Tuesday, June 26, 2018

Bencana Berita Palsu Presiden PAS.



FIRMAN Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (6(
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan" (Surah Al-Hujurat: 6)
Sabda Rasulullah S.A.W:
إنَّ الصِّدقَ يَهْدِي إِلَى البرِّ، وإنَّ البر يَهدِي إِلَى الجَنَّةِ، وإنَّ الرَّجُلَ لَيَصدُقُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكتَبَ عِنْدَ الله كَذَّابًا. (مُتَّفَقٌ عَلَيهِ)
“Sesungguhnya benar itu menunjukkan kepada kerja amal kebajikan, dan kerja amal kebajikan itu menunjukkan ke arah Syurga. Seseorang yang bersifat benar itu mendapat kelebihan sehingga ditulis di sisi Allah dia seorang yang bersifat benar. Dan sesungguhnya bohong menunjukkan kepada kejahatan, dan kerja kejahatan itu menunjuk ke arah Neraka. Seseorang yang bersifat bohong itu ditulis di sisi Allah dia seorang pembohong” (Muttafaqun ‘Alaih)
Sebab diwahyukan firman Allah yang tersebut, apabila seorang daripada kalangan sahabat mencipta berita bohong terhadap qabilah yang telah Islam, dikatakan bertindak jahat dan tidak mahu mengeluarkan zakat yang menjadi rukun Islam terhadap mereka yang kaya, sehingga Rasulullah S.A.W mengutuskan pasukan tentera untuk bertindak. Tiba-tiba pasukan tentera itu mendengar suara azan menandakan mereka tetap menganut Islam. Seterusnya mereka menghantar pemimpinnya menemui Rasulullah S.A.W, lalu diwahyukan ayat tersebut kepada Rasulullah S.A.W menegaskan betapa sifat bohong menjadikan seseorang itu fasik (jahat).
Sifat fasik menghilangkan kelayakan menjadi wali yang memimpin keluarga dan masyarakat dan juga tidak layak menjadi saksi di mahkamah yang mewajibkan sifat adil, kerana sifat fasik membatalkan sifat adil pada seseorang.
Hadis pula menafsirkannya lebih jauh dan mendalam, apabila menjadikan sifat benar jalan ke syurga dan bohong pula menjadi jalan ke neraka. Maka benar menjadi sifat wajib bagi para Rasul A.S, sifat yang dikasihi Allah dan melayakkan menjadi teladan kepada manusia.
Benar adalah sifat baik, menunjukkan kemuliaannya, sehingga seseorang rasul itu mustahil berbohong. Sifat bohong dikira sifat jahat yang dimurkai Allah terhadap sesiapa yang menjadikannya sifat bagi dirinya.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa sifat bohong adalah salah satu daripada sifat seorang munafik yang membuahkan pula sifat-sifat keji yang lain. Sabdanya:
آيةُ المُنافقِ ثلاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعدَ أخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ. (مُتَّفَقٌ عَلَيهِ). وفي رواية: «وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أنَّهُ مُسْلِم. وفي رواية: إذا خاصم فاجر
“Tanda seorang munafik itu tiga: Apabila dia bercakap bohong, apabila berjanji dia mungkir (tidak menunaikannya), apabila diberi amanah dia khianat. Mengikut riwayat yang lain: Sekalipun dia berpuasa dan bersolat. Mengikut riwayat yang lain ditambah pula dengan sifat: Apabila dia bertengkar atau berdebat sifatnya jahat (tidak beradab seperti tidak mahu menerima kebenaran lawannya dan lain lain”
Rasulullah S.A.W menegaskan juga bahawa sifat bohong menjadi salah satu bencana di akhir zaman, apabila pembohong orang yang dihormati, kerja bijaknya berbohong dan selepasnya berlaku krisis nilai jati diri yang luhur. Sabdanya:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ . (سنن ابن ماجه).
“Akan tiba (masanya) manusia menghadapi tahun-tahun yang banyak menipu, di mana dianggap benar orang yang bohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah. Orang yang jahil (buta agama) bercakap perkara yang besar”
Rasulullah S.A.W ditunjukkan oleh Allah tentang keburukan berlaku di akhir zaman apabila meluasnya penyebar berita bohong yang menjadi tanda hampirnya bencana besar yang akan menimpa manusia dan alam seluruhnya supaya umatnya berwaspada, kerana dosa besar yang menyebabkan diseksa di alam barzakh selepas kematian dan seterusnya di alam Hari Kiamat yang lebih besar seksanya. Sabda Baginda S.A.W dalam hadis yang panjang apabila dibawa melawat ke alam barzakh:
وأمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أتَيتَ عَليْهِ يُشرْشرُ شِدْقُه إِلَى قَفاهُ، ومَنْخِرُه إِلَى قَفاهُ، وعَيْنهُ إِلَى قفاهُ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدو مِنْ بَيْتِه فَيكذبُ الكذبةَ تبلُغُ الآفاقَ (البخاري).
“(Berkatalah malaikat) yang membawa Rasulullah S.A.W (dalam mimpi yang benar dibawa melawat ke Alam Barzakh dan Akhirat): Adapun orang yang engkau lihat disangkut pipinya dengan penyangkut besi sehingga menembusi ke belakang lehernya, disangkut hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut matanya sehingga menembusi ke belakang lehernya, ialah orang yang kegiatannya sejak pagi setiap hari menyebarkan pembohongan sehingga ke seluruh ufuk dunia” (Hadis Riwayat Bukhari)
Kini kita menyaksikan media cangkih langit terbuka tanpa sempadan yang dapat menyebarkan berita bohong ke seluruh pelosok dunia dengan mudah dan canggih menggunakan mulut dan hujung jari, melalui lisan dan tulisan. Inilah perkara akhir zaman yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W masih hidup di alam dunia. Menunjukkan tanda kerasulannya yang benar apabila berlakunya pada zaman kini bersama media sosial yang canggih di hujung lidah dan jari itu.
Hanya mereka yang beriman adanya perkara yang ghaib yang tidak terfikir oleh akalnya percaya kepada amaran tersebut. Lalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah dan meminta maaf kepada manusia yang difitnahkan dengan cerita bohong. Adapun yang tidak beriman kepada Allah, Rasul dan adanya Hari Pembalasan di alam kubur dan akhirat, terus bergelumang dengan sifat yang buruk dan terus berdusta.
Islam menggalakkan tidak menyebarkan kesalahan orang walaupun terhadap orang yang benar bersalah, kerana menggalakkan bertaubat dan meminta maaf. Maka Islam membawa konsep orang yang dituduh janganlah dihukum sudah bersalah sehingga dibuktikan oleh badan kehakiman yang bersifat adil dan telus. Sabda Rasulullah S.A.W:
ومَنْ سَتَرَ مُسْلماً سَتَرَهُ اللَّهُ يَومَ الْقِيامَةِ "(مُتَّفَقٌ عَلَيهِ)
“Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang saudara Islamnya nescaya Allah menutup keaibannya di Hari Akhirat” (Muttafaqun ‘Alaih)
Adapun sekiranya dibawa menjadi saksi di mahkamah, maka wajib mendedahkan dengan benar dengan kadar yang patut, demi melaksanakan hukuman yang adil. Islam menghukum dosa besar terhadap orang yang bohong apabila diminta menjadi saksi yang adil dalam mahkamah, bukannya disebarkan dengan meluas.
Islam menetapkan supaya melihat peribadi seseorang yang dikenali secara mendalam meriwayatkan setiap perkara, khususnya berkenaan Islam, seperti bacaan dan tafsir Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W serta hukum hakamnya. Sehingga dianggap lemah apa-apa riwayat daripada seorang yang tidak diketahui sifat peribadinya atau tidak dikenali dirinya secara menyeluruh atau seorang yang tidak menjaga maruah dirinya dalam perkara besar dan terpenting.
Islam juga mengutamakan riwayat mutawatir (maklumat benar daripada beberapa orang-orang yang bersifat benar yang ramai jumlahnya) dan dikemudiankan riwayat Ahad (maklumat daripada seorang sahaja walaupun benar).
Allah memberi amaran akibat amalan yang buruk dibalas di alam dunia sebelum akhirat dengan firman-Nya:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41(
“Telah zahir (timbul) berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)
Allah memberitahu pembicaraan pada Hari Akhirat nanti, di mana seseorang itu tidak boleh berbohong lagi. Firman Allah:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (65(
“Pada waktu itu (Mahkamah Allah di Hari Akhirat nanti) Kami meterikan (mengunci) mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki-kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: 65)
Di mana Allah tidak menghukum dengan Sifat Maha Mengetahui-Nya sahaja, tetapi disertakan dengan saksi dan buktinya, serta mendahulukan pengampunan dan rahmat-Nya daripada hukuman terhadap orang beriman yang bertaubat.
Akhirnya, lakukan muhasabah terhadap diri masing-masing, berfikir dengan akal waras yang berpandukan prinsip iman dan konsep taqwa. Bukan akal yang tidak beriman dan budiman berpandukan selera dan isi perut, yang berakhir dengan menjadi lebih hina daripada isi perutnya.
Ambillah pengajaran daripada orang yang beriman dan budiman bersama Islamnya, bukan daripada yang kafir dan fasik. Hanya yang beriman sahaja akhirnya ke syurga walaupun dia fasik. Adapun yang kafir tetap ke Neraka walaupun dia baik, kerana Iman dan Islam menjadi asas diterima Allah segala amalan dan hidayah yang dibuka pintu rahmat, taubat, istighfar dan diterima amal solehnya, kerana inilah janji Allah. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ (119(
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.” (Surah At-Taubah: 119)
Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ (40(
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan (kufur).” (Surah Al-Aaraf: 40)
Biarkan kalangan yang terpengaruh dengan politik sekular yang berpegang kepada pendekatan barat, tanpa peduli dosa dan pahala berpandukan falsafahnya:
The end justifies the means” (Matlamat menghalalkan cara)
Ingatlah firman Allah:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا (36(
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra’: 36)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 8 Syawal 1439 / 22 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 22/6/2018

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS


2 comments:

Anonymous said...

Hadi awg pun bawak berita palsu. Nak tegakkn daulah islamiyah tapi guna cara undi yahudi. Sila belajar lagi hadi

Anonymous said...

Ko tulislah satu artikel spt diatas..baru lah betul. Kalu setakat komen mcm ini budak tadika pun leh komen.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails