Tuesday, June 26, 2018

Bahasa: Lagi Peguam Tempelak L/Guan Eng..


PETALING JAYA: Peguam dan aktivis Azhar Harun antara yang mengkritik Lim Guan Eng, selepas menteri kewangan itu mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementeriannya.

Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun, berkata Lim yang mempertahankan kenyataannya bahawa beliau mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan bahasa selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, bersifat angkuh.

“Sebaliknya, wahai menteri,” tulisnya di Facebooknya. “Di bawah Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi ialah Bahasa Malaysia.”

Beliau juga mempersoalkan Lim menggunakan bahasa Mandarin, bukannya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ketika menjalankan tugas rasmi.

“Janganlah angkuh dan acuh tak acuh dalam hal ini. Anda benar-benar menolaknya. Ada hadnya dalam ‘Malaysia baharu’, “katanya.

Lim dituduh merendah-rendahkan bahasa kebangsaan selepas beliau mengeluarkan beberapa kenyataan kementerian yang ditulis hanya menggunakan bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, setiausaha agung DAP itu menolak kritikan terhadapnya dan berjanji akan meneruskan penggunaan bahasa Mandarin selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dengan mengatakan ia melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

“Malaysia baru merupakan sebuah negara yang inklusif, saling menghormati dan pelbagai. Pada saat kita memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita juga perlu menguasai bahasa lain bagi meningkatkan kebolehsaingan kita.”

Kenyataannya mendapat pelbagai kritikan di Facebook, termasuk hartawan runcit Ameer Ali Mydin, yang memiliki rangkaian pasar raya Mydin.

Lim juga dikritik Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berkata Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

“Ini bermakna, ia dipersetujui bahasa Malaysia perlu diguna pakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan, termasuklah kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.
“Ia juga selari Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan,” katanya.

Syed Saddiq berkata penggunaan bahasa Melayu penting bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang ramai berhubung pengumuman kerajaan. Beliau menambah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua kenyataan rasmi kerajaan perlu dijadikan prosedur dan diutamakan untuk hebahan media buat kali pertama. Mengulas lanjut, Azhar berkata kritikan beliau terhadap Lim tidak boleh dianggap sebagai bersifat perkauman.

“Saya bukan racis. Dan saya tidak bercakap mengenai hak Melayu atau peribahasa ‘mertabatkan Bahasa Melayu’ dan seumpamanya.
“Tetapi tolong jadikan tugas anda sebagai menteri seperti yang anda patut lakukan. Lagipun, anda adalah orang yang dengan bangga menyatakan ‘I am not Chinese, I am Malaysian’. Anda menunjukkan isyarat yang salah. Sikap yang salah.
“Pihak RASMI apa yang mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin sedangkan bahasa rasmi ialah Bahasa Malaysia (anda lihat, saya tidak menyebutnya Bahasa Melayu),” katanya.
“Tolonglah. Jangan jadi bodoh!”

MR : Tak salah nak utamakan bahasa ibunda dan menyampaikan sesuatu masej dalam bahasa ibunda, tapi yang engkau tak boleh dikritik tu yang membuatkan orang menyampah....

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails