Wednesday, November 29, 2017

Mangsa Banjir Di Kelantan Terus Meningkat.


MANGSA banjir dari Kampung Dangar ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sri Rantau Panjang 2 selepas air dari Sungai Golok melimpah dan memasuki kampung mereka. - Foto Fathil Asri 


KOTA BHARU: Bilangan mangsa banjir di Kelantan terus meningkat apabila seramai 4,745 orang ditempatkan di 65 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 10 malam ini.
Daripada jumlah itu, 1,423 keluarga terbabit ditempatkan di PPS di lapan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli dan Bachok.
Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, Pasir Mas mencatat mangsa banjir paling tinggi membabitkan 1,649 orang daripada 585 keluarga ditempatkan di 20 PPS termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Banggol Setol, Alor Pasir dan Selolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 yang dibuka pada jam 9 malam tadi.
Ia diikuti Kota Bharu dengan rekod seramai 907 mangsa membabitkan 211 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS termasuk SK Perol, SK Pasir Hor dan SK Dewan Beta yang dibuka antara jam 6 petang hingga 9 malam tadi.
Pasir Puteh turut menunjukkan peningkatan apabila sehingga kini seramai 589 mangsa daripada 185 keluarga ditempatkan di enam PPS termasuk Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil yang dibuka pada jam 8 malam tadi, berbanding 445 mangsa daripada 146 keluarga, petang tadi.
Tiga lagi PPS dibuka di Madrasah Kampung Nibong, SK Bendang Nyior dan Masjid Manal 1 pada jam 9 malam tadi, yang menjadikan keseluruhannya sebanyak 16 pusat untuk menempatkan 609 mangsa, daripada 172 keluarga di Tanah Merah.
Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus meningkat memandangkan hujan lebat yang berterusan.
Selain itu, jalan ditutup kepada semua kenderaan bertambah kepada 15 jalan termasuk Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata; Jalan Kampung Pek-Paloh Rawa; Jalan Pangkalan Rakit-Batu Karang; Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah; Jalan Bukit Tuku-Batu Hampar di Pasir Mas; Jalan Tanah Merah-Kusial, serta Jalan Kok Lanas-Selising di Kota Bharu. (BH)

Lihat sebelum ini..





No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails