Wednesday, December 27, 2017

Kedai Mamak 24 Jam Bantu Kurangkan Kes Khalwat?




KUALA LUMPUR – Restoran mamak sememangnya begitu dekat di hati majoriti rakyat Malaysia oleh kerana makanannya yang ‘kena’ dengan selera dan menyediakan ruangan yang selesa untuk bersantai.

Namun, menjelang tahun depan, restoran mamak tidak lagi boleh beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.
Susulan arahan itu, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menjelaskan jika polisi kesihatan tersebut dilaksanakan, banyak keburukan yang akan timbul.
“Banyak faktor perlu dipertimbangkan seperti pelajar universiti. Pelajar-pelajar ini mengadakan perbincangan di kedai mamak yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Persekitaran kedai mamak juga selamat untuk mereka bersosial.
“Apa yang akan berlaku jika tiada lagi kedai mamak yang beroperasi 24 jam? Pelajar-pelajar ini mungkin akan pergi ke tempat lain yang boleh membahayakan mereka,”katanya dipetik Malay Mail Online.
Tambah Syed Ibrahim, tindakan tersebut boleh membawa kepada peningkatan kes khalwat.
Menurutnya, kerajaan seharusnya mendidik masyarakat untuk mengamalkan rutin makanan yang lebih baik dan bukannya bertindak menutup kedai mamak pada tengah malam.
Beliau turut mempertikaikan jika polisi itu dilaksanakan, ia akan mendatangkan masalah kepada masyarakat Islam pada bulan Ramadhan.
“Macam mana pula pada bulan Ramadhan apabila mereka perlu sahur untuk berpuasa pada keesokan harinya? Siapa yang akan memberikan perkhidmatan makanan kepada mereka? soalnya.
Syed Ibrahim turut berpendapat jika restoran mamak tidak beroperasi 24 jam, ia akan menjejaskan sektor pelancongan negara.
Menurutnya, Malaysia terkenal kerana variasi makanannya.
“Kita (Malaysia) terkenal dengan makanan di mata dunia. Pelancong yang datang ke sini kagum kerana makanan boleh didapati pada 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Adakah mereka fikir bagaimana keadaan ini memberi kesan kepada industri pelancongan?” jelasnya.
Semalam, New Straits Times melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam sedang menjalankan kempen memperomosikan kehidupan sihat dalam kalangan masyarakat bagi memerangi ancaman penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat.
Antara polisi yang dibincangkan Jawatankuasa Khas Kabinet Jumaat lalu ialah waktu operasi restoran terhad sehingga tengah malam yang akan dilaksanakan berperingkat mulai tahun 2018.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata persatuannya akan menyediakan kertas cadangan dan akan dibentangkan kepada pihak kerajaan selepas polisi itu dilaksanakan secara rasmi. – MYNEWSHUB.CC
Lihat sebelum ini..


*Video sekadar hiasan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails