kerajaan terdahulu.
Mindset sebagai pembangkang kena betulkan…sudah menjadi tanggungjawab kita untuk perbetulkan apa yang kita ‘complain’ dulu. Rakyat telah mengubah kerajaan (BN) yang telah 61 tahun berkuasa sebelum ini. Kita (PH) juga bila-bila masa saja boleh diubah (oleh rakyat) kalau tidak ikut apa yang kita janjikan untuk memajukan rakyat dan masa depan negara,” katanya. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails